Monday, October 30, 2023

KEPENTINGAN GOTONG-ROYONG

 



Gotong-royong merupakan amalan saling menolong atau kerja bersama-sama tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Masyarakat Malaysia pada hari ini semakin kurang mengamalkan gotong-royong kerana mereka lebih suka duduk di dalam rumah sendiri sambil menonton rancangan televisyen atau bermain permainan komputer. Seotong-royong ini. Sebenarnya, amalan  bergotong-royong telah banyak membawa kebaikan kepada kita.

Kebaikan amalan gotong royong adalah sebagai wahana perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Masyarakat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan latar belakang. Melalui aktiviti gotong-royong, kita dapat memahami dan menghormati adat istiadat kaum lain tanpa menimbulkan rasa waswas dan curiga. Kesannya , hubungan erat dapat diwujudkan dan memupuk semangat kerjasama bagai aur dengan tebing dalam kalangan masyarakat.

Selain itu,  amalan gotong royong dapat membersihkan kawasan tempat tinggal daripada vektor penyakit seperti nyamuk dan lalat. Kadar penyakit seperti demam denggi dapat diturunkan apabila kawasan pembiakan nyamuk dihapuskan melalui aktiviti gotong-royong ini. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa Melayu, mencegah lebih baik daripada mengubati.  Di samping itu, persekitaran yang bersih dan ceria dapat diwujudkan melalui aktiviti gotong-royong ini.

Kesimpulannya, aktiviti gotong-royong sangat bermanfaat bukan sahaja kepada masyarakat malah kepada negara. Amalan ini akan membantu kita untuk hidup dalam keadaaan sejahtera, harmoni dan saling bekerjasama sesuai dengan slogan negara bersih, rakyat sihat.


Sunday, October 29, 2023

NOVEL : PERISTIWA YANG MENGGAMBARKAN KEPRIHATINAN

Novel Di Sebalik Dinara

1. Peristiwa Azraai sangat mengambil berat perihal keselamatan adiknya sehingga sanggup memasang 'retinal scanner' dan interkom yang bersambung ke rumahnya. 

Peristiwa ini menggambarkan keprihatinan abang terhadap adiknya dalam usaha melindungi orang yang disayangi. 

2. Peristiwa Farisha risau apabila Azrai baru memberitahunya mengenai penyakit yang dihidapi abangnya sedangkan doktor telah mengesahkannya pada bulan lepas.

Peristiwa ini menggambarkan keprihatinan adik terhadap kesihatan abangnya.

3. Peristiwa Shida sanggup menghantar Farisha ke stesen monorel untuk menghadiri simposium di hotel Renaissance pada pukul 9.00 pagi.

Peristiwa ini menggambarkan keprihatinan seorang sahabat sehingga sanggup mengorbankan masa tidurnya.

4. Peristiwa Aqram menegur seorang wanita yang sedang asyik berbual di telefon dengan suara yang kuat dan mengganggu orang lain sewaktu urusan daftar masuk di kaunter lapangan terbang.

Peristiwa ini menggambarkan keprihatinan seseorang terhadap keselesaan orang ramai di tempat awam.

5. Peristiwa Shida dan Rosman melawat Farisha yang kelihatan lemah di hospital Putrajaya kerana Farisha tiba-tiba pengsan semasa bekerja.

Peristiwa ini menggambarkan keprihatinan rakan sekerja terhadap rakan sejawat yang ditimpa musibah.

Novel Silir Daksina

1. Peristiwa Haikal menyelami penderitaan ayahnya setelah membaca manuskrip yang ditulis oleh ayahnya. 

Peristiwa ini menggambarkan keprihatinan seorang anak terhadap kehidupan ayahnya yang telah terpisah sekian lama. 

2. Peristiwa Walid memujuk Haikal dan merestui keputusan Haikal untuk menjejaki peninggalan arwah ayahnya. Walid berjanji memberi wang perbelanjaan untuk Haikal apabila tinggal di sana nanti. 

Peristiwa ini menggambarkan keprihatinan seorang ayah terhadap anaknya walaupun hanya anak tirinya. 

3. Peristiwa ketika hari persembahan, Lazim telah ditimpa kemalangan dan Ong See Hwa yang menggantikan tempatnya. Haiqal menari berpasangan dengan Ong See Hwa menggantikan tempat Lazim. 

Peristiwa ini menggambarkan keprihatinan rakan/sahabat ketika kawan menghadapi musibah. 

4. Peristiwa Cikgu Amirulnizam menumpangkan Ai Ling/Ong See Hwa ke sekolah kerana bateri kereta ayahnya lemah dan kereta tidak dapat dihidupkan. 

Peristiwa ini menggambarkan keprihatinan sebagai jiran tetangga. 

5. Peristiwa Cikgu Zam/Amirulnizam meminta Ai Ling/ Ong See Hwa datang ke rumahnya bersama-sama kakaknya untuk belajar cara mendeklamasikan puisi. 

Peristiwa ini menggambarkan keprihatinan seorang guru dalam mendidik anak muridnya.

Monday, October 23, 2023

NOVEL : PERISTIWA YANG MENUNJUKKAN KEPENTINGAN ILMU

Peristiwa yang menunjukkan kepentingan ilmu pengetahuan Novel Di sebalik Dinara, karya Dayang Noor

1. Peristiwa Farisha menggunakan ilmu pengetahuannya dalam menguruskan syarikatnya bersama Rosman iaitu Secured Shell. 

Huraian : Peristiwa ini menunjukkan ilmu pengetahuan dapat membantu seseorang mengurus pekerjaan dengan baik.

2. Peristiwa Farisha menghadiri sebuah simposium di Hotel Renaissance yang diundang oleh Aqram kerana berminat untuk mendengar ucapan Philips Young dan dia juga ingin meningkatkan ilmu pengetahuannya berkaitan keselamatan komputer. 

Huraian : Peristiwa ini dapat diteladani kerana kita perlu sentiasa berusaha untuk menambahkan ilmu pengetahuan. 

3. Peristiwa Azraai memasang pengimbas retina di apartmen adiknya, Farisha bagi memastikan keselamatan Farisha terjamin memandangkan kejadian pembunuhan berlaku di persekitaran kediaman adiknya itu. 

Huraian : Peristiwa ini menunjukkan bahawa kepentingan ilmu teknologi maklumat dalam membantu kita mendapatkan cara menyelesaikan isu keselamatan. 

4. Peristiwa Karl berusaha untuk memajukan diri hingga mendapat pengiktirafan dengan memenangi anugerah inovasi peringkat kebangsaan 

Huraian : Peristiwa ini menunjukkan ilmu pengetahuan penting untuk memajukan diri sendiri dalam bidang yang diminati. 

Novel Silir Daksina, karya Nizar Parman 

1. Peristiwa Haikal menerima tawaran melanjutkan pelajaran di Bumi Kenyalang untuk meningkatkan ilmu pengetahuannya dalam mencapai cita-cita.

Huraian : Peristiwa ini menunjukkan kesanggupan seseorang merantau ke tempat lain untuk menuntut ilmu demi menjamin masa depan.

2. Peristiwa Haikal yang menuntut ilmu pengetahuan tentang tarian zapin bersama-sama ahli kumpulan zapin D’Purnama demi mempopularkan tarian tersebut semula di Kampung Sri Purnama.

Huraian : Peristiwa ini menunjukkan kepentingan ilmu pengetahuan dalam mengekalkan budaya warisan yang kian pupus.

3. Peristiwa Rafiqah (umi Haikal) yang memiliki ilmu perniagaan dan mengusahakan perniagaan batik untuk menyara keluarganya.

Huraian : Peristiwa ini menunjukkan kepentingan ilmu pengetahuan dalam menjalankan sesuatu perniagaan.

4. Peristiwa Tauke Ong yang sanggup menoreh getah pada waktu pagi dan meraih hasil tanaman untuk dijual pada waktu petang demi mengumpul wang untuk pendidikan anakanaknya supaya anak-anaknya dapat mengecapi kehidupan yang lebih baik lagi.

Huraian : Peristiwa ini menunjukkan kepentingan ilmu pengetahuan dalam mengubah taraf kehidupan keluarga

Friday, October 20, 2023

PERHIMPUNAN MINGGUAN SEKOLAH

 


Tema : Perhimpunan mingguan sekolah
Kehendak : faedah perhimpuan mingguan sekolah
Format karangan : tidak berformat

Perhimpunan rasmi merupakan salah satu aktiviti yang lazimnya diadakan pada pagi setiap hari Ahad dengan menghimpun semua murid dan guru-guru di sesuatu tempat.  Perhimpunan rasmi merupakan agenda pendidikan yang wajib  diadakan di setiap sekolah supaya maklumat yang penting dapat disampaikan kepada murid-murid oleh pihak sekolah. Namun demikian, perhimpunan rasmi sekolah sering dipandang remeh oleh para murid. Sebenarnya, terdapat banyak manfaat menghadiri perhimpunan sekolah.

Manfaat perhimpunan mingguan adalah dapat memupuk disiplin dalam kalangan murid. Hal ini dikatakan demikian kerana murid harus mengikut peraturan yang ditetapkan semasa perhimpunan.  Sebagai contoh, murid dididik supaya menghormati majlis yang diadakan dengan berada di tempat masing-masing mengikut barisan dan menjaga tingkah laku.. Tegaslah, perhimpunan rasmi akan membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kokurikulum seterusnya meningkatkan kemenjadian murid.

Seterusnya, semangat patriotik dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat disuburkan dalam diri para murid dan guru-guru dengan adanya perhimpunan rasmi di sekolah. Nyanyian lagu Negaraku akan membakar semangat mereka untuk menjaga negara yang tercinta.  Sebagai contoh, sambutan Bulan Kemerdekaan yang biasanya dirasmikan semasa perhimpunan rasmi juga akan menyebabkan para murid menghargai jasa tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk negara. Teranglah, perhimpunan rasmi sekolah amat penting bagi melahirkan modul insan berjiwa patriotik pada masa hadapan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

       Sebagai kesimpulannya, pelbagai manfaat dapat diperoleh oleh warga sekolah menerusi perhimpunan rasmi sekolah. Sejajar dengan hal ini,  Kementerian Pendidikan Malaysia perlulah memastikan perhimpunan rasmi diadakan secara berterusan dan mematuhi tempoh masa yang ditetapkan. Kehadiran murid yang lewat ke sekolah juga dapat dikurangkan. Pihak sekolah pula mesti memastikan perhimpunan rasmi dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga sekolah.


Wednesday, October 18, 2023

BAHASA MELAYU KSSM

BAHASA MELAYU SPM (KSSM)

Makluman kepada semua pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula pada tahun 2021. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan format baharu bagi setiap mata pelajaran bermula pada peperiksaan SPM tahun 2021. Berikut adalah format kertas Bahasa Melayu SPM Terkini bagi kertas 1, 2, 3 dan 4 dengan kod mata pelajaran 1103 untuk panduan semua.

Mata Pelajaran Bahasa Melayu merupakan subjek teras dalam peperiksaan SPM. Calon perlu sekurang-kurangnya lulus subjek ini bagi melepasi syarat untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Format baharu ini diperkenalkan selaras dengan pengenalan pakej mata pelajaran baru yang diaplikasikan kepada pelajar Tingkatan Empat pada tahun 2020.