Thursday, March 21, 2013

Tiga Amalan Yang Tidak Terputus Setelah Kita Tiada Di Dunia Ini



Dari Abu Hurairah r.a, berkata, Rasulullah saw pernah berkata,

Apabila matinya anak adam, akan terputuslah segala amalannya, kecuali 3 perkara iaitu sedekah amal jariah, anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat, Riwayat Bukhari dan Muslim

Terputusnya segala amalan


Membawa maksud, segala amalan-amalan yang dilakukan oleh di mati, TERPUTUS..Tetapi, amalan di antara yang hidup untuk si mati, tidak terputus.Ini berdasarkan satu hadis, terdapat seorang wanita bertemu Rasulullah dan menyatakan, ibunya telah meninggal dunia tetapi belum sempat mengerjakan haji.Rasulullah berkata, lakukanlah haji untuk ibumu. Oleh itu, si hidup boleh membacakan al-quran untuk si mati, boleh mengerjakan puasa yang belum sempat di ganti untuk si mati, boleh juga mewakafkan harta untuk si mati.


3 Amalan yang berkekalan


1.Sedekah jariah yang dilakukan. Segala bentuk sedekah bahan yang dikeluarkan oleh si mati semasa hayatnya termasuklah sedekah wang,makanan,harta benda dan dalam katogeri ini termasuk juga harta yang di waqafkan oleh si mati semasa hidupnya. Sebagai contoh seseorang itu mendirikan surau untuk kegunaan Masyarakat setempat. Selagi mana surau itu di menfaatkan selagi itulah pahala mengalir untuk si mati. Orang yang hidup atau waris boleh juga bersedekahkan bagi pihak si mati tak kiralah samaada sedekah itu hasil dari wang,harta, peninggalan si mati atau wang waris sendiri.Yang pentingnya ialah niat kita untuk bersedekah bagi pihak si mati. Amalan "waqaf" dalam Islam juga telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk "Kementerian Waqaf "


2. Ilmu yang bermanfaat.


"Ilmu yang berguna atau bermanfaat yang di ajarkan kepada orang lain," yang tersebut dalam hadith ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan ilmu-ilmu kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya,pengajaran kepada murid-muridnya dan orang ramai,atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya.
Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.



3. Anak-anak yang soleh dan solehah



Selain dari doa anak anak yang soleh/solehah terhadap ibu bapanya, doa antara sesama kaum muslimin pun bermanfaat untuk si mati. Ini berdasarkan kepada dalil berikut : Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu”. Al-Hasyr ayat 10.

Mengenai doa anak yang soleh/solehah Insya’Allah doa akan bermanfaat jika anak-anak itu bersolat.Kalau tak solat pasti doa itu tak akan diterima sebab solat itu tiang agama, tidak diterima segala amal kebaikan jika tidak bersolat termasuklah doa. Jadi usahakanlah supaya anak-anak kita terdiri dari golongan orang orang yang mengerjakan solat.

Sunday, March 10, 2013

MEMBIASAKAN YANG BETUL, MEMBETULKAN YANG BIASA

Bil
Salah
Betul
Catatan
1
Semua permohonan mesti sampai selewat-lewatnya pada minggu depan bagi memudahkan ianya diproses oleh pihak JPA.
Semua permohonan mesti sampai selewat-lewatnya pada minggu depan bagi memudahkan
permohonan diproses oleh pihak JPA.
Ianya tidak boleh dianggap
sebagai kata ganti diri seperti it dalam bahasa Inggeris.
2
Gotong royong
Gotong-royong
Kata berganda, dieja dgn
tanda sempang.
3



…mengucapkan terima kasih
di atas kehadiran semua.



…mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua...
Di atas untuk hal-hal yang fizikal dan boleh disentuh atau dilihat.Contoh: Di atas meja...


Untuk hal-hal yang abstrak, lebih tepat kata sendi atas. Contoh:  Mengambil kesempatan atas kelemahan…
4
…bersandarkan kepada
keperluan…
…bersandarkan keperluan…
Tidak perlu ada kata sendi
kepada
5
dari 250 unit kepada 300
unit…
…daripada 250 unit kepada 300 unit…
Padanan yang tepat
....dari… ke ....
....daripada…kepada

Sumber : http://guruselamanya.wordpress.com

Mutiara Kata

(1) Semiskin-miskin orang ialah orang yang kekurangan adab dan budi pekerti – Hukama
(2) Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan. – Peribahasa Arab
(3) Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika digunakan.
(4) Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia. – Richard Brinsley Sheridan
(5) Kamu dapat mengenal lebih banyak tentang diri seseorang itu dari adab dan pertanyaannya, bukan dari jawapan-jawapannya. – Voltaire
(6) Setiap orang dapat mencapai kejayaan dalam hal apa saja, asalkan ia sangat menyukai pekerjaan yang dilakukan.
(7) Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal,tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah.
(8) Jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaannya, kerana engkau dipandang manusia bukan kerana rupa tetapi kesempurnaan budi dan adab.
(9) Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang. – Samuel Johnson
(10) Seseorang yang jujur diterima ucapannya oleh musuh.

(11) Pengecut mati banyak kali sebelum kematiannya. Yang berani mati hanya sekali.
(12) Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji.
(13) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.
(14) Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. 
(15) Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.
(16) Jika keadilan ditegakkan, keberanian tidak diperlukan lagi.
(17) Barangsiapa menyebarluaskan berita-berita kekejian yang didengarnya, maka dia seperti pelakunya.
(18) Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal.
(19) Orang yang sibuk selalunya nampak bising, orang bekerja diam diam sahaja.
(20) Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah – Ali imran : 159


Friday, January 25, 2013

USAHA-USAHA MEMUPUK SEMANGAT KERJASAMA DALAM KALANGAN MASYARAKAT

 
TEMA
SEMANGAT KERJASAMA
TUGASAN SOALAN
USAHA-USAHA MEMUPUK SEMANGAT KERJASAMA DALAM KALANGAN MASYARAKAT
ARAS
CEMERLANG ( 26 –30 MARKAH )

             Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat  peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kerana semangat bekerjasama begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

             Sebenarnya semangat kerjasama dalam masyarakat dapat dipupuk melalui peranan ibu bapa. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan ibu bapa bersama-sama ahli keluarga yang terdiri daripada anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat  tinggal mereka. Ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti. Manfaatnya setiap keluarga akan dapat dipertemukan dengan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat  bekerjasama dalam kalangan anggota masyarakat dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

             Selain itu semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dapat dibentuk melalui kempen-kempen kesedaran oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan seharusnya mengadakan kempen memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa agar terus subur dalam sanubari mereka. Tuntasnya, semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat bekerjasama  penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

             Di samping itu, semangat kerjasama juga dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat melalui peranan jawatankuasa penduduk setempat. Dalam hal ini, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama-sama dalam suasana yang aman dan harmoni ibarat peribahasa ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan akan dapat dinikmati  dengan penuh bermakna. Sebagai contohnya, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh mengadakan aktiviti seperti gotong-royong membersihkan atau menceriakan kawasan setempat,  seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti. Jelaslah semangat kerjasama penting bagi merapatkan hubungan anggota masyarakat dalam suatu kawasan penduduk setempat .

            Semangat kerjasama merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Dengan itu, peranan sekolah amat penting dalam memupuk semangat kerjasama kepada murid-murid di sekolah. Melalui pengajaran dan pembelajaran para guru boleh membimbing murid-murid tentang kepentingan semangat bekerjasama. Pelbagai aktiviti berbentuk kerjasama dalam kalangan murid-murid seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengemas dan menceriakan bilik darjah, menghias sekolah dengan jalur gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan sebagainya dapat diimplimentasikan.   Hal ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia melalui semangat bekerjasama yang diterapkan di peringkat sekolah ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya membolehkan keharmonian masyarakat terbentuk.

             Intihanya, semangat kerjasama merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, semangat bekerjasama bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.
 

Penskoran : 26/30
Sumber : Program Jawakhir Johor