Sunday, October 23, 2011

Peristiwa Menarik dalam Novel

SOALAN :

Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan peristiwa-peristiwa menarik yang terdapat dalam novel tersebut.

SKEMA JAWAPAN :

MELUNAS RINDU karya Hartini Hamzah

Peristiwa menarik dalam novel ialah :

1. Peristiwa Fuad mengetahui ibu kandungnya masih hidup daripada Pak Samsudin iaitu jiran Mariah (kakak angkat ibu Fuad). Pak Samsudin juga meyakinkan Fuad bahawa Fuad akan berjumpa dengan ibu kandungnya, Mariana sendiri bukan dengan kuburnya.
Peristiwa ini menjadikan perjalanan cerita bertambah menarik dan pembaca ingin mengetahui cerita yang seterusnya.

2. Peristiwa Fuad mengetahui bahawa nama asal ketika dilahirkan ialah Abdul Halim dan nama Islam bapanya ialah Roslan. Fuad sendiri terkejut mendengarkan perkara itu daripada Pak Ngah Lias.
Peristiwa ini memberikan maklumat tentang sejarah hidup Fuad dan mengetahui identiti sebenar Fuad.

3. Peristiwa Fuad membantu ibu saudaranya, Swee Lan menyuapkan bubur nasi kepada bapa saudaranya, Peter Lim yang semakin uzur. Fuad juga membantu ibu saudaranya itu mengelap muntah bapa saudaranya, dan membawanya ke klinik.
Peristiwa ini memaparkan keperibadian Fuad yang bukan hanya kacak dari segi luaran malah mempunyai perwatakan dalaman yang berbudi pekerti mulia.

4. Peristiwa Fuad menyambut hari lahir Farhana. Bermula dengan pemberian kad ucapan, kemudian Fuad mengajak Farhana keluar makan di Restoran Terapung di Taman Syahbandar, Terengganu. Fuad juga mengucapkan ’Selamat Ulang Tahun ke-24’ kepada Farhana.
Peristiwa ini memberikan gambaran Fuad dan Farhana sudah mula bercinta. Farhana senang dengan layanan mesra yang ditunjukkan oleh Fuad.

5. Peristiwa Fuad menyedari bahawa ibu Farhana adalah ibu kandungnya. Mariana dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan kerana menghidap penyakit lelah (asma). Semasa berada di hospital tersebut Fuad mengetahui ibu Farhana (Mariana) adalah ibu kandungnya yang dicari selama ini. Fuad tabah menerima kenyataan bahawa ibunya (Mariana) adalah ibu Farhana juga dan Farhana, gadis yang dicintai dan ingin dikahwininya adalah adik kandungnya sendiri.
Peristiwa ini membawa unsur kejutan kepada pembaca dan pembaca berasa simpati kepada Fuad dan Farhana yang baru mula ingin bercinta. Perjalanan cerita menjadi bertambah menarik.

6. Pertemuan Fuad dengan ayah kandungnya, Robert Lim di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Fuad ingin membalas jasa orang tuanya dengan membawa Mariana (ibu kandungnya), Mak Salmah (ibu angkat) dan Pak Ismail (bapa angkatnya) menunaikan umrah di Mekah. Robert Lim memberikan harapan bahawa dia akan menyusul mereka kemudian dan dia dan Fuad saling berpelukan.
Peristiwa ini menandakan Fuad sudah memaafkan bapanya dan hubungan antara kedua-dua beranak itu sudah jernih.

7. Peristiwa Fuad mengajar murid-murid secara individu di dalam kelas lanjutan untuk membantu murid-murid di SM Seri Setia menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Peristiwa tersebut membuktikan kesungguhan dan keikhlasan Fuad melaksanakan tugas sebagai pendidik.

KABUS DI PERBUKITAN karya Mohamad Kholid bin Hamzah

Peristiwa menarik dalam novel ialah

1. Peristiwa yang berlaku ketika Faridah berada dalam keadaan bawah sedar. Faridah berada pada zaman lampau. Faridah berada di suatu tempat asing, iaitu di Bukit Kutu dan Pekan Sungai Kubu. Faridah pergi ke pekan tersebut ditemani oleh Amah Siti.
Faridah melihat cara penduduk pada zaman itu begitu asing baginya. Faridah merasakan dia berada pada zaman penjajahan Inggeris sebelum negara mencapai kemerdekaan.

2. Peristiwa Rahayu bertemu dengan Faridah dalam keadaan bawah sedar. Mereka bertemu di dalam sebuah rumah papan yang hampir roboh ditolak arus. Selepas diselamatkan Rahayu, Faridah memeluk adiknya dengan erat untuk melepaskan rindu setelah bertahun-tahun tidak bertemu. Selepas Faridah sedar, Rahayu telah pun meninggal dunia.
Menggambarkan keistimewaan hubungan kembar antara Faridah dan Rahuyu yang masih boleh berhubung walaupun jasad mereka terpisah jauh.

3. Peristiwa Faridah bertemu dengan Zain di banglonya di Rosewood, Christchurch, New Zealand.
Pertemuan itu menguatkan lagi keinginan Faridah untuk pulang ke tanah air kerana Zain juga berasal dari Sungai Besar, Selangor.

4. Peristiwa Melina bertemu semula dengan suaminya, Benny di Dubai. Benny terpaksa melarikan diri dan meninggalkan Melina seorang diri di Marang, Terengganu. Benny meminta maaf dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk terus menetap di Dubai.
Pertemuan itu merungkai masalah yang dihadapi oleh Melina dan akhirnya mereka hidup bahagia.

5. Peristiwa Faridah dan Iqbal ditemui semula di Perkampungan Orang Asli Temuan oleh ayahnya, Mejar (B) Kamarudin dan Buyung dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Pertemuan ini merungkai misteri kehilangan Faridah dan Iqbal selama dua minggu selepas kemalangan jalan raya di Bukit Fraser.

6. Pertemuan Azrul dengan Faridah ketika melawat kubur Rahayu di Tanah Perkuburan Parit Satu, Sungai Besar.
Peristiwa ini mencerminkan kesetiaan dan keluhuran kasih Azrul terhadap kekasihnya, Rahayu walaupun Rahayu telah pergi buat selama-lamanya. Malah Azrul tidak mahu berhijrah ke tempat lain semata-mata ingin dekat dengan Rahayu. Kata-kata perangsang Rahayu agar dia bekerja sendiri tanpa makan gaji juga terus membakar semangatnya untuk bekerja sendiri iaitu menternak kambing di kampungnya.

7. Pertemuan antara Zain dan Anne di Christchurch, New Zealand ketika Zain cuba membaiki kereta Anne yang rosak
Pertemuan itu telah memutikkan bibit-bibit cinta yang akhirnya mengikat mereka dengan hubungan suami isteri yang mengembalikan semula nostalgia yang begitu bermakna bagi dua buah keluarga iaitu keluarga Faridah dan Datuk Azrul.

8. Operasi mencari Faridah dan Iqbal yang dinamakan OPS PDK melibatkan banyak pihak seperti Bomba dan Penyelamat, Hospital Daerah, RELA, Perhilitan dan Pejabat Daerah Raub serta Hulu Selangor.
Situasi ini menunjukkan kesungguhan pelbagai pihak bekerjasama berusaha mencari dan menyelamatkan dua orang rakyat tempatan yang hilang di Bukit Fraser.

6 comments:

  1. terima kasih! Semoga Allah mempermudahkan segala urusan cikgu dunia & akhirat :)

    ReplyDelete
  2. terima kasih,cikgu.sangat berguna untuk ulangkaji.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum cikgu. takde peristiwa menarik untuk novel BimaSakti menari ke?

    ReplyDelete