Showing posts with label Karangan A. Show all posts
Showing posts with label Karangan A. Show all posts

Monday, October 30, 2023

KEPENTINGAN GOTONG-ROYONG

 



Gotong-royong merupakan amalan saling menolong atau kerja bersama-sama tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Masyarakat Malaysia pada hari ini semakin kurang mengamalkan gotong-royong kerana mereka lebih suka duduk di dalam rumah sendiri sambil menonton rancangan televisyen atau bermain permainan komputer. Seotong-royong ini. Sebenarnya, amalan  bergotong-royong telah banyak membawa kebaikan kepada kita.

Kebaikan amalan gotong royong adalah sebagai wahana perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Masyarakat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan latar belakang. Melalui aktiviti gotong-royong, kita dapat memahami dan menghormati adat istiadat kaum lain tanpa menimbulkan rasa waswas dan curiga. Kesannya , hubungan erat dapat diwujudkan dan memupuk semangat kerjasama bagai aur dengan tebing dalam kalangan masyarakat.

Selain itu,  amalan gotong royong dapat membersihkan kawasan tempat tinggal daripada vektor penyakit seperti nyamuk dan lalat. Kadar penyakit seperti demam denggi dapat diturunkan apabila kawasan pembiakan nyamuk dihapuskan melalui aktiviti gotong-royong ini. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa Melayu, mencegah lebih baik daripada mengubati.  Di samping itu, persekitaran yang bersih dan ceria dapat diwujudkan melalui aktiviti gotong-royong ini.

Kesimpulannya, aktiviti gotong-royong sangat bermanfaat bukan sahaja kepada masyarakat malah kepada negara. Amalan ini akan membantu kita untuk hidup dalam keadaaan sejahtera, harmoni dan saling bekerjasama sesuai dengan slogan negara bersih, rakyat sihat.


Friday, October 20, 2023

PERHIMPUNAN MINGGUAN SEKOLAH

 


Tema : Perhimpunan mingguan sekolah
Kehendak : faedah perhimpuan mingguan sekolah
Format karangan : tidak berformat

Perhimpunan rasmi merupakan salah satu aktiviti yang lazimnya diadakan pada pagi setiap hari Ahad dengan menghimpun semua murid dan guru-guru di sesuatu tempat.  Perhimpunan rasmi merupakan agenda pendidikan yang wajib  diadakan di setiap sekolah supaya maklumat yang penting dapat disampaikan kepada murid-murid oleh pihak sekolah. Namun demikian, perhimpunan rasmi sekolah sering dipandang remeh oleh para murid. Sebenarnya, terdapat banyak manfaat menghadiri perhimpunan sekolah.

Manfaat perhimpunan mingguan adalah dapat memupuk disiplin dalam kalangan murid. Hal ini dikatakan demikian kerana murid harus mengikut peraturan yang ditetapkan semasa perhimpunan.  Sebagai contoh, murid dididik supaya menghormati majlis yang diadakan dengan berada di tempat masing-masing mengikut barisan dan menjaga tingkah laku.. Tegaslah, perhimpunan rasmi akan membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kokurikulum seterusnya meningkatkan kemenjadian murid.

Seterusnya, semangat patriotik dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat disuburkan dalam diri para murid dan guru-guru dengan adanya perhimpunan rasmi di sekolah. Nyanyian lagu Negaraku akan membakar semangat mereka untuk menjaga negara yang tercinta.  Sebagai contoh, sambutan Bulan Kemerdekaan yang biasanya dirasmikan semasa perhimpunan rasmi juga akan menyebabkan para murid menghargai jasa tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk negara. Teranglah, perhimpunan rasmi sekolah amat penting bagi melahirkan modul insan berjiwa patriotik pada masa hadapan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

       Sebagai kesimpulannya, pelbagai manfaat dapat diperoleh oleh warga sekolah menerusi perhimpunan rasmi sekolah. Sejajar dengan hal ini,  Kementerian Pendidikan Malaysia perlulah memastikan perhimpunan rasmi diadakan secara berterusan dan mematuhi tempoh masa yang ditetapkan. Kehadiran murid yang lewat ke sekolah juga dapat dikurangkan. Pihak sekolah pula mesti memastikan perhimpunan rasmi dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga sekolah.