Thursday, October 27, 2011

Latihan Pemahaman :Dirgahayu Bahasaku

Baca sajak berikut dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dirgahayu Bahasaku
Ahmad Sarju


Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah.

Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh.

Cekal dan waja semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.

Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab dan bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru.

(September 2000)

Manuskrip Luka Bangsa, 2006
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)


LATIHAN 1
(i) Berikan maksud (2 markah)
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah bahasa Melayu perlu didaulatkan? (4 markah)
(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak tersebut. [3 markah]
LATIHAN 2
(i) Berikan maksud rangkap kedua sajak tersebut.[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha yang perlu anda lakukan untuk menguasai
Bahasa Melayu.[3 markah]
(iii) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut[4 markah]
LATIHAN 3
(i) Berikan maksud dirgahayu bahasaku berdasarkan sajak tersebut? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah masih ada segelintir masyarakat Melayu yang
enggan bertutur menggunakan bahasa Melayu. [4 markah]
(iii) Nyatakan tiga nilai murni yang terdapat dalam sajak tersebut.[3 markah]

**Murid mesti menjawab dengan ayat yang gramatis.
JAWAPAN 1
(i) Maksud:
- bangsa Melayu berhak memartabatkan bahasa Melayu di negara ini
(ii) Sebab:
- bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan / bahasa rasmi
- bahasa Melayu lambang perpaduan rakyat berbilang-bilang kaum
- bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu untuk memajukan agama, bangsa dan negara
- bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar di sekolah-sekolah
(iii) Pengajaran:
- kita hendaklah cinta akan bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara Malaysia
- kita hendaklah mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
- kita mestilah mempertahankan martabat bahasa Melayu sebagai lambang jati diri
bangsa daripada dicemari oleh bahasa asing
- kita haruslah menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam
pelbagai bidang
- kita haruslah bersyukur kerana bahasa Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun masih diamalkan hingga kini

JAWAPAN 2
(i) Maksud rangkap kedua:
- bahasa Melayu sebagai maruah bangsa
- mesti dipelihara martabatnya
- bahasa Melayu hendaklah digunakan sebaik mungkin
- mengeratkan ikatan mesra / hubungan silaturahim
(ii) Usaha:
- mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mendalam
- bertutur menggunakan bahasa Melayu dengan lebih kerap
- mendengar forum, seminar, kolokium berkaitan dengan bahasa Melayu
- membaca bahan-bahan ilmiah untuk mengayakan perbendaharaan bahasa Melayu
(iii) Persoalan:
- persoalan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
- persoalan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan
penyatuan masyarakat
- persoalan penerimaan dan penghayatan masyarakat dunia terhadap bahasa Melayu

JAWAPAN 3
(i) Maksud:
- semoga bahasa Melayu terus berkembang
(ii) Sebab segelintir masyarakat Melayu enggan bertutur menggunakan bahasa Melayu:
- tanggapan masyarakat bahawa bertutur bahasa Melayu melambangkan status yang
rendah
- mengagung-agungkan bahasa Inggeris
- bahasa Melayu bukan bahasa antarabangsa
- bahasa Melayu tiada nilai komersial
(iii) Nilai murni:
- nilai cinta akan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
negara ini
- nilai tanggungjawab iaitu memastikan bahasa Melayu tidak pupus dan dicemari
- nilai hemah tinggi iaitu menyanjungi kedaulatan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan
- nilai kesyukuran iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang terkenal dan
digunakan secara meluas

1 comment: