Saturday, September 6, 2014

Keberkatan Ramadan

Bagai tetamu yang istimewa, Ramadan mengunjungi kita lagi dengan membawa perkhabaran dan jaminan yang istimewa lagi bermakna daripada Ilahi.  Jaminan bahawa sesiapa sahaja di kalangan hamba-hamba Allah s.w.t. yang melaksanakan segala bentuk ibadah  dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan memperoleh keampunan, keredaan serta rahmat-Nya.  Ramadan juga membawa nilai penting yang berkemungkinan jarang-jarang disedari oleh kebanyakan kita.  Bahawa ia menjelmakan detik waktu yang amat bernilai dan tiada tolok bandingnya berbanding dengan masa atau waktu-waktu yang lain.  Justeru keistimewaannya inilah maka telah menjadi tradisi bagi sahabat-sahabat untuk saling mengucapkan tahniah sebaik sahaja Ramadan menjelma.
Hari ini, ke mana sahaja melangkah pasti kita akan mendengar bicara tentang kemuliaan Ramadan; bulan yang diturunkan al-Qur'an padanya, bulan berlakunya peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam, bulan terbukanya pintu kebaikan dan kesejahteraan bagi mereka yang mencari keredaan Ilahi selain bulan tertutupnya pintu kejahatan bagi mereka yang takut akan kemurkaan-Nya.  Bicara itu, biar sebanyak mana atau sekerap mana berulang tidak akan bermakna selagi kita tidak dapat merungkai persoalan; di manakah kita berada setiap kali Ramadan datang mengunjungi. Adakah kita sama sahaja saban tahun setiap kali Ramadan datang dan berlalu pergi? 
Adakah kita sekadar berpuasa; menahan lapar dan dahaga, berbuka dan bersahur; semuanya hanya sebagai menepati piawai asas seorang Muslim?  Atau lebih malang lagi, kita berpuasa semata-mata untuk berbuka dengan menikmati hidangan secara keterlaluan bagi memenuhi nafsu, membiarkan setiap detik Ramadan yang dilimpahi rahmat Ilahi berlalu begitu sahaja dan menjadi manusia yang kerugian kerana tidak memperoleh sebarang manfaat atau keberkatan meskipun diberikan peluang untuk berada dalam bulan yang amat istimewa ini.  Berhubung dengan tabiat atau sikap menikmati hidangan berbuka secara berlebih-lebihan dan membazir, umum mengetahui bahawa ia amat dilarang dan bertentangan sama sekali dengan nilai kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam.  Oleh yang demikian, amatlah memalukan bagi sesiapa sahaja yang tidak berasa bersalah jika sifat ini merupakan tabiat dirinya saban waktu berbuka atau juga bagi sesiapa yang menggalakkan amalan ini bahkan pula mengambil keuntungan atas amalan buruk ini.
Larangan membazir dan berboros dalam makanan serta minuman ditegaskan dalam ayat 31, Surah al-A`raaf.  Ahmad Mustafa al-Maraghiy dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Maraghiy menegaskan bahawa makanan serta minuman termasuk perkara asas dalam kehidupan, namun terdapat dua kelompok yang hilang pedoman dalam kedua-dua perkara ini.  Mereka ialah orang yang bakhil dan orang yang keterlaluan dalam beragama.  Mereka tidak mahu makan dan minum daripada rezeki yang baik dan enak, sama ada disebabkan oleh perasaan bakhil dan kikir atau sanggup menyusahkan diri sendiri dan ingin menjauhkan diri daripada dosa untuk selama-lamanya atau hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja dalam setahun.  Kedua ialah orang mewah yang berlebih-lebihan dalam menikmati kelazatan jasad dan menjadikannya sebagai asas segala tumpuannya. Mereka makan, minum dan berseoronok sebagaimana yang dilakukan oleh haiwan ternakan.  Mereka tidak memiliki batasan atau sempadan yang dapat memberhentikan mereka daripada makan dan minum.
Bagi memastikan bahawa kita dapat memanfaatkan setiap detik Ramadan dengan sebaik-baiknya maka kita digalakkan supaya berdoa agar dikurniai kesihatan serta kekuatan jasmani selain semangat bagi benar-benar menghayati Ramadan.  Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi daripada Talhah ibn `Ubaidillah r.a. bahawa apabila Nabi s.a.w. melihat bulan sabit, maka Baginda mengucapkan, "Wahai Allah, keluarkanlah bulan sabit itu dengan penuh keberkatan dan keimanan, keselamatan serta kesejahteraan.  Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah.  Inilah bulan sabit yang membawa petunjuk dan kebaikan." 
Kesihatan yang baik dan jasmani yang kuat akan dapat memastikan kita dapat melaksanakan bukan sahaja ibadah puasa, tanggungjawab dan tugas hakiki bahkan juga amalan-amalan sunat dengan penuh khusyuk, kesungguhan dan ketekunan.  Seperkara yang juga perlu diberikan perhatian ialah pada bulan Ramadan inilah kita dapat membiasakan diri dengan disiplin yang tinggi, iaitu mengatur waktu dan membahagikan tugas dengan kaedah yang amat berkesan lagi bijak.  Misalnya kita mengatur jadual harian dengan menjalankan pelbagai kegiatan dan tanggungjawab serta memastikan kita dapat melaksanakan ibadah yang digalakkan seperti membaca al-Qur'an dan solat-solat sunat di sela-sela waktu yang ada. Dengan kata-kata lain, kita dapat memastikan setiap detik yang berlalu diisi sebaik-baiknya sehingga akhirnya pada setiap saat, kita berjaya melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah s.w.t. dan juga terhadap sesama manusia dengan amat berjaya.
Hakikatnya, penyucian jiwa dan nurani melalui pelbagai bentuk ibadah inilah yang akan membolehkan kita mencapai tujuan dan matlamat berpuasa, iaitu bertaqwa kepada Allah s.w.t.  Ketaqwaan ini yang menjadi asas kejayaan hidup insan sebagaimana dimaklumi, dapat membentuk akhlak, jiwa dan keperibadian yang terpuji seperti saling mengasihi sesama insan, lebih-lebih lagi antara sesama Muslim selain juga sentiasa berlapang dada dan mudah memaafkan kesilapan orang lain, biar sebesar mana sekalipun kesalahan tersebut.  Inilah antara hasil tarbiyah Ramadan yang mungkin kurang disedari kesannya terhadap suasana perhubungan dalam masyarakat. Sifat mudah memaafkan, berfikiran positif dan memiliki kecenderungan untuk mengatasi masalah yang rumit lagi sukar melalui perbincangan dan tindakan bersemuka secara berhikmahlah sebenarnya yang menjadi salah satu asas penting dalam usaha menangani masalah yang timbul sama ada dalam sesuatu hubungan, sesebuah organisasi, masyarakat dan juga negara.
Dengan peluang yang masih ada seharusnya kita berusaha mendapatkan limpahan keberkatan Ramadan melalui apa jua cara termasuklah dengan bersahur, yang dianggap kecil atau remeh oleh segelintir kita.  Ketahuilah bahawa bersahur membezakan ibadah puasa kita dengan ibadah puasa bangsa yang lain, khususnya Ahl al-Kitab selain berperanan memberikan kekuatan kepada tubuh untuk kita menjalani ibadah puasa sepanjang hari. Laporan Yedioth Ahronoth, salah sebuah akhbar Israel pada 2 Oktober yang lalu membuktikan betapa berbezanya ibadah puasa umat Islam dengan puasa agama lain, termasuklah kaum Yahudi.  Menurut akhbar berkenaan, semasa berpuasa Yom Kippur (salah satu puasa utama kaum Yahudi yang menuntut mereka berpuasa selama 24 jam tanpa makan serta minum), 65 orang telah jatuh pengsan, 12 orang terpaksa disedarkan semula, 195 orang cedera di jalan raya, 98 orang wanita hamil dikejarkan ke hospital sementara lebih 100 orang dewasa kelesuan dan mengalami kesukaran bernafas.  Keseluruhannya, tidak kurang daripada 1,779 orang yang terpaksa mendapatkan rawatan perubatan sepanjang berpuasa Yom Kippur itu.  Ternyata ibadah puasa umat Islam, khususnya Ramadan tidak pernah mencatat keadaan seumpama ini, bahkan ibadah puasa umat Islam menjadikan mereka lebih sihat, cergas dan dapat menghasilkan produktiviti yang tinggi jika ia dilaksanakan dengan mematuhi segala adab, keutamaan dan galakan sebagaimana yang dibimbing oleh Rasulullah s.a.w.  Bahkan ini juga amat berkaitan dengan jaminan yang diberikan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud bahawa Dia mahu agar hamba-hamba-Nya memperoleh kemudahan dan tidak sama sekali menanggung kesukaran (Surah al-Baqarah 2 : 185).

SUMBER : http://www.ikim.gov.my/