Showing posts with label Tatabahasa. Show all posts
Showing posts with label Tatabahasa. Show all posts

Sunday, November 5, 2023

LATIHAN PERIBAHASA


LATIHAN PERIBAHASA 1


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai bagi mengisi tempat kosong dalam petikan tersebut. 

Kehidupan moden pada hari ini telah menjadi faktor penyebab kepada golongan muda untuk meninggalkan adat warisan kaum masing-masing. Menyedari hakikat tersebut, Puan Aminah sering berpesan kepada anak-anaknya agar tidak sekali-kali melanggar adat kaum Melayu apabila membincangkan hal kehidupan bermasyarakat kerana (i)________________________. Anak-nak Puan Aminah mematuhi segala nasihat dan didikan daripada ibu bapa mereka kerana mereka tidak mahu dianggap seperti (ii) _________________________________. Bagi anak-anak Puan Aminah, nasihat dan didikan ibu bapa sangat berguna untuk dijadikan panduan hidup. Golongan muda masih boleh membaiki kesilapan mereka dengan mengubah tingkah laku dan sikap agar tidak bertentangan dengan norma atau etika masyarakat kaum mereka. Hal ini sesuai dengan peribahasa (iii __________________ kesilapan yang telah dilakukan. yang menekankan seseorang untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan. [ 6 markah ] 


LATIHAN PERIBAHASA 2

Baca petikan di bawah dengan teliti. Kenal pasti dan senaraikan dua peribahasa yang terdapat dalam petikan. Kemudian beri peribahasa lain yang sama maksud atau hampir sama maksud dengan peribahasa tersebut. 

Jualan langsung merupakan satu kaedah menjual barangan kepada pelanggan dengan harga yang kononnya lebih murah. Walaupun pihak Persatuan Pengguna telah membuat peringatan melalui media massa berkaitan dengan taktik penipuan ini, namun usaha mereka seperti mencurah air ke dalam keladi. Pengguna perlu berhati-hati menerima kedatangan ejen-ejen ini supaya tidak menyesal kerana terpedaya membeli barang-barang yang tidak berkualiti bak kata sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Sesetengah daripada mereka mempunyai niat yang tidak baik seperti berlurah di balik pendakian. [ 4 markah ]                                                                                               
                                                                                                                                                 

LATIHAN PERIBAHASA 3

Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian nyatakan tiga peribahasa yang sesuai dengan situasi dalam petikan tersebut. 

Amalan ziarah-menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan kesempitan ialah cara seseorang menghargai jasa para guru. Kemungkinan guru ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya kerana (1)______________________. Sebagai pelajar, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan perasaan simpati kerana  (2) ____________________________. Jika mereka mengalami musibah atau bencana, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang ditanggung. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa, (3) _______________________. Tegasnya, pengorbanan guru perlu sentiasa dikenang oleh para pelajar.  [6 markah] 
                                                                                                                                                   
                                                                                                                                                   

Sunday, March 10, 2013

MEMBIASAKAN YANG BETUL, MEMBETULKAN YANG BIASA

Bil
Salah
Betul
Catatan
1
Semua permohonan mesti sampai selewat-lewatnya pada minggu depan bagi memudahkan ianya diproses oleh pihak JPA.
Semua permohonan mesti sampai selewat-lewatnya pada minggu depan bagi memudahkan
permohonan diproses oleh pihak JPA.
Ianya tidak boleh dianggap
sebagai kata ganti diri seperti it dalam bahasa Inggeris.
2
Gotong royong
Gotong-royong
Kata berganda, dieja dgn
tanda sempang.
3



…mengucapkan terima kasih
di atas kehadiran semua.



…mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua...
Di atas untuk hal-hal yang fizikal dan boleh disentuh atau dilihat.Contoh: Di atas meja...


Untuk hal-hal yang abstrak, lebih tepat kata sendi atas. Contoh:  Mengambil kesempatan atas kelemahan…
4
…bersandarkan kepada
keperluan…
…bersandarkan keperluan…
Tidak perlu ada kata sendi
kepada
5
dari 250 unit kepada 300
unit…
…daripada 250 unit kepada 300 unit…
Padanan yang tepat
....dari… ke ....
....daripada…kepada

Sumber : http://guruselamanya.wordpress.com

Saturday, October 8, 2011

Contoh Penerapan Peribahasa dalam Ayat

  1. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa ...
  2. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa ..
  3. Hal ini jelas dinyatakan dalam peribahasa ...
  4. Orang tua-tua pernah berkata ...
  5. Situasi ini boleh diperjelas melalui peribahasa ...
  6. Perkara ini bertepatan dengan maksud peribahasa ...
  7. Ibu bapa hendaklah mengasuh dan mendidik anak-anak sejak kecil kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
  8. Sebagai rakyat Malaysia kita mestilah mempertahankan negara kita daripada dijajah oleh musuh bak kata pepatah "biar putih tulang jangan putih mata"
  9. Kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi masa depan kerana usaha tangga kejayaan.
  10. Sikap penduduk di taman itu yang selalu berbincang dan bermuafakat untuk melaksanakan sesuatu aktiviti ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
  11. Sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dielakkan, sebaliknya sikap ke bukit sama didaki kelembah sama dituruni perlulah diamalkan dalam kalangan masyarakat setempat untuk memperkukuh perpaduan.
  12. Kita hendaklah menjaga perpaduan yang telah kita bina dengan menghindarkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan atau kehancuran ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua.
  13. Sikap sesetengah rakyat yang menjadi seperti api di dalam sekam menyebabkan pihak asing cuba mencampuri urusan pentadbiran negara kita.
  14. Kita janganlah bermain api dalam keadaan negara kita yang aman damai ini kerana seekor kerbau yang membawa lumpur semuanya akan terpalit, iaitu kesilapan yang dilakukan oleh seseorang akan menyebabkan semua orang di sekelilingnya ditimpa kesusahan.
  15. Kita hendaklah membalas jasa ibu bapa yang telah memelihara dan membesarkan kita supaya kita tidak dikatakan bagai kacang lupakan kulit.

Tuesday, July 12, 2011

Ayat Pasif

AYAT PASIF
Ayat pasif terbentuk apabila objek dalam ayat pasif transitif bertugas sebagai subjek, contohnya seperti ayat di bawah ini.
Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam. (Ayat aktif= pelaku sebagai subjek iaitu Saya)


Kerja itu sudah saya laksanakan semalam. (Ayat Pasif=objek sebagai subjek iaitu Kerja itu)

Jenis-jenis Ayat Pasif
Terbahagi kepada:
1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
2. Ayat pasif dengan kata ganti diri ketiga.
3. Ayat pasif berimbuhan ‘ber...- dan ‘ke-...-an’
4. Ayat pasif berimbuhan ‘ter-...’
5. Ayat pasif dengan perkataan ‘kena’ yang hadir sebelum kata kerja.

1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
Kata ganti nama orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja pasif berimbuhan ‘di-‘. Oleh itu, kata ganti nama diri orang pertama (aku, saya, kami, kita, patik, hamba) dan kata ganti nama orang kedua (anda, awak, engkau, kamu, kalian) haruslah berada di hadapan kata kerja (tanpa imbuhan ‘di’).
Contoh:
Kerja itu sudah saya laksanakan semalam (√) – ayat pasif
Kerja itu sudah dilaksanakan oleh saya semalam. (X)
(Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam. – ayat aktif transitif)



Rumah itu telah kami cat bersama-sama. (√)
Rumah itu telah dicat oleh kami bersama-sama. (X)
(Kami telah mengecat rumah itu bersama-sama. – ayat aktif transitif)

2. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri ketiga (termasuk pelaku = kata nama khas dan kata nama am).
Kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerjapasif ‘di-’
Contoh:
Motosikal itu telah ditunggang oleh Rahim kelmarin. (√)
Motosikal itu telah Rahim tunggang kelmarin. (X)


Kerusi dan meja itu sudah disusun oleh murid kelas 3A pagi tadi. (√)
Kerusi dan meja itu sudah murid kelas 3A susun pagi tadi. (X)

Susunan Ayat Songsang

SUSUNAN AYAT SONGSANG
Susunan biasa ayat dalam bahasa Melayu ialah subjek + predikat. Ayat songsang pula terbentuk daripada proses transformasi ayat biasa. (subjek + predikat) . Penyongsangan dapat dilakukan melalui proses pendepanan bertujuan memberikan penegasan kepada predikat.
Pendepanan seluruh predikat.
Cikgu Hanif / berfikiran kreatif. (susunan biasa)
Berfikiran kreatif / Cikgu Hanif. (susunan songsang)

Proses pendepanan berlaku juga pada ayat yang mengandungi kata penegas. (-lah, -tah, dan –kah)
Ibu saya / dia. (susunan biasa – ibu saya sebagai subjek)
Dialah / ibu saya. (susunan songsang)
Dia / ibu saya. (X = dari segi susunan ayat songsang. Ayat ini gramatis dalam ayat susunan biasa tetapi subjeknya ‘Dia’)

Pendepanan sebahagian daripada predikat.
(a) Pendepanan Frasa Kerja
i. Pendepanan kata kerja:
Ramli bekerja setiap hari. (susunan biasa)
Bekerja setiap hari Ramli. (susunan songsang)
ii. Pendepanan frasa kerja dengan objek.
Zaleha membaca buku. (susunan biasa)
Membaca buku Zaleha. (susunan songsang)
iii. Pendepanan kata kerja dengan kata bantu.
Murid-murid itu masih makan. (susunan biasa)
Masih makan murid-murid itu. (susunan songsang)

b) Pendepanan Frasa Adjektif
i. Pendepanan kata adjektif sahaja.
Ramli rajin. (susunan biasa)
Rajin Ramli. (susunan songsang)
ii. Pendepanan kata adjektif dengan kata bantu.
Rumah Kak Zue masih teguh. (susunan biasa)
Masih teguh rumah Kak Zue. (susunan songsang)
iii. Pendepanan kata adjektif dengan kata penguat.
Encik Zaidi sangat segak. (susunan biasa)
Sangat segak Encik Zaidi. (susunan songsang)
iv. Pendepanan kata adjektif, kata bantu dengan kata penguat
Haji Nasser masih segak amat. (susunan biasa)
Masih segak amat haji Nasser. (susunan songsang)

c) Pendepanan Frasa Sendi Nama
i. Frasa sendi nama sebagai predikat.
Rantai emas itu untuk ibu. (susunan biasa)
Untuk ibu rantai emas itu. (susunan songsang)
ii. Frasa sendi nama sebagai keterangan dalam predikat.
Penonton-penonton merempuh masuk ke dalam dewan. (susunan biasa)
Ke dalam dewan penonton-penonton merempuh masuk. (susunan songsang)