Sunday, October 23, 2011

Latihan Pemahaman : Ibu Dan Ceper

Latihan 1

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri

Ceper terus menggila dan mengamuk juga sehingga seluruh anak buah kampung kami menjadi pada kedana tahun itu. Bapa kemudian kembali kepada ketitir juga, tetapi setiap kali bapa pulang dari rimba belantara berdenak burung, bapa pulang membawa gadung seguni dua. Tahun itu kami makan gadung itulah kerana padi habis jahanam kerana Sungai Ceper betul-betul mengamuk.

Dan ibu waktu itu macam Ceper juga, betul-betul naik angin dan mengamuk. Naik angin dan mengamuk menentang Ceper yang ganas dan tidak berperikemanusiaan itulah. Ibu akhirnya mengalah tetapi ibu tidak kalah seterusnya. Apabila Ceper kembali tenang dan air tidak lagi membedal, ibu kembali ke sawah semula dan tahun berikutnya kami tidak lagi makan gadung.

Sekali ibu kembali mengamuk lagi dan puncanya daripada Ceper itu juga. Kali ini bukan kerana banjir yang dibawa oleh Ceper yang melanda padi. Musim itu musim kemarau. Tidak sangka kemarau akan memanjang sampai berbulan-bulan. Sawah habis kering. Lembu kerbau asyik diheret ke Ceper saja untuk menghilangkan dahaga kerana semua telaga dan kubang di sawah kering. Baruh-baruh yang dulunya tidak pernah kering itu pun kering juga.
(i) Berikan kesan kemarau panjang seperti yang dinyatakan dalam petikan cerpen?(2m)
(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang perlu diambil untuk menghadapi musim kemarau?(3 m)

(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain daripada cerpen tersebut. [4 markah]


Skema Jawapan Latihan 1
i. Kesan kemarau
- sawah habis kering
- semua telaga dan kubang di sawah kering
- baruh-baruh yang dulunya tidak pernah kering pun kering juga
ii. Langkah-langkah
- berjimat cermat menggunakan air
- sentiasa menyimpan air
- membina empangan yang lebih besar
iii. Pengajaran dalam petikan
- Kita hendaklah tabah menghadapi segala cabaran hidup. Contohnya ibu kembali ke sawah walaupun menghadapi musim kemarau yang panjang.
Pengajaran dalam cerpen
- Kita hendaklah mencintai alam sekitar
- Kita hendaklah membalas jasa ibu bapa
- Kita hendaklah bertanggungjawab menyara keluarga
- Kita hendaklah memelihara sungai

No comments:

Post a Comment