Monday, December 5, 2011

Nota Ibu Dan Ceper

IBU DAN CEPER
Karya Shahnon Ahmad

SINOPSIS
Kisah ibu tua yang disamakan dengan kisah sebuah sungai iaitu Sungai Ceper. Sungai Ceper ialah sungai yang jernih dan mempunyai sumber ikan dan udang, panjang dan berliku-liku, samalah seperti ibu yang sentiasa aktif melakukan aktiviti bersawah. Pada waktu malam, Sungai Ceper masih cergas tetapi ibu tidak. Pada sebelah malam, ibu berehat dan esoknya kembali cergas. Pada suatu hari, Sungai Ceper melimpah kerana hujan turun di hulu. Airnya likat dan melimpah menyebabkan sawah padi musnah. Pada tahun itu, semua penduduk kampung makan ubi gadung kerana padi musnah. Selepas Ceper melimpahkan air, tiba pula musim kemarau. Sungai Ceper menjadi cetek, ikan mati, air sungai busuk dan sawah kering sehingga menyebabkan ibu menggunakan telaga sebagai sumber. Keadaan ini ialah keadaan 40 tahun yang lalu, iaitu semasa aku masih anak teruna dan ibu masih muda. Kini, ibu dan ayah tiada lagi. Aku pula sudah bercucu. Sungai Ceper masih wujud tetapi sudah mula berubah sejak ibu terjatuh, lalu lumpuh kerana terpijak tunggul lama iaitu sepuluh tahun sebelum ibu meninggal. Pada masa itulah, keluarga aku menderita dan aku berkahwin dengan gadis di kampung itu. Bapa pula sudah tidak gila burung lagi sebaliknya dia hanya menjaga cucu dan menjaga ibu. Ceper kini berbau busuk kerana menjadi tempat pembuangan sampah. Airnya mengalir lesu bersama-sama sampah sarap yang tidak sepatutnya dibuang ke dalam sungai itu. Aku dan isteri telah tua dan kini duduk di rumah menjaga cucu. Pada masa ini, Ceper telah mati dan tidak berfungsi lagi walaupun masih wujud, tidak seperti ibu yang telah tiada di dunia ini.

TEMA
Kegigihan seorang ibu dalam mengharungi kehidupan.
Ibu gigih mencari rezeki dan banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber air kepada tanaman.


PERSOALAN
1. Persoalan kepentingan air dalam kehidupan.
Air Sungai Ceper yang deras dan jernih digunakan oleh ibu untuk mengairi sawahnya.
2. Persoalan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah sedangkan sungai ini semakin cetek dan tidak berdaya membawa sampah yang ada di dalamnya.
3. Persoalan kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam.
Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai yang menjadi sumber air dan rezeki di kampungnya.


WATAK DAN PERWATAKAN
Watak Utama:Ibu

1. Cekap bekerja.
Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas Subuh sehingga hampir Maghrib, malah ibu melakukan hampir semua jenis kerja.
2. Rajin.
Ibu rajin membuat pelbagai kerja menggunakan tulang empat keratnya, tanpa bantuan suaminya yang menjadi kaki burung.
3. Bermasyarakat.
Walaupun ibu sibuk bekerja, dia tidak lupa untuk menghadiri kenduri-kendara di kampungnya dan menziarahi orang yang meninggal dunia.
4. Kuat semangat.
Walaupun Sungai Ceper telah memusnahkan padinya akibat banjir namun ibu tidak berputus asa untuk mengusahakan sawahnya semula.

Watak Sampingan Aku
1. Anak tunggal dalam keluarga.
2. Mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah.
3. Sudah berumah tangga
NILAI

1. Nilai bertanggungjawab
Sikap bertanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri yang ditunjukkan oleh ibu yang mengusahakan sawah padi bagi menampung kehidupan keluarganya.
2. Nilai kegigihan
Walaupun terpaksa menggunakan tulang empat kerat, ibu tetap gigih bekerja menyara keluarga.
3. Nilai kesabaran
Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarga.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga agar mereka tidak hidup dalam kesusahan.
2. Kita hendaklah menjaga kerukunan rumah tangga agar tidak berlaku perselisihan faham antara suami dengan isteri.
3. Kita mestilah menyayangi ibu bapa yang telah tua agar kebajikan mereka terpelihara.
4. Kita janganlah mencemarkan alam sekitar kerana perbuatan itu akan membawa keburukan kepada masyarakat

Pantun Enam Kerat

Pantun Lapan Kerat (Set 1)
Buat bangsal di tengah hutan,
Tebaslah hutan buat halaman,
Di tepi halaman menanam kubis,
Diselang dengan pokok papaya;
BIarlah bersabar dengan perlahan,
Itulah tanda tuan beriman,
Tidak patah digoncang iblis,
Akhirnya tuan menang berjaya.


Ikan teluk parang-parang,
Anak ketam disangka lelabi,
Berburu musim tengkujuh,
Dapat buruan dibelah-belah;
Bukan makhluk sebarang-barang,
Cucu Adam sepaian nabi,
Turun dari langit ketujuh,
Jadi khalifah kepada Allah.

Lengkang-lengkung apa dipaku,
Paku jatuh patah dua,
Menjadi riuh orang di darat,
Anak Cik Itam jatuh jalar;
Bumi kandungan nenek moyangku,
Kerana lalai rosak binasa,
Kebudayaan Timur dinodai Barat,
Bahasa ibunda hina terbiar.


Antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka 2010
Soalan Pemahaman
1. Apakah akibat jika kita bersikap lalai seperti yang dinyatakan dalam pantun di atas?(2 markah)
2. Sebagai khalifah Allah, manusia pasti akan menghadapi pelbagai masalah dalam membimbing manusia ke jalan yang benar. Pada pendapat anda apakah masalah-masalah yang mungkin dihadapi.(3 markah)
3. Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam pantun di atas.(4 markah)

Jawapan

1. Akibat sikap lalai
…bumi/tanah pusaka/negara musnah
…kebudayaan timur tercemar/dinodai barat
…bahasa ibunda terbiar/terabai
2. Masalah-masalah yang dihadapi
… lemah iman/mudah terpengaruh/lalai
…kurang sokongan/kerjasama masyarakat
…pengaruh persekitaran
…Kesuntukan masa/sibuk
3. Dua persoalan
…tanggungjawab terhadap bahasa, budaya & negara
…ketabahan menghadapi kehidupan
… kepentingan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi

Tuesday, November 22, 2011

Persediaan-Persediaan Sebelum Menceburi Bidang Kerjaya Yang Diminati

Oleh : Tracy Liew Yuan Sze
Tingkatan : 5 Amal 2011

Setiap orang mempunyai aspirasi kerjaya masing-masing. Kerjaya yang dipilih akan menentukan kejayaan hidup seseorang. Demi mencapai kejayaan hidup , seseorang itu perlu berusaha untuk merealisasikannya. Saya memilih kerjaya sebagai seorang doktor psikologi. Kerjaya yang amat mencabar dan berisiko ini merupakan cita-cita saya sejak di bangku sekolah lagi. Untuk mencapai hasrat ini, saya perlu menyiapkan diri dengan persediaan-persediaan yang lengkap kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Persediaan yang afdal akan saya lakukan ialah memenuhi diri dengan ilmu pengetahuan yang mendalam berkaitan kerjaya yang ingin saya ceburi. Hal ini memastkan nekad saya tidak mudah rapuh kerana ketinggian ilmu yang saya miliki. Saya patutlah banyak membaca bahan bacaan yang bertemakan bidang psikologi kerana saya percaya membaca itu jambatan ilmu. Ilmu pengetahuan dapat mematangkan saya untuk menguruskan kehidupan. Oleh hal yang demikian, saya sewajarnya meningkatkan ilmu pengetahuan dan keyakinan diri bagi merealisasikan impian saya iaitu menjadi seorang doktor psikologi yang berjaya.

Selain itu, saya perlu melengkapkan diri saya dengan kemahiran sosial seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah. Selanjutnya, saya haruslah menguasai lebih banyak bahasa untuk menjadi modal insan yang kamil dan yakin pada diri sendiri apabila berhadapan onak dan duri. Saya juga akan melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum kerana ini merupakan kesempatan untuk saya mengaplikasikan kemahiran-kemahiran tersebut. Sesungguhnya, usaha untuk memilki kemahiran sosial sangat mustahak untuk menceburkan diri dalam kerjaya yang mencabar ini.

Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya sewajarnya mempunyai jati diri yang mantap. Sebagai seorang pelajar yang ingin menceburi kerjaya yang saya minati, saya akan sentiasa memastikan diri saya seimbang dari segi fizikal dan mental. Seterusnya saya perlu mempunyai minda yang kreatif dan inovatif agar mampu menangani masalah-masalah yang bakal saya tempuhi pada masa hadapan kelak. Kesannya, saya mampu mengemukakan idea-idea yang bernas untuk menghasilkan keputusan yang tepat dan berkualiti. Sesungguhnya, kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan inovatif serta kritis mampu memberi nilai tambah kepada diri saya.

Seperkara lagi, saya juga hendaklah sentiasa sensitif serta peka terhadap isu semasa kerana saya tidak mahu menjadi katak di bawah tempurung. Hal ini bertujuan untuk menjadikan diri saya lebih prihatin dan memahami terhadap masalah yang semakin menular bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Saya perlu membaca surat khabar dan menonton berita mahupun melungsuri internet untuk mengetahui isu-isu semasa berkaitan hal dalam dan luar negara terutamanya hal yang berkaitan kerjaya yang saya minati. Impaknya saya berupaya menangkis sebarang halangan ketika menjakankan tugas kelak.

Kesimpulannya, inilah persediaan-persediaan yang akan saya lakukan sebagai prasyarat untuk mencapai cita-cita saya. Oleh hal yang demikian, saya akan sentiasa menitikberatkan kemajuan diri dalam aspek jasmani,rohani, emosi dan sosial. Semoga hasrat saya terlaksana kerana tiada kejayaan tanpa usaha dan kesungguhan.

Tuesday, November 15, 2011

Bahasa Melayu SPM 2011

Bahasa Melayu Kertas 1 (1103/1) Tahun 2011

Bahagian A (30 markah)
Lihat grafik dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah belajar berkumpulan. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
  • Suasana belajar yang menyeronokkan
  • Berkongsi ilmu
  • Memupuk semangat kerjasama
Bahagian B (100 markah)
Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 perkataan.
  1. Setiap individu perlu mempunyai wawasan untuk mencapai cita-citanya. huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk merealisasikan cita-cita anda.
  2. Perlakuan negatif seperti pergaulan bebas, merokok dan melepak dalam kalangan remaja semakin membimbangkan semua pihak. Huraikan peranan keluarga bagi menangani masalah ini.
  3. Anda telah menyertai pertandingan syarahan di sekolah anda. Tajuk syarahan anda ialah 'Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan Kemakmuran Negara'. Tulis syarahan anda itu selengkapnya.
  4. Kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) membolehkan masyarakat dunia kini berkomunikasi dan memperoleh pelbagai maklumat dengan mudah, cepat dan murah. Bincangkan.
  5. Cari olehmu akan sahabat,
    Yang boleh dijadikan ubat.
    Cari olehmu akan kawan,
    Pilih segala orang setia kawan.
    Petikan gurindam di atas menjelaskan kepentingan memilih sahabat. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri sahabat yang baik.
Bahasa Melayu Kertas 2(1103/2) Tahun 2011
Soalan 1 - Rumusan - Kepentingan bahasa kebangsaan dan masalah-masalah yang dihadapi untuk memperkasakan bahasa kebangsaan.
Soalan 2 (b) -Drama Cempaka Berdarah (HR)
Soalan 2 (c) -Hikayat Dua Geliga Hikmat (DB)
Soalan 2 (d) -Pantun Enam Kerat (DB)
Soalan 3 (a) -cepumas, halaju, jejantas, jenama, pawagam, dan purata
Soalan 3 (b) -Ayat majmuk (3 ayat)
Soalan 4 (a) -Huraikan perwatakan watak utama dalam novel tersebut.
Soalan 4 (b)-Jelaskan 2 persoalan dlm sebuah novel yang telah anda pelajari.

Sunday, November 13, 2011

SELAMAT MENDUDUKI SPM 2011


Berikut adalah merupakan berapa tips menghadapi SPM untuk calon SPM 2011. Usaha pasti berjaya.

Datanglah dengan cukup bersedia dan lebih awal.
Bawalah semua alat tulis yang anda perlukan, seperti pensel, pen, jam (tangan), pemadam, pembaris, dan lain-lainnya. Kelengkapan ini akan membantu anda untuk memberi sepenuh tumpuan sepanjang masa peperiksaan.
Tenang dan percayakan diri anda.
Ingatkan diri anda bahawa anda sudah siap sedia dan akan menghadapi peperiksaan dengan baik.
Bersantailah tapi berhati-hati.
Pastikan meja dan kerusi anda dalam keadaan baik dan selesa untuk anda menulis. Duduk dalam keadaan menegak.
Previu soalan-soalan terlebih dahulu.
Luangkan 10% dari keseluruhan waktu peperiksaan untuk membaca soalan secara mendalam, tanda kata-kata kunci dan tetapkan berapa lama masa yang diperlukan untuk menjawab setiap soalan. Rancangkan untuk menjawab soalan yang mudah dulu, baru soalan yang sukar. Ketika anda membaca soalan, catatkan juga idea-idea yang muncul yang mungkin akan digunakan sebagai jawapan.
Jawab soalan secara strategik.
Mulai dengan menjawab soalan mudah yang anda tahu, kemudian dengan soalan yang mempunyai markah banyak. Soalan terakhir yang seharusnya anda jawab adalah:
soalan paling sukar, yang memerlukan masa yang lebih panjang untuk menulis jawapannya,
tetapi mempunyai markah sedikit.
Semasa menjawab soalan aneka pilihan, ketahuilah jawapan yang patut dipilih. Mula-mula, abaikan jawaban yang anda tahu salah. Tekalah pilihan jawapan ketika tidak ada pilihan jawapan yang dapat anda abaikan. Jangan mengubah suatu pilihan jawapan jika anda tidak pasti kerana pilihan pertama jawapan anda biasanya betul, jangan menggantinya kecuali anda yakin dengan pembetulan yang anda lakukan.Semasa menjawab soalan esei, fikirkan dulu jawapannya sebelum menulis. Buat rangka karangan untuk esei dengan mencatat dulu beberapa idea yang akan ditulis. Kemudian susun isi-isi itu mengikut susunan yang mana penting atau perlu dibincangkan dulu.
Semasa menjawab soalan esei, jawab pada persoalannya. Tulis frasa pokok pada frasa pertama. Gunakan perenggan pertama sebagai pengenalan esei anda. Gunakan perenggan seterusnya untuk membincangkan isi-isi utama secara terperinci. Sokong isi anda dengan penerangan yang jelas, contoh, atau petikan dari buku atau media lain jika perlu.
Sisihkan 10% waktu anda untuk memeriksa jawapan.
Periksa jawapan; elakkan keinginan untuk cepat meninggalkan dewan atau bilik setelah anda menjawab semua soalan ujian. Pastikan anda telah menjawab semua soalan. Baca sekali lagi jawapan anda untuk memeriksa ejaan, struktur bahasa dan tanda baca. Untuk jawapan matematik, pastikan tidak ada kesilapan (misalnya salah meletakkan tanda titik perpuluhan). Bandingkan jawapan matematik anda yang sebenarnya dengan pengiraan ringkas.
Analisa jawapan anda.
Setiap peperiksaan akan membantu anda dalam mempersipakan diri untuk peperiksaan berikutnya. Tetapkan strategi mana yang sesuai dengan anda. Tentukan strategi mana yang tidak menjadi dan ubahlah. Gunakan pengalaman kertas peperiksaan sebelumnya ketika belajar untuk peperiksaan akhir.

Friday, November 11, 2011

Tema Novel Melunas Rindu Dan Kabus Di Perbukitan

TEMA NOVEL MELUNAS RINDU : KASIH SAYANG
1. Kasih sayang Fuad terhadap ibu kandungnya. Fuad berusaha mencari ibunya yang tidak pernah ditemui sejak 25 tahun lalu kerana terlalu menyayanginya.
2. Kasih sayang terhadap keluarga angkat. Fuad amat menyayangi Pak Ismail dsan Mak Salmah, ibu bapa angkatnya di Kampung danau seberang. Fuad membawa mereka mengerjakan umrah di Mekah.
3. Kasih sayang terhadap sahabat. Fuad amat mengambil berat tebtang kesihatan ibu Farhana kerana persahabatannya dengan Farhana.
4. Kasih sayang terhadap profesion. Cikgu Abas amat mengagumi kesungguhan Fuad mengajar anak-anak muridnya walaupun dia seorang guru sandaran. Fuad bersungguh-sungguh mengajar pelajar selepas waktu persekolahan di kantin sekolah.
5. Kasih sayang terhadap anak-anak murid. Cikgu Abas amat menyayangi para pelajarnya yang lemah penguasaan subjek bahasa Inggeris lalu memujuk Fuad menjadi guru di Sekolah Menengah Seri Setia bagi mengatasi masalah tersebut.
6. Kaish sayang terhadap saudara. Fuad menyayangi bapa saudara dan ibu saudaranya serta adik-adik sepupunya. Fuad membayar yuran peperiksaan Ah Soh dan membuka akaun GIRO untuk Mei Lin. Fuad menyuap makanan kepada Peter Lim yan sedang sakit.
7. Kasih sayang terhadap anak angkat; Pak Ismail sayang akan Fuad . dia berasa bimbang apabila Fuad tidak pulang ke rumah lagi sejak masuk ke hutan sedangkan waktu sudah senja.
8. Kasih sayang terhadap saudara seagama. Pak Ismail bersungguh-sungguh mengajar Fuad yang baru menganut agama Islam mengaji Al Quran

TEMA NOVEL KABUS DIPERBUKITAN : JATI DIRI BANGSA MELAYU
Jati diri bangsa dan kekuatan pegangan agama menjadikan seorang wanita Melayu berupaya menghadapi cubaan hidup dengan tenang tanpa terkikis nilai wanita Melayu dan penganut agama yang setia. Kekuatan diri membentuknya menjadi wanita glokal yang masih sedar akan asal usul diri.
1. Faridah yang bermaustatin di Rosewood , New Zealand tidak pernah melupai tanah tumpah darahnya Malaysia walaupun sudah 25 tahun menetap di Rosewood.
2. Faridah masih menggemari masakan Melayu iaitu kari yang juga merupakan masakan kegemaran anaknya Anne.
3. Faridah masih mengekalkan panggilan namanya dengan nama Melayu iaitu Idah
4. Faridah masih kuat berpegang pada agama Islam yang menjadi pegangan kuat bangsa Melayu.
5. Faridah dan Soleh Johnsons menerapkan ajaran Islam kepada anak-anak mereka iaitu larangan meminum arak.
6. Faridah dan Johnsons menghantar anak-anak mereka Anne dan Melina belajar di sekolah rendah Islam ketika berusia enam tahun di Christchurch yang terletak 30 km dari rumah mereka di Rosewood

Thursday, November 10, 2011

Perbandingan Persoalan Ketabahan Dalam Novel

Persoalan ketabahan menghadapi cabaran hidup jelas dipaparkan oleh pengarang.Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, huraikan peristiwa yang mengandungi persoalan tersebut. ( 8 markah )

Cadangan jawapan
Melunas Rindu

Fuad ialah seorang anak muda yang tabah menghadapi cabaran hidup.
Sebagai contohnya, dia tabah menghadapi hidupnya tanpa ibu dan bapa di sisinya. Dia cuma menumpang kasih sayang daripada bapa dan ibu saudaranya iaitu Peter Lim dan Swee Lan. Selain itu, dia juga menumpang kasih sayang daripada keluarga angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah.

Fuad tabah menghadapi kenyataan bahawa Farhana ialah adiknya sendiri yang berlainan bapa.
Setelah kematian Sofia, Mak Salmah benci kepada Fuad. Mak Salmah tidak melayan Fuad dengan baik. Fuad tetap cuba mengambil hati Mak Salmah dengan membantu mencarikan kayu api dan dan menyapanya setiap kali bertemu. Fuad tetap tabah dengan karenah Mak Salmah.

Kabus di Perbukitan
Faridah tetap tabah walaupun mengalami nasib malang yang bertimpa-timpa.
Setelah pemergian Rahayu, ibunya pula meninggal dunia sesudah sekian lama menderita masalah kesihatan. Suaminya, Ghazali meninggal tidak lama selepas itu setelah terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya.

Rahayu begitu tabah menghadapi penyakit kanser.
Walaupun terpaksa menerima rawatan kimoterapi yang menyakitkan dia tetap tabah.

Salmah tabah membesarkan Faridah selepas berpisah dengan suaminya Mejar Kamaruddin.

Melina tabah menghadapi berita kehilangan Benny . Dia memandu seorang diri ke Cameron Highland untuk berjumpa keluarganya walaupun sedang sarat mengandung.

Perbandingan Persoalan Dalam Novel

Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, jelaskan persoalan tanggungjawab bagi setiap novel. ( 8 markah )

Cadangan Jawapan :
Melunas Rindu

•Persoalan tanggungjawab sebagai seorang pendidik.
Fuad tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia dengan baik walaupun dia hanyaseorang guru sandaran.

•Tanggungjawab terhadap keluarganya sendiri.
Farhana segera pulang ke Kuantan untuk menjaga ibunya yang sakit lelah dan dimasukkan ke hospital. Dia sanggup tidur di hospital semata-mata untuk menjaga ibunya yang sakit.

-Tanggungjawab sebagai anak
Fuad menghantar ibunya Mariana dan kedua-dua ibu bapa angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah mengerjakan umrah di Mekah.

- Tanggungjawab sebagai bapa
Pak Ismailseorang yang bertanggungjawab. Contohnya Pak Ismail membimbing Fuad mendalami Islam sepenuhnya. Dia sering mengajar Fuad membaca al-Quran.


Kabus di Perbukitan

-Tanggungjawab memelihara alam sekitar
Soleh Johnson mengusahakan sebuah kawasan peranginan di Lojing, Cameron Highlands tanpa menebang pokok-pokok balak merbau dan tualang serta pokok-pokok balak yang lain demi mengekalkan ekosistem Cameron Highlands.

-Tanggungjawab terhadap keluarga
Mejar (B) Kamarudin meredah hutan belantara mencari anaknya yang Faridah yang hilang di dalam hutan Cameron Highlands walaupun sudah lebih 20 tahun dia tidak pernah pernah bersua dengan Faridah setelah berpisah dengan Salmah (ibu Faridah ).

-Tanggungjawab ibu bapa memberi didikan agama
Soleh Johnsons dan Faridah seorang Muslim yang kuat pegangan agama. Anak-anaknya Anne dan Melina dihantar belajar di sebuah sekolah rendah agama yang jauhnya 30 km dari Rosewood semata-mata mahu anak-anaknya mendapat pendidikan Islam yang baik.

Tanggungjawab mengekalkan jati diri Melayu
Faridah menerapkan budaya atau cara hidup orang Melayu terhadap anaknya Anne dan Mellina.

Kepentingan Semangat Kejiranan

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.

Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

Friday, November 4, 2011

Usaha Membudayakan Amalan Berbudi Bahasa

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha membudayakan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat dan kekangan-kekangannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Dewasa ini kita menghadapi satu senario, iaitu sifat-sifat luhur dan kesantunan budi bahasa yang semakin terhakis sedangkan dulu hal ini menjadi kebanggaan masyarakat Malaysia. Ungkapan infrastruktur kelas pertama dan mentaliti kelas ketiga tepat menggambarkan kerisauan masyarakat Malaysia tentang keadaan negara pada masa ini. Ekoran itu, kerajaan telah mengorak langkah yang bijaksana, iaitu pada 11 Januari 2005, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni Peringkat Kebangsaan. Kempen ini dijalankan bagi tempoh masa lima tahun dari tahun 2005 hingga tahun 2010. Perdana Menteri menyatakan bahawa sebelum amalan ini terhakis seharusnya peranan kendiri, keluarga, dan masyarakat amat penting untuk membugarkan budaya berbudi bahasa.

Peranan institusi keluarga tidak boleh dikesisikan. Para ibu bapa perlu mengambil sikap bersungguh-sungguh apabila memberi didikan kepada anak-anak. Ibu bapa harus menyemai sikap berbudi bahasa yang tinggi kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Hal ini kerana remaja sering dikaitkan dengan gejala sosial seperti pergaulan bebas, lepak, lumba haram dan sebagainya. Perlakuan mereka sudah melanggar adab dan tatasusila yang menjadi norma dalam masyarakat. Pada masa inilah masyarakat harus mempunyai keupayaan untuk menegur perlakuan remaja dengan cara berhemah agar mereka dapat menerima teguran dengan sebaik-baiknya.

Sebaliknya, masyarakat hari ini lebih menekankan aspek materialisme, sekali gus meminggirkan nilai moral seperti berbudi bahasa. Ibu bapa dan guru-guru sepatutnya berganding bahu dengan masyarakat dalam memainkan peranan membentuk peribadi anak-anak kerana remaja diibaratkan seperti sehelai kain putih yang mudah menerima dan seterusnya mengamalkan nilai budi bahasa yang terpuji. Dalam kehidupan bermasyarakat, para remaja perlu sentiasa menggunakan tutur kata yang sopan, mempunyai fiil yang halus dan budi pekerti yang mulia, bertegur sapa, sedia memohon maaf, membiasakan diri memberi salam atau ucap selamat dan bantu-membantu ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Selain itu, institusi pendidikan formal, iaitu sekolah bertanggungjawab untuk melahirkaan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tugas guru pula semakin mencabar bukan sahaja menghabiskan sukatan pelajaran, malah guru harus menjadi suri teladan kepada anak didik mereka. Jadi warga pendidik hendaklah menggunakan bahasa yang sopan apabila berinteraksi dengan pelajar. Tugas ini haruslah disambut baik oleh para pendidik kendatipun mereka menanggung beban tugas yang banyak. Seterusnya, masyarakat menyambut baik jika syarikat pengangkutan awam seperti bas, teksi, monorel, dan LRT menggunakan kenderaan mereka sebagai platform untuk mendidik masyarakat ke arah merealisasikan nilai-nilai berbudi bahasa dengan melekatkan pelbagai iklan dan cogan kata pada kenderaan awam. Hal ini demikian kerana pembangunan fizikal seharusnya seiring dengan pembangunan insan.

Sebagai konklusi, masyarakat yang maju tanpa nilai-nilai moral, khususnya budi bahasa dapat diibaratkan seperti seorang manusia tanpa roh. Kita tidak mahu generasi akan datang menjadi masyarakat yang tidak berbudi bahasa dan lupa akan adat yang selama ini diamalkan oleh masyarakat Melayu. Semua pihak harus menggemblengkan tenaga bersama-sama menyahut kempen kerajaan agar amalan berbudi bahasa yang menjadi amalan tradisi nenek moyang kita tidak luput ditelan arus globalisasi yang begitu hebat.

(Diubahsuaikan daripada Berbudi Bahasa Amalan Hidup Kita oleh Tuan Ismail Tuan Muhammad, Dewan Siswa, Februari 2008)
Jawapan

Pendahuluan:

Petikan membincangkan langkah-langkah membudayakan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia

Isi tersurat
-ibu perlu mengambil sikap bersungguh-sungguh apabila memberi didikan kepada anak-anak
-ibu bapa harus menyemai sikap berbudi bahasa yang tinggi kepada anak-anak
-masyarakat harus mempunyai keupayaan untuk menegur perlakuan remaja dengan cara berhemah
-Ibu bapa dan guru-guru sepatutnya berganding bahu dengan masyarakat dalam memainkan peranan membentuk peribadi anak-anak
-para remaja perlu sentiasa menggunakan tutur kata yang sopan, mempunyai fiil yang halus dan budi pekerti yang mulia, bertegur sapa, sedia memohon maaf, membiasakan diri memberi salam atau ucap selamat dan bantu-membantu ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
-syarikat pengangkutan melekatkan pelbagai iklan dan cogan kata pada kenderaan awam
-warga pendidik hendaklah menggunakan bahasa yang sopan apabila berinteraksi dengan pelajar.



CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

Berderap seiring berjalan pulang,
Mawar disisip hiasan si dara,
Remaja kini berperibadi cemerlang,
Menjadi tunjang aspirasi negara.
Pantun di atas menerangkan bagaimana seorang pelajar yang cemerlang dapat memberikan kebaikan kepada negara. Hal ini demikian kerana pelajar cemerlang mampu merealisasikan aspirasi negara dan seterusnya bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bak kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menjadi pelajar yang cemerlang, pelbagai kriteria yang positif perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.

Ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang pelajar cemerlang ialah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan.Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Allah. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa pelajar cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.

Seterusnya, pelajar yang cemerlang sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Pelajar yang cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, jelaslah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang mereka lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini demikian kerana, mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang pelajar yang cemerlang. Mereka juga sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Mereka juga tidak mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan minit dalam kehidupan mereka agar tidak berakhir dengan penyesalan.

Di samping itu, ciri pelajar yang cemerlang termasuklah sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal ini demikian kerana, perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberi sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya,maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas sahaja menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang malahan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa memberikan tumpuan semasa guru sedang megajar di dalam kelas.

Bukan itu sahaja, pelajar yang cemerlang juga mempunyai wawasan hidup. Hal ini demikian kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.

Sementara itu, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan. Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dalam konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Para pelajar juga haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Contohnya, pelajar yang cemerlang akan menyertai pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur. Oleh hal yang demikian, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.

Intihanya, kriteria-kriteria yang positif perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua skop kehidupan. Pelajar yang cemerlang mampu berfikir luar daripada kotak pemikiran dan seterusnya mampu merealisasikan aspirasi negara. Hal ini demikan kerana, pelajar yang cemerlang merupakan pemacu jentera negara dan akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Oleh itu, generasi pelajar yang cemerlang perlu dipupuk sejak kecil lagi bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Thursday, November 3, 2011

Keluarga Impian Saya

“Rumahku, syurgaku”. Ungkapan keramat ini memanifestasikan peri pentingnya setiap ahli dalam sesebuah keluarga memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin sehingga menjelmakan kebahagiaan yang menjadikan rumah seumpama syurga. Semua insan mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya. Dalam sebuah keluarga yang bahagia nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan seharian ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain kerana sikap saling membantu bagai aur dengan tebing harus diamalkan dalam sesebuah keluarga. Hal ini dapat diibaratkan seperti makan nasi tidak berlauk. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu mengatakan bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni. Kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan.

Sesungguhnya setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipan masing-masing demi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa haruslah memainkan peranan penting untuk membina keluarga yang harmoni dan mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa jugalah yang akan memberikan bekalan yang terbaik kepada anak-anak seperti ilmu pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak pada era globalisasi ini semakin cepat menerima apa-apa yang dipelajari, maka anak-anak ini perlu dibaja dengan perkara yang baik dan berfaedah serta membuahkan hasil. Anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa mereka supaya menjadi sehelai kain batik yang cantik lagi menarik. Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu bapalah yang menjadi guru mereka kerana merekalah guru yang pertama dan terdekat yang boleh membimbing anak-anak supaya menjadi insan yang berwawasan apabila dewasa kelak. Anak-anak akan meniru jejak langkah ibu dan bapa mereka sejak kecil lagi kerana mereka merupakan idola anak-anak mereka semasa kecil dan hal ini dapat diibaratkan seperti bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Haruslah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa pasti ada yang akan menjejaki langkah mereka. Tuntasnya, benarlah bahawa ibu bapa haruslah membentuk sahsiah anak-anak mereka untuk menjadi insan yang cemerlang dari segi fizikal mahupun rohani mereka dan ciri keluarga beginilah yang menjadi impian saya.

Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka “yang mana intan, yang mana kaca”, iaitu mereka bijak membezakan antara perbuatan yang baik dan sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh kedapatan anak-anak yang bersifat lurus bendul yang tidak berupaya membezakan antara perbuatan yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam konteks ini ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka tentang realiti menempuh kehidupan yang diredai Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi pergaulan anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri mereka terlampau bebas sehingga terjerumus ke lembah dunia yang penuh dengan masalah sosial dan susila yang meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun jagung, setampuk darah pinang. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka agar tidak bergaul dengan rakan yang buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan masa depan mereka. Tidak cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena tak bena. Sebaliknya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan secukupnya selain menganggap anak-anak seperti “menatang minyak yang penuh”. Didikan agama harus ada dalam diri seseorang. Ibu bapa wajib memastikan anak-anak mereka memperoleh didikan agama tersebut kerana tanpa pegangan agama yang kukuh kita akan tersesat seperti layang-layang yang terputus talinya. Ibu bapa haruslah menerapkan ajaran agama ini sejak anak-anak masih kecil lagi. Hal ini kerana hati anak yang tidak dicemari dosa mudah untuk dipupuk kerana “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Ironinya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh belantara kehidupan. Dalam benak saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang menjadi idaman saya.

Anak-anak akan kehilangan semangat untuk melakukan sebarang kerja seharian jika ibu bapa tidak meluangkan masa dengan mereka walaupun hanya untuk bertanyakan khabar. Lantaran itu, ibu bapa haruslah menitikberatkan perkara ini dan haruslah berusaha sedaya mungkin untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga tidak bererti mereka hanya melakukan aktiviti di luar rumah, bahkan usaha tersebut boleh juga dilakukan di dalam rumah sepeti membincangkan masalah yang membelenggu pemikiran anak-anak di samping menyelesaikannya. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap anak-anak dengan bertanyakan masalah yang dihadapi, perkembangan pelajaran di sekolah dan kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sikap rakus dalam mengejar fatamorgana dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Wang ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi tetapi kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci itu adalah penting bagi menjana keluarga bahagia. Tidak salah jika ibu bapa mencari rezeki pada siang hari, tetapi jika sering pulang lewat petang sehingga mengabaikan makan minum anak-anak, tentu mereka akan makan hati. Peribahasa Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak yang kurang memperoleh kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Walau bagaimanapun, ibu bapa haruslah meluangkan masa mereka bersama dengan anak-anak agar mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga bahagia.

Menjadi anak yang derhaka ialah perkara yang dilarang sama sekali dalam mana-mana ajaran agama. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti perintah ibu bapa mereka. Anak-anak hendaklah belajar dengan penuh kesungguhan dan mendapat keputusan yang cemerlang kerana pencapaian trsebut dapat membanggakan ibu bapa untuk membalas jasa mereka. Anak-anak seharusnya memuliakan maruah diri dan maruah keluarga dengan tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, dan menagih dadah. Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat ibu bapa, bukannya menjadikan diri mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tidak sepatutnya jasa ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan begitu sahaja. Sebagai insan yang bergelar anak kita haruslah mengenang jasa mereka kerana kita ditegah untuk menjadi seperti “kacang lupakan kulit”. Anak-anak haruslah mengambil alih tugas ibu bapa yang dahulu menjaga kita sewaktu kecil dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri mereka lagi. Jika ibu bapa boleh menatang kita seperti menatang minyak yang penuh, mengapa kita sebagai anak tidak boleh melakukan hal yang sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak bijak untuk menghargai seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka sedangkan ibu bapalah yang telah membimbing, mendidik dan menjaga mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya tiada ibu bapa,siapa kita pada hari ini? Akhir sekali,anak-anak harus mentaati perintah ibu bapa agar keluarga bahagia dapat dibina. Sejujurnya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam sebuah keluarga yang menjadi idaman saya.

Haruslah menjadi kewajipan dalam institusi kekeluargaan untuk saling hormat menghormati antara satu sama lain. Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan, terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap sepeti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik keluarga secara tidak langsung. Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga, mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina. Ahli keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik, haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang, malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah. Kita haruslah mengamalkan sikap “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dan “ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni”. Tegasnya, setiap ahli keluarga haruslah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan untuk membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati.

Keseluruhan di atas merupakan antara ciri keluarga bahagia yang menjadi impian saya, terutamanya setelah saya dewasa dan membina keluarga sendiri. Semuanya akan menjadi kenyataan sekiranya saya berjaya dalam bidang pelajaran yang sudah pasti akan menjadikan masa hadapan saya cerah kerana kedudukan ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan pasangan yang menjadi suri kehidupan saya akan memikul tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin agar anak-anak akan menjadikan kami sebagai rol model mereka. Dengan keizinan daripada Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan tercapai. Lebih jauh lagi, saya mesti berussaha dengan penuh kesungguhan agar impian tidak tinggal sebagai mimpi pada siang hari kerana tanpa usaha tiadalah kejayaan. Semoga fajar yang menyingsing pada sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang memberikan sinaran paling gemilang dalam kehidupan saya berkeluarga.

Wednesday, November 2, 2011

Langkah-Langkah Mengurangkan Pencemaran Alam Sekitar

Menjelang abad ke-21, apabila masyarakat kita semakin maju, kita dapati bahawa tapak bumi ini telah menjadi mangsa dalam arus permodenan ini. Sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat mengenai isu pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran air, udara dan darat. Antaranya, isu jerebu yang mengancam negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan telah menjadi topik hangat yang dibincang dari kedai kopi hingga ke parlimen. “Kalau tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang”. Sikap manusia zaman moden yang asyik mengejar fata morgana sehingga mengabaikan isu pencemaran alam sekitar, merupakan faktor yang menyebabkan keadaan ini semakin merosot. Sekiranya keadaan ini dibiarkan, manusialah yang akan menerima padahnya pada suatu hari nanti. Memandangkan keadaan ini, maka pelbagai langkah drastik perlulah diambil sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah langkah yang boleh diambil untuk mengatasi pencemaran alam sekitar? Jawapannya terletak pada kita semua. Tidak kira siapa, yang pastinya semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini.

Pepatah Melayu ada mengatakan “tiada penyakit yang tiada penawarnya”. Usaha untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ini sepatutnya dimulakan daripada institusi keluarga. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting. Mereka sebagai orang terdekat kepada anak-anak sepatutnya mendidik mereka untuk menghargai dan mencintai alam sekitar sejak dari kecil lagi. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang isu-isu pencemaran alam sekitar yang terkini untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Mendidik sahaja tidak cukup, ibu bapa juga harus menjadi teladan kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat dan melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan udara. Dalam hal ini, sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak harus diamalkan oleh ibu bapa, iaitu mengajar anak menjaga kebersihan alam sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian. Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri menjadi teladan, maka anak-anak juga akan terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa. Dengan ini, nescaya pencemaran alam sekitar akan dapat diatasi.

Sekolah dapat diibaratkan sebagai rumah kedua kepada para pelajar. Oleh itu, pihak sekolah juga berperanan besar dalam usaha mengatasi pencemaran alam sekitar. Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah termasuklah mengadakan kem kesedaran untuk memupuk semangat cinta akan alam sekitar dalam kalangan para pelajar. Melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, pendidikan alam sekitar secara langsung dapat diberi kepada para pelajar. Contohnya, guru-guru boleh memberi tugas tertentu kepada pelajar seperti meminta mereka mencari artikel-artikel yang berkaitan dengan isu pencemaran alam sekitar dan menyuruh mereka membaca artikel tersebut di dalam kelas. Secara tidak langsung, mereka dapat disedarkan tentang kesan buruk yang dibawa oleh pencemaran alam sekitar. Dengan wujudnya kesedaran ini, barulah mereka akan mencurahkan usaha untuk menjaga alam sekitar ini. Semasa di sekolah, usaha ini juga boleh dilakukan melalui penubuhan Kelab Alam Sekitar. Tamsilnya, Kelab Alam Sekitar boleh mengadakan pelbagai program seperti ceramah dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah dengan tujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti alam sekitar secara intensif. Lantaran itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha pihak sekolah juga dapat membantu mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik juga merupakan salah satu langkah yang dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dengan efektif. Masyarakat perlulah mempraktikkan program 3R dalam kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai ‘Reduce, Reuse, Recycle’. ‘Reduce’ ialah usaha mengurangkan penggunaan bahan sumber yang terhad. Dalam erti kata lain, masyarakat haruslah berjimat cermat dalam menggunakan bahan sumber yang saban hari kian berkurangan seperti petroleum dan arang batu. ‘Reuse’ pula ialah usaha menggunakan semula bahan-bahan buangan secara terus atau mengubah fungsi bahan tersebut dengan mereka cipta barangan baru. Hal ini dilakukan untuk menjimatkan bahan sumber sekali gus mengurangkan sampah sarap yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Dalam pada itu, masyarakat perlu mempraktikkan amalan kitar semula iaitu mengguna semula bahan baru. Contohnya, masyarakat boleh menjual surat khabar dan majalah lama untuk dikitar semula. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan sampah malah dapat menjimatkan kos untuk pelupusan sampah. Bak kata pepatah, berjimat sebelum kena, ingat sebelum habis. Oleh itu, masyarakat haruslah sentiasa peka terhadap isu-isu pencemaran alam sekitar untuk mengelakkan pencemaran daripada menjadi semakin serius.

Dalam pada itu, statistik menunjukkan bahawa pencemaran alam sekitar kebanyakannya berpunca daripada pengeluaran asap ke udara dan sisa-sisa toksik ke dalam sungai. Menyedari kesan-kesan negatif yang dibawa oleh pencemaran alam ini, pihak berkuasa telah menguatkuasakan undang-undang untuk menangani masalah yang dibaratkan sebagai duri dalam daging negara yang sedang membangun. Dengan ini, kabinet telah memutuskan bahawa hukuman mandatori lima tahun penjara terhadap Ketua Pegawai Eksekutif dan presiden sesebuah syarikat yang melanggar undang-undang alam sekitar. Mereka akan diberi amaran terlebih dahulu dan surat yang berkaitan dengan larangan melepaskan asap hitam dan sisa toksik. Namun, jika keadaan mencurahkan air ke daun keladi berlaku, tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap mereka seperti yang diputuskan oleh kabinet. Pengusaha-pengusaha kilang haruslah menapis asap hitam dan menggunakan alternatif lain untuk menghapuskan sisa-sisa toksik kilang. Mereka tidak harus mengorbankan alam sekitar demi kesenangan diri. Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkuasa untuk mendakwa pihak yang mencemarkan alam sekitar dan disyaki menjejaskan kualiti alam sekitar. Dengan itu, diharapkan pencemaran alam sekitar dapat diatasi dengan penguatkuasaan akta dan undang-undang alam sekitar.

Kesimpulannya, masalah pencemaran alam sekitar di negara kita haruslah ditangani dengan segera dan usaha ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Alam sekitar telah dianugerahkan dan diamanahkan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah menjaganya dengan penuh tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini dibiarkan, kesannya akan memudaratkan manusia itu sendiri walaupun hidup dalam kemewahan. Adakah pemodenan negara lebih penting daripada keindahan alam sekitar? Adakah kita menginginkan kemewahan hidup semata-mata tanpa mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah selera. Dengan itu, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran memerlukan kerjasama, kesedaran dan keprihatinan daripada setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan kelstarian alam sekitar yang dianugerahkan kepada manusia.