Thursday, October 27, 2011

Cabaran Yang Dihadapi Oleh Watak Utama Dalam Novel yang Anda Kaji

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan cabaran yang ditempuhi oleh watak utama. (7 markah)

Skema Jawapan :
NOVEL KABUS DI PERBUKITAN TINGKATAN LIMA

i. Cabaran berpisah dengan ahli keluarga.
Setelah ibu bapanya bercerai, Faridah terpaksa berpisah dengan adik kembarnya Rahayu. Faridah dipelihara oleh ibu kandungnya manakala Rahayu mengikut ayahnya dan ibu tirinya, Hamidah.

ii. Cabaran menghadapi kehilangan orang tersayang
Faridah kehilangan adik kembarnya, Rahayu akibat penyakit kanser, selang beberapa tahun dia kehilangan ibunya akibat terlalu merindui arwah Rahayu. Akhirnya, suaminya Ghazali turut meninggal dunia akibat ditimpa kemalangan.

iii. Cabaran hidup seorang diri di bumi asing
Setelah kematian Rahayu, ibunya Salmah dan suaminya Ghazali, Faridah meneruskan hidup bersendirian. Selepas itu, dia membawa diri ke New Zealand kerana mengikuti Kursus ‘Comunitty Services for Disable People’ selama enam bulan. Faridah terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di bumi asing.

iv. Cabaran putus tunang
Faridah terpaksa menerima hakikat, Azman telah memutuskan pertunangan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa sebab. Hasrat Faridah untuk bertemu dengan Azman bagi mendapatkan penjelasan tidak kesampaian kerana dia ditimpa kemalangan.


NOVEL MELUNAS RINDU TINGKATAN EMPAT:

Cabaran watak utama:

i. Cabaran sebagai saudara baru
Sebagai saudara baru, Fuad gigih mendalami ilmu agama dan belajar mengaji dengan Pak Ismail. Selain itu, Fuad sentiasa menunaikan solat secara berjemaah walaupun dalam keadaan sibuk. Contohnya, Fuad bergegas ke surau untuk menunaikan solat Isyak secara berjemaah walaupun terlewat pulang kerana mencari kayu api di hutan.

ii. Cabaran mencari ibu kandungnya
Fuad gigih berusaha mencari saudara mara sebelah ibunya di Lembah Klau untuk mengesan pusara ibunya. Dengan bantuan Pak Ngah Lias dan Pak Samsudin, Fuad mendapat petunjuk bahawa ibunya masih hidup kerana pusaranya tidak ditemui sehingga kini. Fuad gigih meneruskan usaha mencari ibu kandungnya walaupun terpaksa meminta bantuan daripada ayahnya, Robert Lim.

iii. Cabaran menghadapi kebencian ibu angkat.
Fuad tabah menghadapi sikap Mak Salmah yang membencinya kerana dia dikatakan punca kematian Sofia. Sejak peristiwa itu, Mak Salmah bersikap dingin terhadap Fuad, dia enggan makan semeja dengan Fuad walaupun tinggal serumah. Fuad tetap bersabar menghadapi kemarahan Mak Salmah sehinggalah Mak Salmah memaafkannya.

iv. Cabaran berpisah dengan orang tersayang
Fuad menghadapi cabaran kerana terpaksa menerima hakikat gadis yang dicintainya, Farhana merupakan adik kandungnya.

v. Cabaran dalam kerjaya
Fuad menghadapi cabaran untuk meningkatkan prestasi pencapaian bahasa Inggeris dalam kalangan anak didiknya. Sebagai contoh, Fuad dan Farhana telah merancang ‘Program mentor-mentee’ dan ‘English Personal Guidance’ untuk mendidik anak muridnya agar mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

1 comment:

  1. Terima kasih...penulisan puan sangat membantu.

    ReplyDelete