Thursday, October 27, 2011

Latihan Pemahaman : Pungut



Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Mak Timah yang sedang sakit, terpaksa membersihkannya. Dengan termengah-mengah, Mak Timah menguruskan juga tugasnya menjaga dia yang tidak dapat bertindak apa-apa. Jika tidak dibersihkan akan sehari suntuklah dia dalam kekotoran. Sehari suntuklah dia akan berendam dengan air kencing, bergelumang dengan najisnya sendiri. Kadang-kadang Mak Timah hairan memikirkan nasib dia. Mak Timah memberi nama gelarannya Pungut. Nama sebenarnya ialah Zahara, manakala nama asalnya ialah Yap Siew Hong. Mak Timah hairan memikirkan keadaan bentuk fizikal Pungut. Sangat kecil, sangat halus. Menurut doktor, semasa Pungut masih bayi dahulu, Pungut hanya boleh hidup dalam jangka masa satu atau dua tahun. Pungut tidak boleh hidup lama, kata doktor, kerana seluruh organ dalam tubuhnya amat halus dan kecil. Jantungnya kecil, tetapi kuasa Tuhan, doktor bukan Tuhan, ramalan doktor salah. Kini Pungut telah berusia dua puluh empat tahun. Tuhan berkuasa atas segala-galanya. Pungut tidak mati-mati. Mak Timah hairan, orang yang sihat, orang kaya, semuanya mati. Tetapi Pungut tidak juga mati-mati.
“Mungkin Tuhan nak uji kesabaran aku, menjaga dia,” fikir Mak Timah.
“Mungkin Tuhan nak banyakkan dosa aku,” fikir Mak Timah lagi.
Pungut telah dimandikan. Kini tiba masa untuk memberinya makan. Semasa menyuapkan Pungut, Mak Timah terbayangkan kisah yang berlaku dua puluh empat tahun yang lalu.
(Dipetik daripada
Cerpen ‘Pungut Alias Zahara Alias Yap Siew Hong’
Oleh Mohamed Latiff Mohamed
Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

Soalan
i. Berikan maksud sehari suntuklah dia dalam kekotoran. (2 m)
ii. Gambarkan keadaan diri Pungut semasa kecil. (3m)
iii. Huraikan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan dan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam cerpen.(4 m)

***Soalan KBKK ***(Terima kasih munsyibm)

Pada pendapat anda, apakah keistimewaan-keistimewaan yang boleh disediakan kepada golongan orang kurang upaya. [3 markah]


Jawapan

i. Maksud sehari suntuklah dia dalam kekotoran ialah sepanjang hari Pungut tidak dibersihkan daripada najisnya sendiri.

ii. Keadaan Pungut semasa kecil ialah mempunyai bentuk fizikal Pungut sangat kecil dan sangat halus. Seluruh organ dalam tubuhnya amat halus dan kecil.Jantung danpe rutnya kecil

iii. Dua nilai kemanusiaan daripada petikan ialah nilai nilai kasih sayang.
Contohnya Mak Timah yang sedang sakit, terpaksa membersihkan Pungut. Dengan termengah-mengah, Mak Timah menguruskan juga tugasnya menjaga dia yang tidak dapat bertindak apa-apa.
Nilai lain ialah nilai bertanggungjawab.
Contohnya walaupun Mak Timah sakit tetapi dia tetap menjaga Pungut

Jawapan Soalan KBKK :
Keistimewaan kepada OKU;

Menyediakan laluan khas

Menyediakan tempat duduk khas di dalam kenderaan awam

Kemudahan tempat letak kereta khas

Kemudahan tandas OKU

Pekerjaan yang sesuai.

Potongan harga untuk semua urusan perkhidmatan


1 comment:

  1. Tahniah kerana memuat naik soalan pemahaman KOMSAS dalam blog cikgu. Walau bagaimanapun untuk soalan yang baik seperti prosa moden seharusnya terdiri daripada:
    (a) soalan pemahaman berdasarkan teks (sama ada mengemukakan soalan menanyakan maksud rangkai kata atau soalan pemahaman berdasarkan teks)
    (b) soalan KBKK
    (c) Kemukakan satu nilai kemanusiaan sahaja bagi soalan berdasarkan petikan dan petikan keseluruhan bagi membolehkan pelajar mendapat 4 markah seperti yang diperuntukkan.
    Bagi tujuan latih tubi soalan tersebut boleh diguna pakai tetapi untuk mendedahkan bentuk soalan sebenar SPM, ikuti bentuk soalan yang dinyatakan di atas. Sekadar berkongsi pengalaman je..Harap maklum.

    ReplyDelete