Wednesday, October 26, 2011

Cara-cara Menghargai Jasa Guru



Guru ialah insan mulia yang mengajar dan mendidik kita tanpa mengira masa , tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat lilin yang membakar diri demi memberikan didikan terbaik kepada pelajar. Tanpa usaha dan pengorbanan guru tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang Lantaran itu, sewajarnya kita menghargai guru jasa dan pengorbanan para guru.

Budi bahasa dan adab sopan amalan yang mulia. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa bermuka manis sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberi salam ketika berhadapan atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru menjalankan tugasnya. Mereka sewajarnya memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu menjaga tata susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.

Selain itu, berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga cara menghargai jasa d guru. Antara ciri-ciri pelajar berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang. Peribahasa “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”,membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru.

Di samping itu, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru adalah amalan yang mulia. Para guru akan merasakan bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai seorang tenaga pengajar lagi. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada hari ini juga,kita boleh memberikan hadiah kepada guru yang mengajar kita sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Barang yang murah akan menjadi tanda mata yang sangat berharga jika pemberian tersebut dengan hati penuh ikhlas. Jika tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari guru sudah cukup bermakna buat para guru.

Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Misalnya guru mungkin ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya. Sebagai murid, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit peha kanan peha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan sebagai tanda kita bersimpati terhadap mereka. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Jelaslah bahawa frasa ‘guru, jasamu dikenang, budimu disanjung’ bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.

Selain itu,kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik kita dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa.

Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seseorang guru itu sukar untuk dibalas walau dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita perolehi daripadanya mendapat keberkatan daripada tuhan. Renungilah bait puisi di bawah.
Guru,
kau ibarat dian yang membakar diri
melahirkan insan yang lestari
tanpa mengira waktu dan hari
segala ilmu dicurah dan diberi
kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.

18 comments:

  1. Terdapat beberapa kesalahan ejaan dan tatabahasa, perlu diperbaiki.

    ReplyDelete
  2. man i'm only sitting for UPSR not SPM

    ReplyDelete
  3. krgn yg bijakkk!

    ReplyDelete
  4. terima kasih, sy gunakn karangan ini untk exam besok!...

    ReplyDelete
    Replies
    1. me too .. i have to sit for mid-year exam tmr and i'll use this essay :)

      Delete
  5. terima kasih banyak-banyak~
    saya akan terus berusaha dalam menghargai jasa guru saya.

    ReplyDelete
  6. This is nice, I like it and it is very usefull. Thanks a million :-)

    ReplyDelete
  7. thanks, semoga dapat di manfaatkan bersama....

    ReplyDelete
  8. hrp2 krngn nie msuk esok..

    ReplyDelete
  9. thanks for doing my homework

    ReplyDelete
  10. hrp nie yg kluar..

    ReplyDelete
  11. Panjang giler..lenguh tgn mnyalin..tapi ada salah ejaan.

    ReplyDelete