Wednesday, October 5, 2011

Peranan Ibu Bapa Dalam Melahirkan Masyarakat Penyayang

Perasaan saling menyayangi dan hormat-menghormati sesama ahli keluarga dapat membentuk keluarga penyayang. Berikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa dalam melahirkan individu yang penyayang.

FOKUS JAWAPAN: HANYA PERANAN IBU BAPA SAHAJA YANG PERLU DIBINCANGKAN


Nama pelajar : Ng Wan Yi

Tingkatan : 5 Amal

Anak –anak diibaratkan kain putih yang suci dan kudus manakala ibu bapa merupakan pencoraknya. Ibu bapa merupakan orang yang terdekat kepada anak-anak. Justeru itu, ibu bapa harus mengemudi amanah yang mustahak dalam menentukan kehidupan anak-anak yang sewarna pelangi atau semalap gelap. Kesedaran tentang kepentingan masyarakat penyayang terhadap sesebuah negara yang sedang membangun atau sudah membangun terpahat dalam sanubari kita. Hal ini demikian kerana perasaan saling menyayangi dan hormat menghormati dalam masyarakat dapat menjamin perpaduan yang mengundang kemajuan dan kemakmuran negara. Tanpa masyarakat penyayang, negara Jalur Gemilang mempunyai kemungkinan besar tercetus peperangan yang dahsyat. Dengan ini, rakyat akan hidup dalam kesengsaraan dan kehimpitan daripada segi fizikal dan emosi. Persoalan yang menerjah benak kita, apakah peranan ibu bapa dalam melahirkan masyarakat penyayang.

Sebagai mukadimah dan lontaran idea dominan, peranan ibu bapa dalam menzahirkan anak-anak yang penuh dengan kasih sayang adalah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengimplementasikan tingkah-laku yang berunsur positif di dalam rumah mahupun di luar rumah kerana bapa borek anak rintik. Anak-anak akan mengikut jejak dan mencontohi gelagat ibu bapa kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa yang bersikap ganas mustahil dapat menzahirkan zuriat yang kamil dan soleh. Sebagai tamsilannnya, ibu bapa haruslah menyayangi ahli keluarga termasuklah datuk dan nenek yang uzur, saudara-mara dan anak-anak yang diibaratkan sebagai mutiara ibu bapa. Semasa berborak atau bercakap dengan orang tua mereka, ibu bapa haruslah menggunakan nada yang lembut. Ibu bapa juga perlulah menghormati dan dan menuruti arahan serta suruhan orang tua mereka.Ibu bapa janganlah menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dan janganlah meminggirkan mereka. Ironinya, ibu bapa haruslah tinggal bersama-sama dan berusaha memberikan kehidupan yang paling selesa untuk mereka. Jika tidak, anak-anak juga akan membuang ibu bapa ke rumah orang-orang tua dan mengalpakan jasa ibu bapa mereka.Sikap kacang lupakan kulit mestilah dikikis. Selain itu, ibu bapa juga perlulah bermesra dengan jiran tetangga dan saudara mara dengan cara sering bertegur sapa. Dengan ini tali silaturahim sesama tetangga dan keluarga dapat dipererat. Secara ringkasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak agar dapat melahirkan individu yang penyayang.

Sebagai meniti perbincangan di atas, idea tentang tanggungjawab ibu bapa dalam melahirkan anak-anak yang mempunyai sifat penyayang adalah dengan mencurahkan belaian kasih sayang terhadap anak-anak. Anak-anak haruslah dipelihara seperti menatang minyak yang penuh iaitu ibu bapa memberi kasih sayang yang mencukupi kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak bukanlah haiwan robotik yang tidak mempunyai perasaan. Mereka memerlukan perhatian daripada ibu bapa kerana tiadalah sesiapa yang tidak asyik manja dengan ibu bapa. Malangnya, ibu bapa pada masa ini hanya mengejar kemewahan dan kebendaan duniawi sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki iaitu menjaga anak-anak. Mereka menganggap kewangan dan status masyarakat sebagai priority dalam kehidupan. Ibu bapa patutlah sentiasa meluangkan masa untuk mendampingi anak-anak. Ibu bapa haruslah menjadi pendengar cerita anak-anak yang paling setia. Ibu bapa haruslah memberikan bantuan kepada anak-anak apabila berdepan dengan masalah seperti masalah pertelingkahan dengan rakan. Ibu bapa mestilah memberi nasihat dan mengajar mereka tentang kepentingan sifat penyayang dalam masyarakat. Selanjutnya ibu bapa juga hendaklah mengelakkan diri daripada pertelingkahan dan perselisihan faham dengan anak-anak. Hal ini kerana anak-anak akan mudah terpengaruh. Lazimnya anak-anak yang bermasalah terbabit dalam vandalisme, kongsi gelap dan pergaduhan dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda. Kepincangan keluarga diibaratkan sebagai neraka. Tuntasnya, ibu bapa haruslah menggalas tanggungjawab mereka untuk memberikan kasih saying kepada anak-anak. Ingatlah, kebahagiaan hidup anak-anak terletak di telapak kaki ibu bapa.

Sementelahan pula, ibu bapa mestilah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak sejak mereka bertatih lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan moral dapat menentukan hala tuju anak-anak. Tanpa didikan agama dan moral yang kukuh, kehidupan anak-anak diibaratkan kapal tanpa nakhoda. Didikan agama dan moral memang mustahak dalam kehidupan seseorang kerana Tuhan yang kita sanjungi tidak akan menyuruh hamba-Nya melangkah ke kancah maksiat seperti lari dari rumah, bergaduh, gangtersisme dan tindak-tanduk yang berunsur negatif. Sebaliknya, Tuhan menyuruh hamba-Nya kearah kesusilaan dan ketertiban. Sebagai contohnya, Nabi Muhammad saw merupakan pesuruh Tuhan yang mempunyai sifat-sifat mulia lagi terpuji seperti bertoleransi, bersopan santun dan berfikiran panjang. Baginda amat disanjungi oleh masyarakat kerana menekankan kedamaian dan keamanan hidup. Dengan wujudnya didikan agama yang utuh, teladan-teladan Nabi Muhammad saw akan dicontohi oleh anak-anak. Selanjutnya anak-anak terutamanya remaja mudah terpengaruh dan tergoda oleh persekitaran mereka. Ibu bapa haruslah memberi didikan agama dan moral kepada anak-anak. Dengan ini anak-anak akan berakhlak mulia dan menyebati sifat penyayang dalam sanubari. Ibu bapa juga perlu rajin mengajar anak-anak untuk menunaikan solat dan berdoa agar keselesaan serta kebahagiaan hidup terjamin. Konklisinya, didikan agama dan moral haruslah diberikan kepada anak-anak untuk membajai sifat penyayang dalam jiwa mereka.

Memang tidak dapat ditepiskan, pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak merupakan amanah ibu bapa yang afdal dalam melahirkan individu yang penyayang. Ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak-anak. Mereka boleh memperoleh maklumat tentang gelagat anak-anak daripada saudara-mara, guru-guru serta jiran tetangga. Ibu bapa juga perlu mengenali rakan-rakan anak supaya anak-anak tidak dieksplotasi oleh rakan-rakan yang negatif. Ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak untuk memilih rakan sebaya yang baik kerana hanya jauhari yang mengenal manikam. Anak-anak mestilah pandai memilih sahabat kerana bergaul dengan orang jadi orang, bergaul dengan hantu jadi hantu. Anak-anak canda terpengaruh oleh rakan-rakan. Mereka menganggap rakan-rakan mereka sebagai pendengar paling setia. Hal ini demikian remaja memang kecetekan pengalaman hidup. Di samping itu, ibu bapa harus mengawasi anak-anak semasa mereka melayari laman web. Laman web yang berunsur pornografi akan menyebabkan remaja terjebak dalam kancah negatif dan menjadikan remaja seorang yang ganas. Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak menonton rancangan yang mengandungi unsur kasih sayang seperti program-program kekeluargaan yang disiarkan di kebanyakan saluran televisyen. Deduksinya, pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak memang penting dalam melahirkan anak-anak yang saling menyayangi.

Seterusnya ibu bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam program-program kemasyarakatan. Ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak bersama-sama dalam program kemasyarakatan yang disertai oleh mereka. Semua program kemasyarakatan bertujuan mendidik masyarakat agar prihatin akan kesusahan orang lain.Program kemasyarakatan tidak hanya menjurus kepada kebajikan sesama manusia tetapi juga kepada haiwan dan alam sekitar. Ibu bapa boleh juga melibatkan anak-anak menyertai program kemasyarakatan tanpa perlu keluar dari rumah. Sebagai contoh mengajak anak-anak bersama-sama menonton rancangan-rancangan berkonsepkan kemanusiaan seperti Bersamamu anjuran TV3 mampu mengusik jiwa anak-anak untuk menghulurkan bantuan dengan hanya menekan butang telefon bimbit untuk memberi sumbangan. Persis peribahasa Melayu iaitu berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, dengan bantuan yang sedikit dapatlah kita membantu mereka yang di dalam kesusahan. Selain itu, ibu bapa yang menganggotai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Aman Palestin boleh meminta bantuan anak-anak untuk bersama-sama mendapatkan sumbangan bagi membantu masyarakat yang tertindas di negara tersebut. Sesungguhnya, penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan dapat mendidik jiwa anak-anak menjadi prihatin dan peka akan keadaan sekeliling dan menjadi insan yang suka membahagiakan semua orang.

Sudah tibanya masa untuk mata pena berakhir disini, peranan ibu bapa dalam menzahirkan anak-anak yang penyayang tidak dapat dinafikan. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kehidupan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah menjadikan diri mereka sebagai suri teladan yang terbaik kepada anak-anak. Ibu bapa juga wajiblah mencurahkan kasih sayang kepada anak serta memantau anak-anak. Ingatlah tangan yang menghayun buaian itu mampu melahirkan anak-anak yang penyayang. Masyarakat penyayang pada hari muka bergantung kepada remaja pada masa ini persis kata-kata Nelson Mandela iaitu “ jika ingin melihat kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang maka lihatlah pada pada generasi muda yang mereka miliki”.

No comments:

Post a Comment