Thursday, November 1, 2012

Huraian Nilai Kegigihan Dalam Kajian Novel

Berdasarkan novel yang anda pelajari, huraikan peristiwa yang memaparkan nilai kegigihan dalam novel tersebut. [ 7 markah ]

Contoh jawapan:
NOVEL MELUNAS RINDU

Terdapat pelbagai peristiwa yang memaparkan nilai kegigihan dalam novel Melunas Rindu karya Hartini Hamzah.

Pertama, nilai kegigihan seorang anak mencari ibu kandung yang telah disangka telah meninggal dunia. Sebagai contohnya, Fuad gigih berusaha mencari kubur ibu kandungnya yang disangka telah meninggal dunia dengan pergi ke Sungai Ruan dan Lembah Klau untuk mencari pusara ibunya dan saudara-saudara sebelah ibunya.

Selain itu, nilai kegigihan menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Misalnya, kegigihan Swee Lan mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga demi membesarkan anak-anaknya yang masih bersekolah setelah suaminya, Peter Lim yang sakit tenat.

Seterusnya, nilai kegigihan menambat kembali hati seorang ibu angkat yang merajuk. Buktinya, Fuad gigih berusaha untuk mengambil hati Mak Salmah yang sangat membencinya ekoran tindakan Fuad melarikan Sofea untuk diserahkan kepada bapa kandungnya, Robert Lim.

Akhir sekali, nilai kegigihan mendidik anak-anak bangsa. Tamsilnya, Cikgu Farhana, seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia, gigih mendidik anak-anak muridnya supaya berjaya dalam pelajaran mereka. Sementara itu, Fuad (guru sandaran di Sekolah Menengah Seri Setia) turut gigih mengadakan kelas tambahan sehingga lewat petang kepada murid-muridnya dalam usaha memastikan anak-anak muridnya berjaya dalam pelajaran.

NOVEL KABUS DI BERBUKITAN

Terdapat pelbagai peristiwa yang memaparkan nilai kegigihan dalam novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid bin Hamzah.

Pertama, nilai kegigihan untuk mencapai kemajuan dalam kerjaya yang diceburinya. Sebagai contohnya, Azrul atau Datuk Azrul gigih berusaha memajukan projek ternakan kambing dan tapak semaiannya hingga berjaya.

Selain itu, nilai kegigihan menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Misalnya, Salmah sanggup bekerja di sawah bagi menampung kehidupan bersama-sama anaknya Faridah, setelah Kamarudin meninggalkan mereka.

Seterusnya, nilai kegigihan mencari mangsa kemalangan yang hilang. Buktinya, kegigihan pihak polis, Bomba dan Penyelamat, RELA, Perhilitan dan Pejabat Daerah Raub serta Hulu Selangor yang berusaha mencari Faridah dan Iqbal yang hilang selepas van yang mereka naiki terbabas dan terhumban ke dalam gaung. Selepas pihak polis gagal menemui mereka, Mejar (B) Kamarudin (bapa Faridah) dengan bantuan Buyong gigih meneruskan usaha mencari Faridah dan Iqbal sehingga berjaya menemui mereka di perkampungan Orang Asli.

Akhir sekali, nilai kegigihan mengamalkan adat, budaya dan ajaran agama Islam walaupun berada di negara asing. Tamsilnya, Faridah walaupun sudah 25 tahun menetap di New Zealand dan berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris (Soleh Johnsons), tetap gigih mengamalkan adat dan budaya Melayu serta ajaran agama Islam dalam kehidupan mereka sekeluarga.

Tuesday, October 9, 2012

JAWAKHIR 2012 : KELUARGA IMPIAN SAYA




Tema       : Keluarga
Tugasan : Ciri-ciri keluarga yang diimpikan

“Rumahku, syurgaku” merupakan ungkapan keramat yang memanifestasikan peri pentingnya setiap ahli dalam sesebuah keluarga memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin sehingga menjelmakan kebahagiaan yang menjadikan rumah seumpama syurga. Semua insan mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya. Dalam sebuah keluarga yang bahagia, nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan seharian ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain kerana sikap saling membantu bagai aur dengan tebing harus diamalkan dalam sesebuah keluarga. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu mengatakan bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni. Oleh itu, kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan.

           Sesungguhnya setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipan masing-masing demi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa haruslah memainkan peranan penting untuk membina keluarga yang harmoni dan mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa jugalah yang akan memberikan bekalan yang terbaik kepada anak-anak seperti ilmu pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak pada  era globalisasi ini semakin cepat menerima  apa-apa yang dipelajari, maka anak-anak ini perlu dibaja dengan perkara yang baik dan berfaedah serta membuahkan hasil. Anak-anak umpama sehelai kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi sehelai kain batik yang cantik lagi menarik. Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu bapalah  yang  menjadi guru mereka kerana merekalah guru yang pertama dan terdekat yang boleh membimbing anak-anak supaya menjadi insan yang berwawasan apabila dewasa kelak. Anak-anak akan meniru jejak langkah ibu dan bapa kerana mereka merupakan idola anak-anak mereka semasa kecil dan hal ini dapat diibaratkan bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Haruslah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa pasti ada yang akan menjejaki langkah mereka. Tuntasnya, benarlah bahawa ibu bapa haruslah membentuk sahsiah anak-anak mereka untuk menjadi insan yang cemerlang dari segi fizikal mahupun rohani mereka dan ciri keluarga beginilah yang menjadi impian saya.

Selain itu, ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka yang mana  intan, yang mana  kaca, iaitu mereka bijak membezakan antara perbuatan yang baik dan sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh sifat anak-anak yang naif lantas tidak berupaya membezakan antara perbuatan  yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam konteks ini  ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka  tentang realiti menempuh kehidupan yang diredai Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi pergaulan anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri mereka terlampau bebas sehingga terjerumus ke lembah dunia yang penuh dengan masalah sosial dan susila yang meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan yang buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan masa depan mereka. Tidak cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena tak bena. Sebaliknya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan secukupnya selain melayan anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa juga perlu memastikan  anak-anak memperoleh didikan agama yang mantap sejak anak-anak masih kecil lagi kerana tanpa pegangan agama yang kukuh mereka akan tersesat seperti layang-layang terputus talinya. Ironinya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh belantara kehidupan. Dalam benak  saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang menjadi idaman saya.

Anak-anak akan kehilangan semangat untuk melakukan sebarang kerja  seharian jika ibu bapa tidak meluangkan masa dengan  mereka walaupun hanya untuk bertanyakan khabar. Lantaran itu, ibu bapa haruslah berusaha sedaya mungkin untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga tidak bererti  mereka hanya melakukan aktiviti di luar rumah, bahkan usaha tersebut  boleh juga dilakukan di dalam rumah sepeti membincangkan masalah yang membelenggu pemikiran anak-anak di samping menyelesaikannya. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap anak-anak  dengan bertanyakan masalah yang dihadapi, perkembangan pelajaran di sekolah dan kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sikap rakus dalam mengejar fatamorgana  dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab  terhadap anak-anak. Wang ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi tetapi kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci itu adalah penting bagi menjana keluarga bahagia. Tidak salah jika ibu bapa mencari rezeki pada  siang hari, tetapi jika sering pulang lewat petang sehingga mengabaikan makan minum anak-anak, tentu mereka akan  makan hati. Peribahasa Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak yang kurang memperoleh kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Walau bagaimanapun, ibu bapa haruslah meluangkan masa mereka bersama dengan anak-anak  agar mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga bahagia.

Menjadi anak yang derhaka ialah perkara yang dilarang sama sekali dalam mana-mana ajaran agama. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti perintah ibu bapa mereka. Anak-anak hendaklah belajar dengan penuh kesungguhan dan mendapat  keputusan yang cemerlang kerana pencapaian tersebut dapat membanggakan ibu bapa untuk membalas jasa mereka. Anak-anak seharusnya memuliakan maruah diri dan maruah keluarga dengan tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, dan menagih dadah. Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat ibu bapa, bukannya menjadikan diri mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tidak sepatutnya jasa ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan  begitu sahaja. Sebagai insan yang bergelar anak  kita haruslah mengenang jasa mereka kerana kita ditegah untuk menjadi seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak haruslah mengambil alih tugas ibu bapa yang dahulu menjaga kita sewaktu kecil dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri mereka lagi. Jika ibu bapa boleh menatang kita umpama anak emas, mengapa kita sebagai anak tidak boleh melakukan hal yang sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak bijak untuk menghargai seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka sedangkan  ibu bapalah yang telah membimbing, mendidik dan menjaga mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya tiada ibu bapa,siapakah kita pada hari ini? Akhir sekali,anak-anak harus mentaati perintah ibu bapa agar keluarga bahagia dapat dibina. Sejujurnya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam sebuah keluarga yang menjadi impian saya.

Haruslah menjadi kewajipan dalam institusi kekeluargaan untuk saling hormat menghormati  antara satu sama lain. Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan, terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik keluarga secara tidak langsung. Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga, mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina. Ahli keluarga haruslah  bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik, haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang, malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah. Kita haruslah mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Tegasnya, saya mengimpikan ahli keluarga yang  mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan  untuk membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati.

Kesimpulannya,  itulah antara ciri keluarga yang menjadi impian saya, terutamanya setelah saya dewasa dan membina keluarga sendiri. Semuanya akan menjadi kenyataan sekiranya saya berjaya dalam bidang pelajaran yang sudah pasti akan menjadikan masa hadapan saya cerah kerana kedudukan ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan pasangan yang menjadi suri kehidupan saya akan memikul tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin agar anak-anak akan menjadikan kami sebagai rol model mereka. Dengan keizinan daripada Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan tercapai. Lebih jauh lagi, saya mesti berusaha dengan penuh kesungguhan agar impian tidak tinggal sebagai mimpi pada siang hari kerana tanpa usaha tiadalah kejayaan. Semoga fajar yang  menyingsing pada sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang  memberikan sinaran paling gemilang dalam kehidupan saya.
Penskoran :
Peringkat
Cemerlang
Markah dicadangkan
82 - 85
Komen :
Tugasan
Menjawab tugasan.
Idea
Relevan. Huraian jelas.
Bahasa
Ayat gramatis. Kosa kata luas dan menarik.
Pengolahan
Menarik dan berkesan. Pemerengganan seimbang.

Monday, July 30, 2012

KELEBIHAN RAMADAN


Nabi bersabda, "Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan, adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika dijauhi dosa-dosa besar.” (HR Muslim no: 233)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa sempat bertemu bulan Ramadan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauhlah dia dengan Allah" (HR Ibn Hibban)

Nabi saw. bersabda, "Telah datang kepadamu Ramadan, bulan berkah, Allah mewajibkan kamu berpuasa, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu Neraka ditutup, syaitan diikat, dan di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. (HR Imam Ahmad dan Imam Nasa’i)

Nabi saw. bersabda, "Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." (HR Muslim)

Nabi saw. bersabda, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan ikhlas mengharapkan pahala dari Allah, maka dosanya yang lalu akan diampun oleh Allah.” (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji." (HR Bukhari)

Firman Allah, "Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam al-Qadar. Apakah yang kebesaran yang terdapat pada malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlaku pada
tahun berikutnya. Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar." (al-Qadr:1-5)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa bersolat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampun dosa-dosanya yang lalu." (HR Muslim)

Saturday, July 7, 2012

SEPULUH PERKARA


10 perkara yang menyebabkan seorang guru menangis atau sekurang-kurangnya berasa ingin menangis….atau menangis dalam hatinya.

  1. Jika dia tidak dapat mengajar pelajarnya memahami atau mengerti apa yang diajarkannya.
  2. Jika dia menyaksikan pelajar-pelajarnya gagal dalam ujian, tidak lulus dalam mata pelajaran yang diajarkannya. Kesedihan ini akan terasa begitu mendalam jika pelajar-pelajarnya gagal di dalam menghadapi “ujian kehidupan”.
  3. Jika dia melihat pelajarnya gagal dalam hidup dan kehidupannya.
  4. Jika guru itu tidak bisa membuat muridnya lebih baik daripada dirinya.
  5. Jikia dia tidak bisa membuat muridnya lebih pandai daripada dirinya.
  6. Jika dia tidak boleh mengajar para pelajarnya lemah lembut dalam bertutur kata, bersikap matang, arif dalam memilih, dan bijaksana dalam membuat keputusan.
  7. Jika dia melihat atau mendengar muridnya terlibat di dalam dunia hitam, seperti jenayah, penagihan dadah dan kesalahan lain seumpamanya.
  8. Jika dia melihat pelajarnya menjadi insan yang dijauhi masyarakat, seperti, penzina, curang, pecah amanah, terlibat dengan rasuah, terlibat dalam bidang maksiat seperti pelacuran dan seumpamanya.
  9. Jika ilmu yang diajarkannya hanya dihafal sekadar untuk lulus dalam peperiksaan tetapi tidak diaplikasikan dalam kehidupan nyata.
  10. Jika ilmu yang diajarkannya disalahgunakan, atau dengan kata lain, ilmu yang diajarkannya digunakan untuk tujuan kejahatan seperti menipu. merompak, menganiaya dan membunuh insan lain.

Tuesday, June 26, 2012

TERIMA KASIH GURUKU

Pemahaman Prosa Klasik : Hikayat Siak

Set 2 Hikayat Siak

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Hatta, pada waktu itu Raja Bugis pun datang ke Mengkalis, Daeng Parani, dan Daeng Celak, dan Raja Tuha. Lalu ia mendapatkan baginda, kerana sudah berkenalan dengan baginda, tatkala di Bangkah Kota; baginda duduk dengan Sultan Palembang. Dan serta bertemu dengan baginda, lalu berbicara, hendak melanggar Johor. Daeng Parani pun meminta perjanjian, jikalau dapat Johor, baginda menjadi Yang Dipertuan Besar; Daeng Parani menjadi Yang Dipertuan Muda. Sudah putus muafakat , dan Daeng Parani minta hendak pergi ke Langat, dan mengambil segala Bugis yang ada di sana. Dan barang bila esok, hendak pergi menyuruh membawa surat ke Johor kepada Yang Dipertuan Johor mengatakan, paduka anakanda hendak menuntut kematian Marhum Mangkat Dijulang. Dan jikalau kota yang buruk, suruh baiki kota; yang parit tohor, suruh dalamkan.
Dan serta sampai surat itu ke Johor, maka Yang Dipertuan Johor pun mengampungkan segala orang besar-besar, muafakat, menyuruh membaiki kota, parit. Dan sudah masyhur khabar itu, mengatakan anak Marhum Mangkat Dijulang sudah keluarlah; segala rakyat pun datang, dibawa oleh Raja Negara Selat. Dan serta sampai, bertemu dengan Yang Dipertuan di Mengkalis, mengatakan tuan dari Johor. Dan segala Minangkabau mengatakan tuan dia, datang dari Minangkabau.
Hatta, lalu berkelahi. Maka titah baginda, “Janganlah engkau berkelahi, sama-sama bekerjalah.” Dan baginda pun menyiapkan perahu, kecil besar. Setelah sudah, sampailah ketika yang sempurna, maka baginda pun berangkat ke Johor. Dan segala rakyat Selat, dan segala yang di lahut, semuanya mengiringkan baginda.
(Dipetik daripada ‘Hikayat Siak’ dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berikan maksud mengampungkan segala orang besar-besar. [ 2 markah ]
(ii) Apakah perjanjian yang dibuat antara baginda dengan Daeng Parani? [ 2 markah ]
(iii) Berikan kebaikan bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan? [ 4 markah ]

Cadangan Jawapan Set 2 Hikayat Siak
(i) Maksud - mengumpulkan semua pegawai [2 markah]
(ii) Perjanjian
- Jika Johor berjaya ditawan, baginda menjadi Yang Dipertuan Besar dan Daeng Parani menjadi Yang Dipertuan Muda [2 markah]

(iii) Sebab
- kerja yang susah akan menjadi mudah
- kerja dapat disempurnakan dalam masa yang singkat
- dapat mengeratkan tali silaturahim
- memupuk semangat bertolak ansur
- menjamin keharmonian
- wujud masyarakat yang bersatu padu
- hasil yang diperoleh dapat dinikmati bersama-sama
- dapat berkongsi idea                         [4 markah]

Pemahaman Prosa Klasik : Hikayat Siak

Set 1 Hikayat Siak

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dan sampailah di Kuala Johor. Maka orang Johor pun gegerlah, mengatakan, “Tuan kita sudah datang!” Dan mana suku Laksamana, semuanya datang, menghadap baginda. Maka kata orang Johor, “Jikalau betul asal tuan kami, minta tawarkan air yang masin.” Dan titah baginda, “Baiklah.” Dan lalu diambil rotan, dilingkar, dimasukkan ke dalam air. Maka baginda beryang-yang, “Jikalau betul asal dari raja Johor, hendaklah Allah Taala tawarkan air yang masin, menjadi tawarlah.” Lalu dimasukkan ke dalam lingkaran rotan itu. Maka segera diambilnya air itu. Dan, masing-masing minum air itu, sangat tawarnya, lagi sejuk rasanya. Maka segala orang Johor pun bersoraklah, “Ialah, tuanku patik, Tuanku Yang Maha Mulia ini!” Dan banyaklah yang mengikut baginda. Dan baginda pun bertitah kepada segala rakyat, “Hendaklah kamu mengatakan ‘daulat’.”
Maka baginda pun masuk ke Negeri Johor. Maka dibedil orang dari kubu Johor. Maka segala meriam pun keluar air kepada mulut meriam. Satu pun tiada berbunyi. Maka baginda pun mudik, didayungkan oleh segala rakyat, sambil bertimang, berakung, lalu ke Pangkalan Rama, di jambatan dalam. Maka baginda pun melompat naik ke atas jambatan. Baginda memegang pedang kerajaan yang bernama Sepurejab, telah terhunus dari sarungnya.
(Dipetik daripada ‘Hikayat Siak’ dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berikan maksud beryang-yang. [ 2 markah ]
(ii) Nyatakan cara baginda menukarkan air masin menjadi tawar. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah bukti rakyat menunjukkan taat setia kepada pemerintah? [3 markah ]

 
Cadangan Jawapan Set 1 Hikayat Siak
(i) Maksud - membaca mantera/ memuja sesuatu [2 markah]
(ii) Cara
- mengambil rotan, dilingkar
- baginda beryang-yang
- dimasukkan lingkaran rotan ke dalam air     [3 markah]
(iii) Bukti
- sentiasa mematuhi arahan/ perintah
- menjaga keamanan negara
- bekerja keras memajukan negara
- menghormati pemerintah
- mematuhi peraturan dan undang-undang [3 markah]

Friday, June 8, 2012

BERHATI-HATI DENGAN PANGGILAN PALSU 03-2772xxxx

Sumber : http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=61&pg=69&ac=2033&print=1

Bank Negara Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon yang mendakwa dibuat oleh Bank Negara Malaysia atau mana-mana bank perdagangan.
Hakikatnya ialah:
  • Tiada jabatan "Unit Kad Kredit Palsu" di Bank Negara Malaysia
  • Nombor telefon 03-2772-XXXX bukan talian telefon Bank Negara Malaysia
Orang ramai yang mempunyai akaun bank adalah dinasihati supaya tidak mendedahkan nombor pengenalan peribadi (PIN) dan kata laluan kepada pihak ketiga. Pihak bank TIDAK PERNAH meminta maklumat peribadi melalui panggilan telefon.
Berdasarkan aduan terkini yang diterima oleh Bank Negara Malaysia, terdapat peningkatan dalam kejadian panggilan telefon oleh penipu kepada orang ramai yang tidak mengetahui mengenai kegiatan ini, bagi mendapatkan maklumat perbankan peribadi mereka dengan tujuan untuk mengambil wang daripada akaun mereka.
Berdasarkan siasatan oleh Bank Negara Malaysia, modus operandi terkini kegiatan penipuan ini adalah seperti yang berikut:
1. Mangsa menerima panggilan telefon dari sebuah 'bank perdagangan' meminta mangsa mengesahkan sesuatu transaksi kad kredit untuk pembelian barangan dari luar negeri sebagai contoh, dari Shanghai yang kononnya telah dicaj kepada kad kredit mangsa.
2. Apabila mangsa memberitahu penipu itu yang beliau tidak ada membuat transaksi berkenaan, penipu itu akan berpura-pura bersimpati dengan apa yang berlaku dan menasihati mangsa untuk membuat aduan dengan "Unit Kad Kredit Palsu" di Bank Negara Malaysia. Penipu itu akan memberikan nombor telefon "Unit Kad Kredit Palsu" kepada mangsa.
3. Apabila mangsa menghubungi nombor telefon berkenaan, mereka akan disambut oleh sistem pesanan suara automatik yang menyatakan tempat itu sebagai Bank Negara Malaysia, dan panggilan tersebut kemudiannya dijawab oleh seseorang yang mendakwa dirinya sebagai pegawai Bank Negara Malaysia. Pegawai ini akan meminta maklumat berkaitan akaun perbankan dan kad kredit mangsa. Penipu itu kemudiannya, akan mengarahkan mangsa supaya memindahkan wang di kaunter kepada akaun pihak ketiga atas alasan untuk memastikan wang mangsa dilindungi.
4. Dalam kes lain, penipu akan meminta maklumat perbankan dan akaun kad kredit mangsa untuk membuat pindahan dana secara haram.
Untuk maklumat lanjut berhubung aktiviti penipuan kewangan, orang ramai boleh melawat laman Amaran Penipuan Kewangan di http://fraudalert.bnm.gov.my. Orang ramai juga boleh menghubungi atau melawat:
BNMTELELINK (Pusat Perkhidmatan Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465
Faksimile: (03)2174 1515
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my
Untuk menghantar pertanyaan melalui perkhidmatan SMS, sila taip:
BNM TANYA [pertanyaan/aduan anda] dan hantar kepada 15888*
(*Penghantar akan dikenakan caj oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi sebanyak RM01.5 bagi setiap mesej dan RM0.20 untuk menerima mesej)
BNMLINK (Pusat Perkhidmatan bagi Pengunjung)
Blok D, Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
(Waktu urusan: Isnin - Jumaat, 9:00 pagi - 5:00 petang)
Atau Cawangan BNMLINK di Bank Negara Malaysia Cawangan Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu and Kuching

ABMConnect (Talian Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia) Tel: 1-300-88-9980

Saturday, May 19, 2012

MANFAAT TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI

Teknologi maklumat merupakan agenda baharu yang mendapat tempat dalam sanubari segenap lapisan masyarakat. Kerajaan telah mengambil langkah yang serius untuk menerapkan budaya teknologi maklumat kepada masyara­kat. Berbagai-bagai kempen dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu. Berda­sarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, nyatalah bahawa bidang teknologi maklumat mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.
 
 
Teknologi maklumat mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan. Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan internet, masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari selur­uh dunia. Mereka hanya perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.


           Selain itu, teknologi maklumat dapat meningkatkan mutu pendi­dikan negara kita. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan sekolah-sekolah bestari yang menjadikan teknologi maklumat sebagai teras pendidikan. Apabila terlaksana kelak, sumber rujukan yang utama bagi pelajar bukan lagi guru mereka. Guru akan dianggap sebagai pemudah cara. Segala proses pembelajaran dan pengajaran akan dikendalikan oleh komputer. Sumber rujukan pula adalah dari sumber-sumber multimedia. Pelajar perlu memiliki kemahiran untuk mengendalikan komputer dan mereka sendiri yang akan meneroka segenap bidang ilmu yang dipelajari oleh mereka. Malah seseorang pelajar boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi menggunakan media komputer. Contohnya penubuhan Universiti Tun Abdul Razak merupakan satu langkah ke arah penerokaan ilmu di ruang siber tanpa menghadiri kuliah secara lumrah. Dengan penubuhan universiti maya ini, mutu pendidikan negara meningkat setahap lagi ke arah kemajuan.

         Teknologi maklumat juga mampu meletakkan negara kita se­tanding dengan negara-negara maju. Dalam zaman ini kemajuan sesebuah negara diukur dengan pencapaian dalam bidang teknologi. Oleh yang demikian sebagai sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju, Malaysia mestilah menitikberatkan bidang ini dan menjadikan kita duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Oleh sebab itulah negara kita mengeluarkan belanja yang banyak untuk meningkatkan segenap aspek yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Contohnya negara kita telah melancarkan satelit teleko­munikasi kita sendiri yang dikenali dengan nama MEASAT 1 dan MEASAT 11. Baru-baru ini pula saintis Malaysia berjaya menghasil­kan satelit ringan yang dikenali sebagai Tiongsat-1. Dengan pelancaran satelit-satelit ini, kita mampu menempatkan diri setanding dengan negara-negara maju dalam bidang telekomunikasi. Jadi, jelaslah teknologi maklumat menjadikan negara kita setanding dengan negara maju.


Penekanan dalam kemajuan teknologi maklumat akan menggalakkan pemindahan teknologi secara langsung dan tidak langsung. Pembinaan Koridor Raya Multimedia telah membuka peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat antarabangsa untuk beroperasi di sini. Dengan ini mereka akan memindahkan teknologi canggih ini untuk dipelajari oleh rakyat negara kita. Kerajaan tidak perlu membe­lanjakan wang yang banyak untuk menghantar pegawai untuk berkur­sus di luar negara. Selain itu, dengan pemindahan teknologi ke negara kita lebih banyak pihak yang mendapat manfaat. Selain kerajaan mendapat hasil cukai, peluang pekerjaan telah disediakan untuk dimanfaatkan oleh penduduk tempatan. Oleh yang demikian, kemajuan teknologi dapat menggalakkan pemindahan teknologi ke negara kita.

                                Teknologi maklumat juga dapat meningkatkan ekonomi negara. Perniagaan hari ini dijalankan melalui kaedah e-dagang atau perdagangan elektronik. Melalui kaedah ini peniaga tidak lagi perlu menyediakan ruang niaga yang besar dan memerlukan kos yang tinggi. Hal ini kerana pasaran dapat diperluas melalui internet. Pembeli dari dalam dan luar negara dapat melihat produk dengan hanya menekan tetikus, di samping membuat pesanan. Perdagangan cara ini ternyata lebih berkesan kerana menjimatkan masa dan tenaga pembeli. Peniaga pula hanya perlu meneliti skrin komputer untuk menjual barangan mereka. Contohnya Amazon.com merupakan sebuah syarikat penjualan bahan bacaan yang sangat terkenal dan telah membuktikan kejayaan dalam e-dagang ini. Natijahnya, teknologi maklumat dapat meningkatkan ekonomi negara.


Kesimpulannya, kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran teknologi maklumat kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah pada masa ini pun, pergantungan manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, untuk memastikan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju boleh direalisasikan dengan penguasaan dalam bidang teknologi maklumat. Sebagai rakyat Malay­sia, kita perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baru berkaitan teknologi maklumat agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung.

Sunday, May 13, 2012

ALFATIHAH BUAT ALLAHYARHAM ABD RAZAK BIN HASSAN @ HARON

Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Cikgu Abdul Razak Hasssan, rakan penulis blog Bahasa Melayu (http://galusbm1.blogspot.com/) yang sangat produktif kerana telah kembali kerahmatullah pada malam tadi. Beliau juga telah memberi saya inspirasi dan dorongan  dalam penulisan blog dan p&p subjek bahasa Melayu. Semoga rohnya dicucurkan rahmat oleh Allah s.w.t. dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Menurut laman web ppdjb,  Allahyarham Abd Razak bin Hassan @ Haron, Penolong Kanan Petang SMK Taman Pelangi, Johor Bahru telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 8.30 malam, 12 Mei 2012 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.Semasa hayatnya, beliau adalah seorang guru yang rajin, berdedikasi, cemerlang dan menampilkan pelbagai sifat terpuji khususnya dalam bidang pendidikan serta kepimpinan. Semoga roh allahyarham ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang beriman.

Belasungkawa buat keluarga Allahyarham. Alfatihah.

Wednesday, May 9, 2012

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN


             Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

            Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

            Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

            Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

            Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh paling jelas, dan atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka  melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.

            Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.

            Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

KARANGAN GALUS : LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU ORANG KURANG UPAYA (OKU)


            Orang Kurang Upaya merupakan orang yang kurang bernasib baik.Mereka dilahirkan dalam keadaan cacat atau mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan  untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU).
              Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta tidak memandang hina OKU.  Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan ingin dihargai,disayangi dan dihormati oleh masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak memandang sebelah mata serta tidak mentertawakan apabila berhadapan dengan golongan tersebut. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati OKU.
             Selain itu, pihak kerajaan boleh menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan kemahiran kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana .pendidikan dan kemahiran sangat penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas patut dipuji..Jelaslah bahawa, pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak ,’Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan’.
              Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan OKU menjalani kehidupan yang lebih baik.  Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan jangan menganggap OKU sebagai beban.Sebagai contoh, usaha murni pengusaha pusat beli-belah yang menyediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas, tandas dan tempat letak kenderaan amat dihargai. Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini perlu dicontohi.
               Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan maklumat peluang pendidikan dan kerjaya bagi  OKU. Setiap maklumat  mestilah disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa  kepada orang ramai. Kempen  Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa, maklumat boleh disalurkan melalui iklan,kempen,dan melalui drama. Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa.
         Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu mempunyai tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan OKU semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang bantuan, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pendek kata, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini.
      Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh,  pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk membantu OKU. Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU.

Saturday, March 31, 2012

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Menjelang abad ke-21, apabila masyarakat kita semakin maju, kita dapati bahawa tapak bumi ini telah menjadi mangsa dalam arus permodenan ini. Sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat mengenai isu pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran air, udara dan darat. Antaranya, isu jerebu yang mengancam negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan telah menjadi topik hangat yang dibincang dari kedai kopi hingga ke parlimen. “Kalau tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang”. Sikap manusia zaman moden yang asyik mengejar fata morgana sehingga mengabaikan isu pencemaran alam sekitar, merupakan faktor yang menyebabkan keadaan ini semakin merosot. Sekiranya keadaan ini dibiarkan, manusialah yang akan menerima padahnya pada suatu hari nanti. Memandangkan keadaan ini, maka pelbagai langkah drastik perlulah diambil sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah langkah yang boleh diambil untuk mengatasi pencemaran alam sekitar? Jawapannya terletak pada kita semua. Tidak kira siapa, yang pastinya semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini.

Pepatah Melayu ada mengatakan “tiada penyakit yang tiada penawarnya”. Usaha untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ini sepatutnya dimulakan daripada institusi keluarga. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting. Mereka sebagai orang terdekat kepada anak-anak sepatutnya mendidik mereka untuk menghargai dan mencintai alam sekitar sejak dari kecil lagi. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang isu-isu pencemaran alam sekitar yang terkini untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Mendidik sahaja tidak cukup, ibu bapa juga harus menjadi teladan kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat dan melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan udara. Dalam hal ini, sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak harus diamalkan oleh ibu bapa, iaitu mengajar anak menjaga kebersihan alam sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian. Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri menjadi teladan, maka anak-anak juga akan terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa. Dengan ini, nescaya pencemaran alam sekitar akan dapat diatasi.

Sekolah dapat diibaratkan sebagai rumah kedua kepada para pelajar. Oleh itu, pihak sekolah juga berperanan besar dalam usaha mengatasi pencemaran alam sekitar. Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah termasuklah mengadakan kem kesedaran untuk memupuk semangat cinta akan alam sekitar dalam kalangan para pelajar. Melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, pendidikan alam sekitar secara langsung dapat diberi kepada para pelajar. Contohnya, guru-guru boleh memberi tugas tertentu kepada pelajar seperti meminta mereka mencari artikel-artikel yang berkaitan dengan isu pencemaran alam sekitar dan menyuruh mereka membaca artikel tersebut di dalam kelas. Secara tidak langsung, mereka dapat disedarkan tentang kesan buruk yang dibawa oleh pencemaran alam sekitar. Dengan wujudnya kesedaran ini, barulah mereka akan mencurahkan usaha untuk menjaga alam sekitar ini. Semasa di sekolah, usaha ini juga boleh dilakukan melalui penubuhan Kelab Alam Sekitar. Tamsilnya, Kelab Alam Sekitar boleh mengadakan pelbagai program seperti ceramah dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah dengan tujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti alam sekitar secara intensif. Lantaran itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha pihak sekolah juga dapat membantu mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik juga merupakan salah satu langkah yang dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dengan efektif. Masyarakat perlulah mempraktikkan program 3R dalam kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai ‘Reduce, Reuse, Recycle’. ‘Reduce’ ialah usaha mengurangkan penggunaan bahan sumber yang terhad. Dalam erti kata lain, masyarakat haruslah berjimat cermat dalam menggunakan bahan sumber yang saban hari kian berkurangan seperti petroleum dan arang batu. ‘Reuse’ pula ialah usaha menggunakan semula bahan-bahan buangan secara terus atau mengubah fungsi bahan tersebut dengan mereka cipta barangan baru. Hal ini dilakukan untuk menjimatkan bahan sumber sekali gus mengurangkan sampah sarap yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Dalam pada itu, masyarakat perlu mempraktikkan amalan kitar semula iaitu mengguna semula bahan baru. Contohnya, masyarakat boleh menjual surat khabar dan majalah lama untuk dikitar semula. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan sampah malah dapat menjimatkan kos untuk pelupusan sampah. Bak kata pepatah, berjimat sebelum kena, ingat sebelum habis. Oleh itu, masyarakat haruslah sentiasa peka terhadap isu-isu pencemaran alam sekitar untuk mengelakkan pencemaran daripada menjadi semakin serius.

Dalam pada itu, statistik menunjukkan bahawa pencemaran alam sekitar kebanyakannya berpunca daripada pengeluaran asap ke udara dan sisa-sisa toksik ke dalam sungai. Menyedari kesan-kesan negatif yang dibawa oleh pencemaran alam ini, pihak berkuasa telah menguatkuasakan undang-undang untuk menangani masalah yang dibaratkan sebagai duri dalam daging negara yang sedang membangun. Dengan ini, kabinet telah memutuskan bahawa hukuman mandatori lima tahun penjara terhadap Ketua Pegawai Eksekutif dan presiden sesebuah syarikat yang melanggar undang-undang alam sekitar. Mereka akan diberi amaran terlebih dahulu dan surat yang berkaitan dengan larangan melepaskan asap hitam dan sisa toksik. Namun, jika keadaan mencurahkan air ke daun keladi berlaku, tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap mereka seperti yang diputuskan oleh kabinet. Pengusaha-pengusaha kilang haruslah menapis asap hitam dan menggunakan alternatif lain untuk menghapuskan sisa-sisa toksik kilang. Mereka tidak harus mengorbankan alam sekitar demi kesenangan diri. Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkuasa untuk mendakwa pihak yang mencemarkan alam sekitar dan disyaki menjejaskan kualiti alam sekitar. Dengan itu, diharapkan pencemaran alam sekitar dapat diatasi dengan penguatkuasaan akta dan undang-undang alam sekitar.

Kesimpulannya, masalah pencemaran alam sekitar di negara kita haruslah ditangani dengan segera dan usaha ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Alam sekitar telah dianugerahkan dan diamanahkan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah menjaganya dengan penuh tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini dibiarkan, kesannya akan memudaratkan manusia itu sendiri walaupun hidup dalam kemewahan. Adakah pemodenan negara lebih penting daripada keindahan alam sekitar? Adakah kita menginginkan kemewahan hidup semata-mata tanpa mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah selera. Dengan itu, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran memerlukan kerjasama, kesedaran dan keprihatinan daripada setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan kelstarian alam sekitar yang dianugerahkan kepada manusia.