Showing posts with label Melunas Rindu. Show all posts
Showing posts with label Melunas Rindu. Show all posts

Friday, November 11, 2011

Tema Novel Melunas Rindu Dan Kabus Di Perbukitan

TEMA NOVEL MELUNAS RINDU : KASIH SAYANG
1. Kasih sayang Fuad terhadap ibu kandungnya. Fuad berusaha mencari ibunya yang tidak pernah ditemui sejak 25 tahun lalu kerana terlalu menyayanginya.
2. Kasih sayang terhadap keluarga angkat. Fuad amat menyayangi Pak Ismail dsan Mak Salmah, ibu bapa angkatnya di Kampung danau seberang. Fuad membawa mereka mengerjakan umrah di Mekah.
3. Kasih sayang terhadap sahabat. Fuad amat mengambil berat tebtang kesihatan ibu Farhana kerana persahabatannya dengan Farhana.
4. Kasih sayang terhadap profesion. Cikgu Abas amat mengagumi kesungguhan Fuad mengajar anak-anak muridnya walaupun dia seorang guru sandaran. Fuad bersungguh-sungguh mengajar pelajar selepas waktu persekolahan di kantin sekolah.
5. Kasih sayang terhadap anak-anak murid. Cikgu Abas amat menyayangi para pelajarnya yang lemah penguasaan subjek bahasa Inggeris lalu memujuk Fuad menjadi guru di Sekolah Menengah Seri Setia bagi mengatasi masalah tersebut.
6. Kaish sayang terhadap saudara. Fuad menyayangi bapa saudara dan ibu saudaranya serta adik-adik sepupunya. Fuad membayar yuran peperiksaan Ah Soh dan membuka akaun GIRO untuk Mei Lin. Fuad menyuap makanan kepada Peter Lim yan sedang sakit.
7. Kasih sayang terhadap anak angkat; Pak Ismail sayang akan Fuad . dia berasa bimbang apabila Fuad tidak pulang ke rumah lagi sejak masuk ke hutan sedangkan waktu sudah senja.
8. Kasih sayang terhadap saudara seagama. Pak Ismail bersungguh-sungguh mengajar Fuad yang baru menganut agama Islam mengaji Al Quran

TEMA NOVEL KABUS DIPERBUKITAN : JATI DIRI BANGSA MELAYU
Jati diri bangsa dan kekuatan pegangan agama menjadikan seorang wanita Melayu berupaya menghadapi cubaan hidup dengan tenang tanpa terkikis nilai wanita Melayu dan penganut agama yang setia. Kekuatan diri membentuknya menjadi wanita glokal yang masih sedar akan asal usul diri.
1. Faridah yang bermaustatin di Rosewood , New Zealand tidak pernah melupai tanah tumpah darahnya Malaysia walaupun sudah 25 tahun menetap di Rosewood.
2. Faridah masih menggemari masakan Melayu iaitu kari yang juga merupakan masakan kegemaran anaknya Anne.
3. Faridah masih mengekalkan panggilan namanya dengan nama Melayu iaitu Idah
4. Faridah masih kuat berpegang pada agama Islam yang menjadi pegangan kuat bangsa Melayu.
5. Faridah dan Soleh Johnsons menerapkan ajaran Islam kepada anak-anak mereka iaitu larangan meminum arak.
6. Faridah dan Johnsons menghantar anak-anak mereka Anne dan Melina belajar di sekolah rendah Islam ketika berusia enam tahun di Christchurch yang terletak 30 km dari rumah mereka di Rosewood

Thursday, November 10, 2011

Perbandingan Persoalan Ketabahan Dalam Novel

Persoalan ketabahan menghadapi cabaran hidup jelas dipaparkan oleh pengarang.Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, huraikan peristiwa yang mengandungi persoalan tersebut. ( 8 markah )

Cadangan jawapan
Melunas Rindu

Fuad ialah seorang anak muda yang tabah menghadapi cabaran hidup.
Sebagai contohnya, dia tabah menghadapi hidupnya tanpa ibu dan bapa di sisinya. Dia cuma menumpang kasih sayang daripada bapa dan ibu saudaranya iaitu Peter Lim dan Swee Lan. Selain itu, dia juga menumpang kasih sayang daripada keluarga angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah.

Fuad tabah menghadapi kenyataan bahawa Farhana ialah adiknya sendiri yang berlainan bapa.
Setelah kematian Sofia, Mak Salmah benci kepada Fuad. Mak Salmah tidak melayan Fuad dengan baik. Fuad tetap cuba mengambil hati Mak Salmah dengan membantu mencarikan kayu api dan dan menyapanya setiap kali bertemu. Fuad tetap tabah dengan karenah Mak Salmah.

Kabus di Perbukitan
Faridah tetap tabah walaupun mengalami nasib malang yang bertimpa-timpa.
Setelah pemergian Rahayu, ibunya pula meninggal dunia sesudah sekian lama menderita masalah kesihatan. Suaminya, Ghazali meninggal tidak lama selepas itu setelah terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya.

Rahayu begitu tabah menghadapi penyakit kanser.
Walaupun terpaksa menerima rawatan kimoterapi yang menyakitkan dia tetap tabah.

Salmah tabah membesarkan Faridah selepas berpisah dengan suaminya Mejar Kamaruddin.

Melina tabah menghadapi berita kehilangan Benny . Dia memandu seorang diri ke Cameron Highland untuk berjumpa keluarganya walaupun sedang sarat mengandung.

Perbandingan Persoalan Dalam Novel

Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, jelaskan persoalan tanggungjawab bagi setiap novel. ( 8 markah )

Cadangan Jawapan :
Melunas Rindu

•Persoalan tanggungjawab sebagai seorang pendidik.
Fuad tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia dengan baik walaupun dia hanyaseorang guru sandaran.

•Tanggungjawab terhadap keluarganya sendiri.
Farhana segera pulang ke Kuantan untuk menjaga ibunya yang sakit lelah dan dimasukkan ke hospital. Dia sanggup tidur di hospital semata-mata untuk menjaga ibunya yang sakit.

-Tanggungjawab sebagai anak
Fuad menghantar ibunya Mariana dan kedua-dua ibu bapa angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah mengerjakan umrah di Mekah.

- Tanggungjawab sebagai bapa
Pak Ismailseorang yang bertanggungjawab. Contohnya Pak Ismail membimbing Fuad mendalami Islam sepenuhnya. Dia sering mengajar Fuad membaca al-Quran.


Kabus di Perbukitan

-Tanggungjawab memelihara alam sekitar
Soleh Johnson mengusahakan sebuah kawasan peranginan di Lojing, Cameron Highlands tanpa menebang pokok-pokok balak merbau dan tualang serta pokok-pokok balak yang lain demi mengekalkan ekosistem Cameron Highlands.

-Tanggungjawab terhadap keluarga
Mejar (B) Kamarudin meredah hutan belantara mencari anaknya yang Faridah yang hilang di dalam hutan Cameron Highlands walaupun sudah lebih 20 tahun dia tidak pernah pernah bersua dengan Faridah setelah berpisah dengan Salmah (ibu Faridah ).

-Tanggungjawab ibu bapa memberi didikan agama
Soleh Johnsons dan Faridah seorang Muslim yang kuat pegangan agama. Anak-anaknya Anne dan Melina dihantar belajar di sebuah sekolah rendah agama yang jauhnya 30 km dari Rosewood semata-mata mahu anak-anaknya mendapat pendidikan Islam yang baik.

Tanggungjawab mengekalkan jati diri Melayu
Faridah menerapkan budaya atau cara hidup orang Melayu terhadap anaknya Anne dan Mellina.

Friday, October 28, 2011

Perbandingan Latar Tempat

Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan latar tempat yang terdapat dalam kedua-dua

buah novel tersebut.


Skema jawapan : Latar Tempat

BIL

NOVEL MELUNAS RINDU

NOVEL KABUS DI PERBUKITAN

1.

Sekolah Menengah Seri Setia.

Ø tempat Fuad bekerja sebagai guru sandaran

Ø Cikgu Abas, Cikgu Zamani juga menjadi guru di sekolah ini.

Kafeteria di UPM.

Ø Tempat Azrul dan Rahayu bersarapan.

2.

Danau Seberang, Terengganu.

Ø Rumah Pak Ismail dan Mak Salmah.

Ø Fuad dan Sofia tinggal di rumah tersebut sebagai anak angkat kepada Pak Ismail dan mak Salmah.

Perpustakaan di UPM.

Ø Rahayu dan Azrul belajar dan mencari maklumat di perpustakaan.

3.

Sungai Ruan.

Ø Tempat tinggal Peter Lim dan Swee Lan sekeluarga.

Ø Fuad juga pernah tinggal bersama mereka yang dianggap sebagai anak sendiri.

Rumah Rehat Sri Berkat di Bukit Fraser.

Ø Faridah dan Mastura membawa murid ‘Sindrom Down’ seramai 10 orang ke Bukit Fraser.

4.

Pantai Batu Buruk.

Ø Tempat Fuad melayan perasaannya sendiri sambil menikmati keindahan alam pada waktu petang.

Jalan ke Pekan Raub.

Ø Faridah yang terkejut dengan kehadiran Iqbal di dalam keretanya telah terlibat dalam kemalangan.

5.

Klinik Ihsan di Bandar Kuala Terengganu.

Ø Fuad menyewa kereta untuk membawa anak Borhan mendapatkan rawatan di klinik itu.

Smoke House.

Ø Rumah Tuan Cecil Renking yang wujud dalam halusinasi Faridah yang koma selepas terlibat denga kemalangan jalan raya.

6.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ø Fuad membawa ibunya, (Mariana) Pak Ismail dan Mak Salmah untuk menaiki pesawat ke Mekah bagi menunaikan Umrah.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ø Benny dan Melina tiba di KLIA untuk bekerja di Malaysia.

7.

Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Ø Tempat ibu Fuad, iaitu Mariana terlantar sakit dan dirawat kerana penyakit lelah.

Hospital

Ø Tempat Rahayu menerima rawatan Kimoterapi kerana menghidap penyakit kanser paru-paru.

8.

Restoran Terapung di Taman Syahbandar.

Ø Tempat Fuad dan Farhana singgah makan untuk meraikan hari lahir Farhana.

Thursday, October 27, 2011

Cabaran Yang Dihadapi Oleh Watak Utama Dalam Novel yang Anda Kaji

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan cabaran yang ditempuhi oleh watak utama. (7 markah)

Skema Jawapan :
NOVEL KABUS DI PERBUKITAN TINGKATAN LIMA

i. Cabaran berpisah dengan ahli keluarga.
Setelah ibu bapanya bercerai, Faridah terpaksa berpisah dengan adik kembarnya Rahayu. Faridah dipelihara oleh ibu kandungnya manakala Rahayu mengikut ayahnya dan ibu tirinya, Hamidah.

ii. Cabaran menghadapi kehilangan orang tersayang
Faridah kehilangan adik kembarnya, Rahayu akibat penyakit kanser, selang beberapa tahun dia kehilangan ibunya akibat terlalu merindui arwah Rahayu. Akhirnya, suaminya Ghazali turut meninggal dunia akibat ditimpa kemalangan.

iii. Cabaran hidup seorang diri di bumi asing
Setelah kematian Rahayu, ibunya Salmah dan suaminya Ghazali, Faridah meneruskan hidup bersendirian. Selepas itu, dia membawa diri ke New Zealand kerana mengikuti Kursus ‘Comunitty Services for Disable People’ selama enam bulan. Faridah terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di bumi asing.

iv. Cabaran putus tunang
Faridah terpaksa menerima hakikat, Azman telah memutuskan pertunangan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa sebab. Hasrat Faridah untuk bertemu dengan Azman bagi mendapatkan penjelasan tidak kesampaian kerana dia ditimpa kemalangan.


NOVEL MELUNAS RINDU TINGKATAN EMPAT:

Cabaran watak utama:

i. Cabaran sebagai saudara baru
Sebagai saudara baru, Fuad gigih mendalami ilmu agama dan belajar mengaji dengan Pak Ismail. Selain itu, Fuad sentiasa menunaikan solat secara berjemaah walaupun dalam keadaan sibuk. Contohnya, Fuad bergegas ke surau untuk menunaikan solat Isyak secara berjemaah walaupun terlewat pulang kerana mencari kayu api di hutan.

ii. Cabaran mencari ibu kandungnya
Fuad gigih berusaha mencari saudara mara sebelah ibunya di Lembah Klau untuk mengesan pusara ibunya. Dengan bantuan Pak Ngah Lias dan Pak Samsudin, Fuad mendapat petunjuk bahawa ibunya masih hidup kerana pusaranya tidak ditemui sehingga kini. Fuad gigih meneruskan usaha mencari ibu kandungnya walaupun terpaksa meminta bantuan daripada ayahnya, Robert Lim.

iii. Cabaran menghadapi kebencian ibu angkat.
Fuad tabah menghadapi sikap Mak Salmah yang membencinya kerana dia dikatakan punca kematian Sofia. Sejak peristiwa itu, Mak Salmah bersikap dingin terhadap Fuad, dia enggan makan semeja dengan Fuad walaupun tinggal serumah. Fuad tetap bersabar menghadapi kemarahan Mak Salmah sehinggalah Mak Salmah memaafkannya.

iv. Cabaran berpisah dengan orang tersayang
Fuad menghadapi cabaran kerana terpaksa menerima hakikat gadis yang dicintainya, Farhana merupakan adik kandungnya.

v. Cabaran dalam kerjaya
Fuad menghadapi cabaran untuk meningkatkan prestasi pencapaian bahasa Inggeris dalam kalangan anak didiknya. Sebagai contoh, Fuad dan Farhana telah merancang ‘Program mentor-mentee’ dan ‘English Personal Guidance’ untuk mendidik anak muridnya agar mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Sunday, October 23, 2011

Peristiwa Menarik dalam Novel

SOALAN :

Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan peristiwa-peristiwa menarik yang terdapat dalam novel tersebut.

SKEMA JAWAPAN :

MELUNAS RINDU karya Hartini Hamzah

Peristiwa menarik dalam novel ialah :

1. Peristiwa Fuad mengetahui ibu kandungnya masih hidup daripada Pak Samsudin iaitu jiran Mariah (kakak angkat ibu Fuad). Pak Samsudin juga meyakinkan Fuad bahawa Fuad akan berjumpa dengan ibu kandungnya, Mariana sendiri bukan dengan kuburnya.
Peristiwa ini menjadikan perjalanan cerita bertambah menarik dan pembaca ingin mengetahui cerita yang seterusnya.

2. Peristiwa Fuad mengetahui bahawa nama asal ketika dilahirkan ialah Abdul Halim dan nama Islam bapanya ialah Roslan. Fuad sendiri terkejut mendengarkan perkara itu daripada Pak Ngah Lias.
Peristiwa ini memberikan maklumat tentang sejarah hidup Fuad dan mengetahui identiti sebenar Fuad.

3. Peristiwa Fuad membantu ibu saudaranya, Swee Lan menyuapkan bubur nasi kepada bapa saudaranya, Peter Lim yang semakin uzur. Fuad juga membantu ibu saudaranya itu mengelap muntah bapa saudaranya, dan membawanya ke klinik.
Peristiwa ini memaparkan keperibadian Fuad yang bukan hanya kacak dari segi luaran malah mempunyai perwatakan dalaman yang berbudi pekerti mulia.

4. Peristiwa Fuad menyambut hari lahir Farhana. Bermula dengan pemberian kad ucapan, kemudian Fuad mengajak Farhana keluar makan di Restoran Terapung di Taman Syahbandar, Terengganu. Fuad juga mengucapkan ’Selamat Ulang Tahun ke-24’ kepada Farhana.
Peristiwa ini memberikan gambaran Fuad dan Farhana sudah mula bercinta. Farhana senang dengan layanan mesra yang ditunjukkan oleh Fuad.

5. Peristiwa Fuad menyedari bahawa ibu Farhana adalah ibu kandungnya. Mariana dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan kerana menghidap penyakit lelah (asma). Semasa berada di hospital tersebut Fuad mengetahui ibu Farhana (Mariana) adalah ibu kandungnya yang dicari selama ini. Fuad tabah menerima kenyataan bahawa ibunya (Mariana) adalah ibu Farhana juga dan Farhana, gadis yang dicintai dan ingin dikahwininya adalah adik kandungnya sendiri.
Peristiwa ini membawa unsur kejutan kepada pembaca dan pembaca berasa simpati kepada Fuad dan Farhana yang baru mula ingin bercinta. Perjalanan cerita menjadi bertambah menarik.

6. Pertemuan Fuad dengan ayah kandungnya, Robert Lim di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Fuad ingin membalas jasa orang tuanya dengan membawa Mariana (ibu kandungnya), Mak Salmah (ibu angkat) dan Pak Ismail (bapa angkatnya) menunaikan umrah di Mekah. Robert Lim memberikan harapan bahawa dia akan menyusul mereka kemudian dan dia dan Fuad saling berpelukan.
Peristiwa ini menandakan Fuad sudah memaafkan bapanya dan hubungan antara kedua-dua beranak itu sudah jernih.

7. Peristiwa Fuad mengajar murid-murid secara individu di dalam kelas lanjutan untuk membantu murid-murid di SM Seri Setia menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Peristiwa tersebut membuktikan kesungguhan dan keikhlasan Fuad melaksanakan tugas sebagai pendidik.

KABUS DI PERBUKITAN karya Mohamad Kholid bin Hamzah

Peristiwa menarik dalam novel ialah

1. Peristiwa yang berlaku ketika Faridah berada dalam keadaan bawah sedar. Faridah berada pada zaman lampau. Faridah berada di suatu tempat asing, iaitu di Bukit Kutu dan Pekan Sungai Kubu. Faridah pergi ke pekan tersebut ditemani oleh Amah Siti.
Faridah melihat cara penduduk pada zaman itu begitu asing baginya. Faridah merasakan dia berada pada zaman penjajahan Inggeris sebelum negara mencapai kemerdekaan.

2. Peristiwa Rahayu bertemu dengan Faridah dalam keadaan bawah sedar. Mereka bertemu di dalam sebuah rumah papan yang hampir roboh ditolak arus. Selepas diselamatkan Rahayu, Faridah memeluk adiknya dengan erat untuk melepaskan rindu setelah bertahun-tahun tidak bertemu. Selepas Faridah sedar, Rahayu telah pun meninggal dunia.
Menggambarkan keistimewaan hubungan kembar antara Faridah dan Rahuyu yang masih boleh berhubung walaupun jasad mereka terpisah jauh.

3. Peristiwa Faridah bertemu dengan Zain di banglonya di Rosewood, Christchurch, New Zealand.
Pertemuan itu menguatkan lagi keinginan Faridah untuk pulang ke tanah air kerana Zain juga berasal dari Sungai Besar, Selangor.

4. Peristiwa Melina bertemu semula dengan suaminya, Benny di Dubai. Benny terpaksa melarikan diri dan meninggalkan Melina seorang diri di Marang, Terengganu. Benny meminta maaf dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk terus menetap di Dubai.
Pertemuan itu merungkai masalah yang dihadapi oleh Melina dan akhirnya mereka hidup bahagia.

5. Peristiwa Faridah dan Iqbal ditemui semula di Perkampungan Orang Asli Temuan oleh ayahnya, Mejar (B) Kamarudin dan Buyung dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Pertemuan ini merungkai misteri kehilangan Faridah dan Iqbal selama dua minggu selepas kemalangan jalan raya di Bukit Fraser.

6. Pertemuan Azrul dengan Faridah ketika melawat kubur Rahayu di Tanah Perkuburan Parit Satu, Sungai Besar.
Peristiwa ini mencerminkan kesetiaan dan keluhuran kasih Azrul terhadap kekasihnya, Rahayu walaupun Rahayu telah pergi buat selama-lamanya. Malah Azrul tidak mahu berhijrah ke tempat lain semata-mata ingin dekat dengan Rahayu. Kata-kata perangsang Rahayu agar dia bekerja sendiri tanpa makan gaji juga terus membakar semangatnya untuk bekerja sendiri iaitu menternak kambing di kampungnya.

7. Pertemuan antara Zain dan Anne di Christchurch, New Zealand ketika Zain cuba membaiki kereta Anne yang rosak
Pertemuan itu telah memutikkan bibit-bibit cinta yang akhirnya mengikat mereka dengan hubungan suami isteri yang mengembalikan semula nostalgia yang begitu bermakna bagi dua buah keluarga iaitu keluarga Faridah dan Datuk Azrul.

8. Operasi mencari Faridah dan Iqbal yang dinamakan OPS PDK melibatkan banyak pihak seperti Bomba dan Penyelamat, Hospital Daerah, RELA, Perhilitan dan Pejabat Daerah Raub serta Hulu Selangor.
Situasi ini menunjukkan kesungguhan pelbagai pihak bekerjasama berusaha mencari dan menyelamatkan dua orang rakyat tempatan yang hilang di Bukit Fraser.

Peristiwa Pada Penamat Novel

a) Terdapat pelbagai peristiwa yang berlaku dalam sesebuah novel. Huraikan satu peristiwa yang berlaku pada penamat novel yang anda kaji.( 7 markah )

JAWAPAN

Novel Melunas Rindu
a) Peristiwa yang berlaku pada penamat novel:
- Peristiwa Farhana dan adik-adiknya Muhammad Fikri dan Muhammad Syukri menghantar Fuad, ibu kandungnya Mariana, Pak Ismail dan Mal Salmah mengerjakan umrah ke tanah suci. Mariana berpesan kepada Farhana supaya menjaga adiknya baik-baik.
- Peristiwa di lapangan terbang. kedatangan Robert Lim di lapangan terbang. mengejutkan Fuad, Mariana, Pak Ismail dan Mak Salmah. Robert Lim berpesan kepada Fuad supaya menjaga ibunya baik-baik di sana sebelum mereka berangkat ke tanah suci. Dia mungkin akan menyusul kemudian

Novel Kabus di Perbukitan
a) Peristiwa yang berlaku pada penamat novel:
- Peristiwa Datuk Azrul dan Soleh Johnsons menjalankan perniagaan kotej di Cameron Highlands.
- Peristiwa Anne dan Zain mengambil alih perusahaan dan penternakan keluarga Johnsons di New Zealand. Zain siswazah pertanian, mampu menguasai selok-belok perniagaan dan pertanian.
- Peristiwa di lojing Cameron Highland. Faridah dan Datin Aishah sering menghantar juadah masakan atau mempelawa mereka makan bersama-sama. Kadang kala mereka masak bersama-sama hidangan kegemaran, pecal dan sambal gulai tahun.

Peristiwa Pada Permulaan Novel

SOALAN 4 : PERBANDINGAN NOVEL
a)
Terdapat pelbagai peristiwa yang berlaku dalam sesebuah novel. Huraikan satu peristiwa yang berlaku pada permulaan novel yang anda kaji. ( 7 markah )

JAWAPAN
Novel Melunas Rindu
a)
Peristiwa yang berlaku pada permulaan novel
-
Peristiwa Fuad pulang lewat daripada mencari kayu api di hutan. Fuad disapa oleh Mak Salmah ketika masuk ke rumah melalui pintu dapur. Fuad menjelaskan dia terleka dan terlupa bawa jam.
-
Peristiwa Fuad melaungkan azan Isyak di surau apabila masuk waktu . Fuad diminta oleh Pak Imam untuk melaungkan azan Isyak. Selepas menunaikan solat sunat, dia terus melaungkan Iqamah dan mereka bersama-sama menunaikan solat Isyak secara berjemaah.
-
Peristiwa Fuad ke rumah Borhan, rakannya apabila mendapat tahu anak Borhan demam. Fuad mengajak Borhan menghantar anaknya ke klinik walaupun sudah pukul sebelas malam.
-
Peristiwa Fuad menyemak penyata akaun melalui kad ATMnya ketika menunggu anak Borhan dirawat di klinik. Didapati wang dalam akaunnya bertambah.Fuad yakin bahawa ayahnya yang memasukkan wang tersebut.

Novel Kabus Di Perbukitan
a)
Peristiwa yang berlaku pada permulaan novel:
-
Peristiwa Rahayu tiba-tiba pengsan di perpustakaan. dan dia dikejarkan ke Pusat Kesihatan kemudiannya dimasukkan keHospital Universiti Kebangsaan Malaysia(HUKM) . Rahayu disahkan menghidap penyakit Kanser.
-
Peristiwa Faridah, kembar Rahayu ditimpa kemalangan bersama-sama kanak-kanak istimewa Iqbal semasa dalam perjalanannya ke Pekan Raub. Sapaan Iqbal dari tempat duduk belakang mengejutkan Rahayu yang sedang memandu van lalu hilang kawalan. Van melanggar tembok penghadang jalan dan terus menjunam ke dalam gaung.

Wednesday, July 27, 2011

Watak Sampingan : Melunas Rindu



FARHANA BT FAKHRUDIN
Pengarang menggambarkan Farhana bertubuh kecil molek, berkulit putih dan cantik orangnya. Farhana berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Inggeris dari universiti luar negara. Farhana berumur dua puluh empat tahun. Farhana bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Di sekolah itu dia diamanahkan untuk menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris dan membantu Pengetua dan Penolong Kanan dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Farhana ialah seorang yang periang, mudah ketawa dan mudah untuk diajak berbual. Dia juga seorang yang nakal dan lincah.
Dia juga seorang yang dedikasi dan komited terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas lanjutan seperti yang dilakukan oleh ikgu Zamani. Dia berusaha untuk membantu anak-anak muridnya untuk lulus dalam peperiksaan Bahasa Inggeris.
Selain itu, Farhana turut digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan emak dan adik-adiknya. Di samping itu, dia juga menyimpan perasaan sayang terhadap Fuad. Akhirnya perasaan sayang itu bertukar menjadi perasaan sayang kepada abang kandungnya sendiri.
Selain itu, Farhana digambarkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarganya sendiri. Sebagai contohnya, Farhana segera pulang ke Kuantan untuk menjaga ibunya yang sakit lelah dan dimasukkan ke hospital. Dia sanggup tidur di hospital semata-mata untuk menjaga ibunya yang sakit itu.
Walau bagaimanapun Farhana juga digambarkan sebagai seorang yang tegas pendirian, contohnya dia tetap mempertahankan pendapat ketika bertengkar dengan Cikgu Zamani yang suka ponteng kelas di sekolah.
Selain itu, Farhana juga seorang yang berani menegakkan kebenaran, contohnya dia berani berhujah dengan Cikgu Zamani yang selalu ponteng kelas dan suka mengkritiknya.
Walaupun perwatakannya nampak kasar dan tegas tetapi Farhana sebenarnya seorang yang sensitif dan beremosi contohnya, dia menangis dan berasa sedih apabila Fuad memberitahunya tentang hubungan mereka sebenarnya ialah adik-beradik. Dia agak sukar untuk menerima kenyataan itu pada peringkat awalnya.

Watak Utama : Melunas Rindu




Fuad (Joshua atau Abdul Halim)
Watak Fuad digambarkan oleh pengarang sebagai seorang anak muda yang kacak, tubuhnya tinggi, berdarah kacukan Cina dan Melayu, iaitu ayahnya berketurunan Cina dan emaknya pula berketurunan Melayu. Selain itu, Fuad memiliki kelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari universiti ternama di Amerika Syarikat. Fuad bekerja sebagai guru sementara yang mengajarkan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia.
Dia juga seorang yang dedikasi terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas dan sanggup pulang lewat untuk membimbing anak-anak muridnya yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Fuad ialah seorang yang taat akan perintah agama dan sebagai buktinya dia tidak pernah meninggalkan solat walaupun dalam perjalanan jauh atau sebagai musafir dia menunaikan solat qasar. Sebagai contohnya, Fuad berhenti di sebuah masjid untuk menunaikan solat qasar ketika dia dan Farhana dalam perjalanan ke Kuantan.
Fuad ialah seorang anak muda yang tabah menghadapi cabaran hidup yang penuh dengan liku dan dia tidak pernah mengesali nasibnya itu, contohnya dia tabah menghadapi hidupnya tanpa ibu dan bapa di sisinya. Dia cuma menumpang kasih sayang daripada bapa dan ibu saudaranya iaitu Patrik Lim dan Swee Lan. Selain itu, dia juga menumpang kasih sayang daripada keluarga angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah. Bukti lain ialah dia tabah menghadapi kenyataan bahawa Farhana ialah adik kandungnya sendiri yang berlainan bapa.
Fuad juga digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan apaknya dan juga adik-adik sepupunya. Buktinya dia sanggup memberikan wang dan menanggung persekolahan Ah Soh yang sedang belajar di tingkatan enam atas.
Fuad turut digambarkan sebagai orang yang suka menolong orang lain. Sebagai contohnya, dia membantu Farhana untuk menjaga ibunya yang sakit di hospital dan mengambil berat akan adik-adik Farhana. Selain itu, Fuad seorang yang murah hati dalam menghulurkan sebarang bantuan, contohnya dia dengan murah hati membayar bil rawatan anak rakannya, iaitu Borhan yang demam panas. Di samping itu, Fuad juga murah hati dengan membelikan Pak Ismail sebuah motosikal untuk kegunaannya seharian. Fuad juga murah hati dengan memberi jagung yang ditanamnya sendiri kepada Farhana dan guru-guru di sekolahnya.
Fuad digambarkan sebagai seorang yang menghormati orang lain, contohnya dia menghormati Pak Ismail dengan Mak Salmah dan tidak pernah meninggikan suaranya ketika berbicara. Contoh yang lain ialah dia menghormati Cikgu Zamani dengan memenuhi jemputan untuk makan malam di rumahnya.