Thursday, July 28, 2011

Insya Allah


Andainya, kau rasa tak berupaya,
Hidup sendirian tiada pembela,
segalanya suram, bagai malam yang kelam,
tiada bantuan tiada tujuan,
janganlah berputus asa,
kerana Allah Bersamamu,

Insha Allah, Insya Allah
Insha Allah, ada jalan-Nya
Insha Allah
Insha Allah, Insya Allah, ada jalan-Nya

Adanya.. kesalmu berulang lagi,
bagai tiada ruang untuk kembali,
dikau keliru atas kesilapan yang lalu,
membelengu hati dan fikiranmu,
janganlah berputus asa,
kerana Allah Bersamamu,

Insha Allah, Insya Allah
Insha Allah, ada jalan-Nya
Insha Allah
Insha Allah, Insya Allah, ada jalan-Nya

Kembalilah…
Kepada yang Esa,
Yakin padanya
panjatkanlah doa..

Oh, Ya Allah…
pimpinlah daku dari tersasar..
Tunjukkan daku ke Jalan Yang benar,
Jalan yang benar,
Jalan Yang benar..

Insha Allah, Insya Allah
Insha Allah, ada jalan-Nya
Insha Allah
Insha Allah, Insya Allah, ada jalan-Nya x 3

Wednesday, July 27, 2011

Watak Sampingan : Melunas Rindu



FARHANA BT FAKHRUDIN
Pengarang menggambarkan Farhana bertubuh kecil molek, berkulit putih dan cantik orangnya. Farhana berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Inggeris dari universiti luar negara. Farhana berumur dua puluh empat tahun. Farhana bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Di sekolah itu dia diamanahkan untuk menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris dan membantu Pengetua dan Penolong Kanan dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Farhana ialah seorang yang periang, mudah ketawa dan mudah untuk diajak berbual. Dia juga seorang yang nakal dan lincah.
Dia juga seorang yang dedikasi dan komited terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas lanjutan seperti yang dilakukan oleh ikgu Zamani. Dia berusaha untuk membantu anak-anak muridnya untuk lulus dalam peperiksaan Bahasa Inggeris.
Selain itu, Farhana turut digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan emak dan adik-adiknya. Di samping itu, dia juga menyimpan perasaan sayang terhadap Fuad. Akhirnya perasaan sayang itu bertukar menjadi perasaan sayang kepada abang kandungnya sendiri.
Selain itu, Farhana digambarkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarganya sendiri. Sebagai contohnya, Farhana segera pulang ke Kuantan untuk menjaga ibunya yang sakit lelah dan dimasukkan ke hospital. Dia sanggup tidur di hospital semata-mata untuk menjaga ibunya yang sakit itu.
Walau bagaimanapun Farhana juga digambarkan sebagai seorang yang tegas pendirian, contohnya dia tetap mempertahankan pendapat ketika bertengkar dengan Cikgu Zamani yang suka ponteng kelas di sekolah.
Selain itu, Farhana juga seorang yang berani menegakkan kebenaran, contohnya dia berani berhujah dengan Cikgu Zamani yang selalu ponteng kelas dan suka mengkritiknya.
Walaupun perwatakannya nampak kasar dan tegas tetapi Farhana sebenarnya seorang yang sensitif dan beremosi contohnya, dia menangis dan berasa sedih apabila Fuad memberitahunya tentang hubungan mereka sebenarnya ialah adik-beradik. Dia agak sukar untuk menerima kenyataan itu pada peringkat awalnya.

Watak Utama : Melunas Rindu




Fuad (Joshua atau Abdul Halim)
Watak Fuad digambarkan oleh pengarang sebagai seorang anak muda yang kacak, tubuhnya tinggi, berdarah kacukan Cina dan Melayu, iaitu ayahnya berketurunan Cina dan emaknya pula berketurunan Melayu. Selain itu, Fuad memiliki kelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari universiti ternama di Amerika Syarikat. Fuad bekerja sebagai guru sementara yang mengajarkan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia.
Dia juga seorang yang dedikasi terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas dan sanggup pulang lewat untuk membimbing anak-anak muridnya yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Fuad ialah seorang yang taat akan perintah agama dan sebagai buktinya dia tidak pernah meninggalkan solat walaupun dalam perjalanan jauh atau sebagai musafir dia menunaikan solat qasar. Sebagai contohnya, Fuad berhenti di sebuah masjid untuk menunaikan solat qasar ketika dia dan Farhana dalam perjalanan ke Kuantan.
Fuad ialah seorang anak muda yang tabah menghadapi cabaran hidup yang penuh dengan liku dan dia tidak pernah mengesali nasibnya itu, contohnya dia tabah menghadapi hidupnya tanpa ibu dan bapa di sisinya. Dia cuma menumpang kasih sayang daripada bapa dan ibu saudaranya iaitu Patrik Lim dan Swee Lan. Selain itu, dia juga menumpang kasih sayang daripada keluarga angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah. Bukti lain ialah dia tabah menghadapi kenyataan bahawa Farhana ialah adik kandungnya sendiri yang berlainan bapa.
Fuad juga digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan apaknya dan juga adik-adik sepupunya. Buktinya dia sanggup memberikan wang dan menanggung persekolahan Ah Soh yang sedang belajar di tingkatan enam atas.
Fuad turut digambarkan sebagai orang yang suka menolong orang lain. Sebagai contohnya, dia membantu Farhana untuk menjaga ibunya yang sakit di hospital dan mengambil berat akan adik-adik Farhana. Selain itu, Fuad seorang yang murah hati dalam menghulurkan sebarang bantuan, contohnya dia dengan murah hati membayar bil rawatan anak rakannya, iaitu Borhan yang demam panas. Di samping itu, Fuad juga murah hati dengan membelikan Pak Ismail sebuah motosikal untuk kegunaannya seharian. Fuad juga murah hati dengan memberi jagung yang ditanamnya sendiri kepada Farhana dan guru-guru di sekolahnya.
Fuad digambarkan sebagai seorang yang menghormati orang lain, contohnya dia menghormati Pak Ismail dengan Mak Salmah dan tidak pernah meninggikan suaranya ketika berbicara. Contoh yang lain ialah dia menghormati Cikgu Zamani dengan memenuhi jemputan untuk makan malam di rumahnya.

Friday, July 22, 2011

Hikayat Opu Daeng Menambun

Sinopsis
Cerita mengisahkan jurai keturunan Raja-raja Kalimantan, bermula dengan Sang Raja Majapahit yang beranakkan Brawijaya. Brawijaya menjadi raja di Benua Lama dan mempunyai anak yang bernama Raja Baporang.

Jurai Raja-raja Kalimantan ini berkembang apabila dikahwinkan dengan anak-anak raja dari negeri yang lain. Mereka kemudiannya dikahwinkan dengan anak raja negeri tersebut. Ada juga yang menjadi raja di negeri persinggahan itu.

Raden Sulaiman digelar Sultan Muhammad Saifuddin di negeri Sambas. Opu Daeng Chelak menaiki takhta menggantikan Opu Daeng Merewah yang meninggal dunia di Riau. Raden Bima dititahkan ke Sukadana dan dikahwinkan dengan Puteri Indera Kesuma yang bersaudara dengan Sultan Muhammad Zainuddin.

Jurai-jurai ini berterusan sehinggalah kepada Opu Daeng Menambun. Opu Daeng Menambun merupakan Raja Bugis. Baginda berkahwin dengan Puteri Kesumba, anak kepada Sultan Muhammad Zainuddin. Opu Daeng Menambun dan Puteri Kesumba dikurniai sepuluh orang anak. Lima orang lelaki dan lima orang perempuan.

Tema:
Jurai keturunan Kesultanan Melayu di rantau Kepulauan Melayu. Hikayat ini menceritakan keturunan raja-raja Kalimantan yang bermula dengan Sang Raja Majapahit dan berterusan sehingga Opu Daeng Menambun.

Persoalan:
i. Perkembangan keturunan jurai raja-raja keturunan Kalimantan.
ii. Hubungan diplomatik yang dibina melalui hubungan perkahwinan. Raja-raja keturunan Kalimantan berkahwin dengan anak-anak raja dari negeri lain.
iii. Kebesaran kerajaan Melayu pada abad ke-8.

(Sumber: Sasbadi Sdn. Bhd., Petaling Jaya)

Saturday, July 16, 2011

Latar Novel Melunas Rindu

LATAR
- Pemerihalan tentang gambaran keseluruhan yang berkait rapat dengan masa, tempat dan masyarakat. Terdapat tiga jenis latar iaitu latar masa, tempat dan masyarakat.

a) Latar Masa
-Secara amnya, novel ini memaparkan latar masa yang merujuki era moden ini. Hal ini demikian kerana terdapat penggunaan alatan moden seperti telefon bimbit dan lain-lain.

b) Latar Tempat
-Dalam novel ini pengarang menyatakan nama-nama tempat yang khusus seperti di Kuala Terengganu, Pantai Batu Buruk, Dungun, KLIA, di Dungun, di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, di Sekolah Menengah Seri Setia, Losong, Kuala Lipis, Lembah Klau, dan Sungai Ruan.

c) Latar Masyarakat
-Masyarakat yang digambarkan oleh pengarang dalam novel ini merujuk kepada masyarakat Melayu, masyarakat Cina, dan masyarakat yang memeluk agama Islam iaitu mualaf. Selain itu, pengarang juga menggambarkan masyarakat yang tinggal di kampung, masyarakat yang bekerja sebagai guru, dan masyarakat yang menjadi ahli perniagaan. Pengarang juga menggambarkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai dan budaya murni dalam kehidupan.

i. Masyarakat yang ringan tulang(suka menolong) – Amalan murni dalam masyarakat ini dipaparkan menerusi tindak-tanduk watak utama iaitu Fuad yang berlapang dada menghulurkan bantuan dengan hati yang ikhlas. Buktinya, "Malam-malam gini?" tanya Borhan. "Yalah.Tak boleh tunggu esok tu, panas lain macam badannya," balas Fuad seraya menapak dengan sedikit bergegas. Dia sudah menuruni anak tangga tatkala Borhan dan Masnah masih berpandang-pandangan.Tahu benar mereka akan sikap Fuad. Apa yang dikata, tiulah yang dibuatnya. [hal.7]
ii. Masyarakat yang patuh perintah agama. – Pegangan agama Islam mewarnai gambaran latar masyarakat dalam novel ini. Hal ini demikian kerana, banyak peristiwa yang memperlihatkan watak-watak dalam novel ini mempraktikkan suruhan agama dalam kehidupan seharian mereka. Buktinya, itu suara Pak Imam.Fuad mengangguk lalu terus bergerak ke mimbar. Sebentar kemudian, dia pun melaungkan azan. Selesai sahaja melaungkan azan, Fuad solat sunat. [hal.4]
iii. Masyarakat guru yang komited terhadap tugas. Peranan warga pendidik turut melatari perkembangan cerita dalam novel ini. Watak-watak seperti Fuad, Farhana, Abas dan Zamani yang semuanya merupakan watak yang memegang watak cikgu. Fuad dan Farhana misalnya selalu merancang program bagi meningkatkan prestasi anak didik mereka kerana mereka benar-benar komited terhadap kerja sebagai pendidik. Buktiny, hakikatnya dia tidak mahu menjadi pemusnah semangat orang seperti Fuad. Sekurang-kurangnya kini dia sudah ada kawan untuk sama-sama berjuang dengannya bagi merealisasikan impian. Farhana tahu bahawa tiada rakan sekerja yang benar-benar komited merupakan salah satu faktor kegagalannya selama ini.... [hal.48]
iv. Masyarakat majmuk yang saling menghormati. - Kepelbagaian hubungan kaum dan sikap telorensi antara watak dari kaum yang berbeza cuba diketengahkan oleh pengarang dalam novel ini. Sikap tolak ansur amat ketara dalam hubungan antara kaum yang menyaksikan sikap hormati-menghormati antara satu sama lain misalnya antara watak Pak Ismail dengan watak Robert Lim. Buktinya, "Eh,bolehlah!Lagi elok," pintas Robert Lim."Jadi, apa kata kalau kita bertolak sekarang? Mail dah solat isyak?" Tiba-tiba sahaja meletus kata "solat isyak" daripada mulut Robert Lim. Sekurang-kurangnya dia masih ingat kepada satu rukun yang pernah diamalkannya suatu ketika dahulu. [hal.159-160].
v. Masyarakat yang rajin bekerja. Rintangan hidup yang dihadapi oleh setiap manusia sewajarnya tidak melemahkan mereka daripada terus berusaha. Peter Lim sebagai contoh, tetap rajin berusaha dengan melakukan pelbagai pekerjaan demi menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. – Buktinya,..atau tepatnya selepas Joshua pergi, Peter Lim sakit-sakitan begitu. Mulanya tidak begitu ketara, malah dia boleh lagi keluar bekerja sebagai jaga pada malam hari, kemudian menoreh getah pula pada keesokan siangnya. [hal.84]

Teknik Plot Melunas Rindu

Maksud Istilah Jenis-jenis Teknik Plot
1) Teknik Pemerian : kaedah penceritaan langsung daripada pengarang sendiri. Biasanya untuk menggambarkan perihal watak, latar dan sebagainya.
2) Teknik Dialog : Teknik yang memerlukan sekurang-kurangnya dua watak. Tema sesuatu karya biasanya dapat dikesan melalui teknik ini.
3) Teknik Imbas Kembali : watak mengenang kembali peristiwa yang berlaku dan boleh dilakukan menerusi khayalan, monolog, atau monolog dalaman.
4) Teknik Imbas Muka : Teknik yang digunakan untuk memberikan ramalan atau bayangan awal tentang sesuatu peristiwa ekoran aksi-aksi daripada watak.
5) Teknik Saspen : Teknik yang menimbulkan persoalan atau tanda tanya kepada pembaca@penonton berkenaan peristiwa yang akan berlaku kepada watak.
6) Teknik Kejutan : Perubahan mendadak yang berlaku secara tiba-tiba dalam binaan plot. Secara kebiasaannya, kesan yang timbul daripada teknik ini berlainan dengan jangkaan pembaca/penonton.



Teknik Plot Melunas Rindu
a) Dialog – Contoh, serta-merta Fuad bingkas. "Kita ke kliniklah. Aku cari kereta dulu. Sementara tu kau bolehlah bersiap, Masnah sekali." Begitu arahnya tiba-tiba, menjadikan Borhan dan Masnah sedikit terping-pinga. [hal.7]
b) Pemerian – Contoh, Fuad memandu kira-kira seratus meter sebelum berhenti di hadapan sebuah masjid. Mereka keluar bersama-sama, kemudian berpisah arah. Fuad di bahagian lelaki, Farhana pula sebaliknya. [hal 77]
c) Monolog Dalaman – Contoh, "Ya Allah ya Tuhanku, tabahkanlah hati hamba-Mu ini," doanya tiba-tiba. [hal.181]
d) Imbas Kembali – Contoh, tergamam Swee Lan. Pantas ingatannya berlabuh kepada peristiwa lebih setahun yang lalu apabila dalam suasana gelab beginilah Joshua pulang. Malam ini peristiwa itu ibarat sebuah siaran ulangan tetapi benar-benarkah hal itu berulang? [hal.85]
e) Imbas Muka – Contoh, moga bertahanlah dia dengan sikapnya itu, doa Cikgu Abas. Besar harapannya untuk melihat Fuad bahagia. Bukan sedikit kegirangannya apabila melihat betapa akrabnya Fuad dan Farhana selama ini. Mereka memang sepadan - sama cantik sama berpelajaran, boleh berbincang dan ada kesesuaian. Kalaulah mereka ada jodoh, alangkah bagusnya. Tentulah mereka juga akan menjadi sepasang sahabat yang baik. Jauh pula khayalanCikgu Abas.[hal.120]
f) Saspens – Contoh, dia memasukkan kad ATM-nya ke dalam mesin wang itu lalu menekan butang penyata baki. Sebentar kemudian, angka-angka yang beberapa hari lalu telah dilihatnya, sekali lagi tertera dengan jelas di hadapannya. Lebih dua ratus ribu ringgit! Cepat-cepat kad ATM-nya dikeluarkan, tanpa membuat sebarang pengeluaran. [hal.7-8]
g) Kejutan – Contoh, setelah berasa bosan duduk-duduk begitu, Fuad bangun lalu mundar-mandir di hujung katil. Waktu itulah dia tertoleh kepada kad rawatan ibu Farhana yang terletak di atas meja. Kad itu diambil oleh Fuad. Mariana? Mariana Binti Osman? Bukankah...? [hal.180]

Wednesday, July 13, 2011

Isi Penting Karangan 4

PERANAN KERAJAAN
1. Kerajaan harus mengadakan pelbagai jenis kempen untuk memberi keinsafan dan mendidik masyarakat.
2. Kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang dan menjatuhkan hukuman yang lebih berat terhadap golongan yang bersalah.
3. Kerajaan harus mengadakan lebih banyak operasi, pemeriksaan mengejut, sekatan jalan raya dan tangkapan sepanjang tahun.
4. Kerajaan harus membelanjakan lebih banyak wang untuk meningkatkan taraf pelbagai kemudahan infrastruktur dan prasarana.
5. Pihak kerajaan harus menyusun dan melaksanakan pelbagai program khas untuk kesejahteraan rakyat.
6. Pihak kerajaan harus mengawal kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan.
7. Pihak kerajaan harus mengutamakan pembanguna modal insan dalam kalangan pegawai supaya terhindar daripada penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.
8. Kerajaan harus menghantar lebih ramai pelajar Malaysia untuk menuntuk di luar negara agar pemindahan teknologi dapat dilakukan.
9. Kerajaan harus menawarkan pelbagai jenis pinjaman, modal, dana dan subsidi untuk membangunkan pelbagai sektor ekonomi.
10. Kerajaan harus menawarkan pelbagai jenis insentif kepada pelbagai pihak untuk menarik kemasukan pelancong-pelancong dan pelabur dari luar negara.

Isi Penting Karangan 3

PERANAN GURU/SEKOLAH/PIBG
1. Warga pendidik sendiri menjadi model dan teladan yang sempurna kepada pelajar.
2. Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah harus mengadakan banyak program khas kepada pelajar-pelajar.
3. Persatuan Ibu Bapa dan Guru pula haruslah aktif dengan menjalankan pelbagai aktiviti dan program untuk kebaikan pelajar.
4. Pihak sekolah harus menguatkuasakan peraturan dengan tegas untuk mengurangkan masalah disiplin pelajar.
5. Pihak sekolah harus memperuntukkan lebih banyak masa untuk aktiviti kokurikulum supaya masa lapang pelajar dimanfaatkan sepenuhnya.
6. Pihak sekolah harus menjatuhkan hukuman yang relevan seperti merotan,menggantung persekolahan atau diberikan khidmat kaunseling bersesuaian dengan kesalahan pelajar.
7. Pihak sekolah juga harus mengadakan pelbagai kempen untuk memupuk nilai-nilai murni dan amalan terpuji di dalam jiwa pelajar.
8. Pihak sekolah harus mengutamakan pembangunan modal insan, kemudahan dan prasarana untuk keselesaan dan kebajikan pelajar.

Tuesday, July 12, 2011

Ayat Pasif

AYAT PASIF
Ayat pasif terbentuk apabila objek dalam ayat pasif transitif bertugas sebagai subjek, contohnya seperti ayat di bawah ini.
Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam. (Ayat aktif= pelaku sebagai subjek iaitu Saya)


Kerja itu sudah saya laksanakan semalam. (Ayat Pasif=objek sebagai subjek iaitu Kerja itu)

Jenis-jenis Ayat Pasif
Terbahagi kepada:
1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
2. Ayat pasif dengan kata ganti diri ketiga.
3. Ayat pasif berimbuhan ‘ber...- dan ‘ke-...-an’
4. Ayat pasif berimbuhan ‘ter-...’
5. Ayat pasif dengan perkataan ‘kena’ yang hadir sebelum kata kerja.

1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
Kata ganti nama orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja pasif berimbuhan ‘di-‘. Oleh itu, kata ganti nama diri orang pertama (aku, saya, kami, kita, patik, hamba) dan kata ganti nama orang kedua (anda, awak, engkau, kamu, kalian) haruslah berada di hadapan kata kerja (tanpa imbuhan ‘di’).
Contoh:
Kerja itu sudah saya laksanakan semalam (√) – ayat pasif
Kerja itu sudah dilaksanakan oleh saya semalam. (X)
(Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam. – ayat aktif transitif)



Rumah itu telah kami cat bersama-sama. (√)
Rumah itu telah dicat oleh kami bersama-sama. (X)
(Kami telah mengecat rumah itu bersama-sama. – ayat aktif transitif)

2. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri ketiga (termasuk pelaku = kata nama khas dan kata nama am).
Kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerjapasif ‘di-’
Contoh:
Motosikal itu telah ditunggang oleh Rahim kelmarin. (√)
Motosikal itu telah Rahim tunggang kelmarin. (X)


Kerusi dan meja itu sudah disusun oleh murid kelas 3A pagi tadi. (√)
Kerusi dan meja itu sudah murid kelas 3A susun pagi tadi. (X)

Susunan Ayat Songsang

SUSUNAN AYAT SONGSANG
Susunan biasa ayat dalam bahasa Melayu ialah subjek + predikat. Ayat songsang pula terbentuk daripada proses transformasi ayat biasa. (subjek + predikat) . Penyongsangan dapat dilakukan melalui proses pendepanan bertujuan memberikan penegasan kepada predikat.
Pendepanan seluruh predikat.
Cikgu Hanif / berfikiran kreatif. (susunan biasa)
Berfikiran kreatif / Cikgu Hanif. (susunan songsang)

Proses pendepanan berlaku juga pada ayat yang mengandungi kata penegas. (-lah, -tah, dan –kah)
Ibu saya / dia. (susunan biasa – ibu saya sebagai subjek)
Dialah / ibu saya. (susunan songsang)
Dia / ibu saya. (X = dari segi susunan ayat songsang. Ayat ini gramatis dalam ayat susunan biasa tetapi subjeknya ‘Dia’)

Pendepanan sebahagian daripada predikat.
(a) Pendepanan Frasa Kerja
i. Pendepanan kata kerja:
Ramli bekerja setiap hari. (susunan biasa)
Bekerja setiap hari Ramli. (susunan songsang)
ii. Pendepanan frasa kerja dengan objek.
Zaleha membaca buku. (susunan biasa)
Membaca buku Zaleha. (susunan songsang)
iii. Pendepanan kata kerja dengan kata bantu.
Murid-murid itu masih makan. (susunan biasa)
Masih makan murid-murid itu. (susunan songsang)

b) Pendepanan Frasa Adjektif
i. Pendepanan kata adjektif sahaja.
Ramli rajin. (susunan biasa)
Rajin Ramli. (susunan songsang)
ii. Pendepanan kata adjektif dengan kata bantu.
Rumah Kak Zue masih teguh. (susunan biasa)
Masih teguh rumah Kak Zue. (susunan songsang)
iii. Pendepanan kata adjektif dengan kata penguat.
Encik Zaidi sangat segak. (susunan biasa)
Sangat segak Encik Zaidi. (susunan songsang)
iv. Pendepanan kata adjektif, kata bantu dengan kata penguat
Haji Nasser masih segak amat. (susunan biasa)
Masih segak amat haji Nasser. (susunan songsang)

c) Pendepanan Frasa Sendi Nama
i. Frasa sendi nama sebagai predikat.
Rantai emas itu untuk ibu. (susunan biasa)
Untuk ibu rantai emas itu. (susunan songsang)
ii. Frasa sendi nama sebagai keterangan dalam predikat.
Penonton-penonton merempuh masuk ke dalam dewan. (susunan biasa)
Ke dalam dewan penonton-penonton merempuh masuk. (susunan songsang)

Tema Melunas Rindu

TEMA NOVEL MELUNAS RINDU


Persoalan pokok dalam novel MELUNAS RINDU adalah kasih sayang. Hal ini demikian kerana persoalan kasih sayang diungkapkan dalam setiap aspek penceritaan peristiwa yang berlaku kepada watak utama dan watak sampingan. Bermula daripada kasih sayang seorang anak kepada ibu bapa sama ada ibu bapa sebenar atau ibu bapa angkat, kasih sayang kepada sahabat, kasih sayang kepada teman seperjuangan dalam bidang pendidikan, kasih sayang kepada penciptaNya, kasih sayang kepada anak murid, kasih sayang kepada profesion perguruan, kasih sayang kepada tanah dengan cara berbudi kepada tanah dan sebagainya. Dapat dikatakan bahawa tidak satu inci ruangpun dalam novel ini yang tidak memaparkan persoalan kasih sayang. Dan kerana kasih sayang jugalah timbul kegigihan, kesungguhan dan keikhlasan watak utama dan sampingan untuk mencari jati diri sebagai seorang muslim sejati dan anak yang bertanggungjawab kepada keluarga sendiri. Kasih sayang yang dipaparkan oleh pelbagai watak dalam novel ini bak lautan yang tak bertepi, bahkan jika ada sedikit pergeseran akan segera diselesaikan bak kata pepatah, "biduk lalu kiambang bertaut". Kasih sayang yang wujud secara ikhlas dari dalam diri membolehkan watak utama dan sampingan menerima semua suratan yang ditakdirkan dengan rasa rendah diri dan bersyukur kepada penciptaNya. >>> Terima kasih kepada Cikgu Razak Hassan.

Isi Penting Karangan 2

PERANAN IBU BAPA/KELUARGA
1. Ibu bapa sendiri menjadi model/suri teladan yang paling sempurna dalam pelbagai hal dan perkara kepada anak-anak.
2. Ibu bapa mencurahkan kasih sayang dan sentiasa mengambil berat terhadap kebajika dan keselamatan anak-anak.
3. Ibu bapa memberikan pelbagai jenis ilmu dan pendidikan kepada anak-anak seperti pendidikan keagamaan, pendidikan keselamatan jalan raya, pendidikan kepenggunaan dan sebagainya.
4. Ibu bapa sentiasa memberi inspirasi, dorongan serta sokongan moral kepada anak-anak.
5. Ibu bapa sentiasa mengawasi tingkah laku dan pergerakan anak-anak terutamanya aspek rakan sebaya.
6. Ibu bapa menyediakan segala keperluan dan kemudahan yang diperlukan oleh anak-anak.
7. Ibu bapa harus mempunyai perhubungan yang akrab dengan anak-anak.
8. Ibu bapa harus memberi kebebasan yang diperlukan dan kebebasan bersuara keapada anak-anak.
9. Ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa untuk membimbing dan mendidik anak-anak di rumah.
10. Ibu bapa harus berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta mendedahkan anak-anak kepada perkembangan semasa.

Isi Penting Karangan

PERANAN REMAJA
1. Remaja harus mempunyai wawasan hidup dan berpandangan jauh.
2. Remaja harus menjalani kehidupan yang sihat dan menjauhkan diri daripada
gejala sosial.
3. Remaja harus memikir dan mengutamakan masa hadapan dan bukannya keseronokan semata-mata.
4. Remaja harus mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang melibatkan sekolah mahupun negara.
5. Remaja harus belajar bersungguh-sungguh dang menguasai segala ilmu dan kemahiran.
6. Remaja harus mengutamakan dan sentiasa memelihara imej keluarga, bangsa serta negara.
7. Remaja harus mempunyai jati diri , keimanan diri serta berpegang kuat kepada ajaran agama.
8. Remaja harus mempunyai disiplin diri dan sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia.
9. Remaja harus mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk berbakti kepada negara.
10. Remaja haruslah sentiasa mendengar dan mematuhi nasihat dan panduan yang diberikan oleh ibu bapa, guru dan pemimpin.

Wednesday, July 6, 2011

LAGU SEKOLAH SMK TTA

video
Ibarat mentari
Bersinar cemerlang
Itulah azam
Itulah cita-cita SMKTTA

Kepadamu guru-guru
Janganlah mudah rasa jemu
Didik kami bimbingilah kami
Menuju ke puncak jaya

Semoga akan lahir
Generasi harapan
Berilmu dan beramal
Menaburkan jasa

Berat sama dipikul
Ringan sama dijinjing
Sentiasa berganding bahu
Demi sekolah tercinta

Video : Bahasa Jiwa Bangsa

video

Lirik Lagu Bahasa Jiwa Bangsa

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu/Lirik: Dol Ramli

Asal Usul Bahasa Melayu

Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:
1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.
Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.
3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan. (Sumber : www.tutor.com.my)

HARI SUKAN SMK TAMAN TUN AMINAH

Kejohanan Olahraga SMK TTA dengan jayanya telah dijalankan pada 2 Julai 2011. Tahniah kepada rumah BIRU kerana menjadi JOHAN pada kejohahan kali ini. Sepanjang enam bulan latihan rumah telah dijalankan, hanya segelintir pelajar yang memberi komitmen. Namun begitu kejohanan olahraga kali ini yang dilakukan serentak dengan Larian 1 Malaysia telah berjaya menarik kehadiran pelajar. Semoga kerjasama daripada semua pihak terutama guru dan murid dalam program sekolah yang seterusnya akan dilaksanakan dengan lebih cemerlang kelak. Tidak lama lagi SMKTTA akan mengadakan Hari Kokurikulum tahun 2011. harapan saya agar program kali ini dapat memberi manfaat kepada pelajar SMKTTA. Marilah kita bersama-sama menjayakannya...kalau bukan kita ...siapa lagi ???