Tuesday, June 23, 2015

Terdapat sebilangan remaja yang menghabiskan masa lapang mereka dengan melepak dan 
merempit.
Sebahagian remja pula terjebak dalam gejala sosial seperti menagih  dadah dan pergaulan bebas.
Huraikan langkah – langkah untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja.



JAWAPAN CONTOH :
                Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap penjuru dunia tentang masalah sosial dalam kalangan remaja seperti merempit, melepak , penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan sebagainya. Umum mengetahui bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Seandainya kita terus leka dan memandang remeh terhadap isu ini pasti usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 pasti akan menjadi omomg kosong sahaja. Persoalannya mengapakah masalah sedemikian berlaku? Siapakah yang harus dipersalahkan? Tiada prnyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh diatasi hingga ke akar umbi.

             Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa, antara tindakan yang boleh diambil untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja ialah melalui peranan ibu bapa dan keluarga. Hal ini demikian kerana kita sedia maklum bahawa kebanyakan masa para remaja banyak dihabiskan di rumah terutamanya sewaktu cuti persekolahan. Ibu bapa sewajarnya memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak remaja. Sebagai analoginya ibu bapa hendaklah bertanya kepada anak-anak remaja tentang permasalahan yang dihadapi dan berusaha untuk membantu mereka menyelesaikannya atau dengan kata lain ibu bapa adalah pakar rujuk kepada anak – anak semasa di rumah. Hal ini menyebabkan anak – anak akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi oleh ibu bapa mereka. Bak kata mutiara anak adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Tegaslah,perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa amat penting dalam usaha menangani masalah sosial dalam kalangan remaja.

             Sesungguhnya, selain ibu bapa, pihak masyarakat dan pemimpin setempat juga perlu memainkan peranan yang signifikan dalam menangani masalah ini. Hal ini tercetus kerana para remaja merupakan ahli kepada masyarakat setempat yang perlu diberikan perhatian. Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa jika masyarakat mendapati terdapat remaja yang melakukan perbuatan negatif, mereka mestilah menegur dan memberi nasihat secara berhemah. Dengan kata lain, pihak masyarakat setempat perlu menjadi mata dan telinga dalam membentuk tingkah laku remaja. Contoh yang ketara paling dekat dengan kita ialah masalah vandalisme. Justifikasinya, sekiranya masalah ini berlaku, masyarakat boleh menegur para remaja yang melakukan masalah tersebut dengan berhemah dengan harapan remaja akan lembut hati dan makan nasihat. Bertepatanlah dengan kata-kata mutiara iaitu tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati. Dengan keadaan sedemikian sekiranya masyarakat setempat sentiasa ambil cakna terhadap permasalahan remaja, masalah ini akan dapat diatasi.

              Umum mengetahui bahawa antara langkah yang pragmatik untuk menangani masalah sosial  dalam kalangan remaja ialah peranan pihak media massa. Dalam konteks ini, media massa perlu memainkan peranan yang berkesan dalam mempengaruhi hati dan minda para remaja. Media massa  seperti televisyen, radio,Internet ataupun media cetak yang merupakan perantara yang paling dekat dengan jiwa remaja perlu menyiarkan program – program yang boleh memberi kesedaran kepada remaja terutama dalam usaha remaja mencari jati diri mereka. Misalnya program seperti Rancangan realiti Imam Muda atau Ustazah Pilihan amat berguna kepada remaja kerana melalui program ini terdapat info yang amat berguna untuk remaja.Oleh hal yang demikian pemilihan progam yang berkualiti dapat memberi banyak faedah dan pihak media massa sewajarnya tidak menjadikan remaja sebagai alat untuk mengaut keuntungan semata – mata tetapi menjadi wadah penting untuk menjana remaja yang berwawasan.Yang pasti, masalah sosial dalam kalangan pelajar akan dapat diatasi sekiranya pihak media massa sama- sama bahu - membahu memainkan peranan dan tidak hanya memikirkan keuntungan sahaja.

             Tidak dapat dinafikan dari perspektif yang lain, pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai autoriti dalam negara kerana mempunyai kuasa sumber kewangan dan boleh menggubal undang – undang. Beberapa program untuk remaja perlu dirangka dan dilaksanakan secara berterusan agar segala nilai – nilai murni yang cuba diterapkan melalui program ini akan diamalkan oleh para remaja. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN ) yang telah dianjurkan oleh kerajaan adalah satu program yang baik kepada remaja. Hal ini demikian kerana melalui program ini, remaja akan mempunyai jati diri, nilai moral yang tinggi dan taat kepada agama, bangsa dan negara. Pujangga ada berkata, Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara. Oleh itu, remaja yang dilahirkan ialah remaja yang boleh menjadi modal insan yang berguna untuk membangunkan negara pada masa akan datang. 

             Namun demikian, satu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah, antara langkah menangani masalah sosial dalam kalangan remaja ialah peranan agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan. Kementerian Belia dan Sukan adalah antara agensi yang aktif menjalankan pelbagai program untuk menarik minat para remaja. Kementeria Belia dan Sukan bertanggungjawab menjadikan remaja  dan belia di Malaysia berkualiti dan seterusnya berjaya menjana kemajuan negara.Tamsilnya, Program Rakan Muda merupakan antara program yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.Jelaslah bahawa melalui program ini remaja telah dibentuk agar mempunyai jati diri dan sahsiah yang terpuji sesuai dengan pembentukan modal insan kelas pertama kerana remajalah yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara. Nyatalah sekiranya pihak Kementerian Belia dan Sukan aktif menjalankan pelbagai program yang berguna untuk remaja, nescaya remaja akan terhindar daripada anasir-anasir yang negatif.

             Demi merealisasikan kemajuan negara, marilah kita bersama – sama ibarat kebukit sama didaki kelurah sama dituruni berusaha untuk mengatasi masalah yang beronal dalam kalangan remaja kita. Jika tidak kita akan dipandang rendah oleh negara lain. Semoga kita akan dapat melahirkan remaja yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Negara amat mengharapkan remaja yang berkualiti dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Namun begitu bak kata peribahasa, tepuk dada tanya selera.                                                                                                                                                                                                                             

Saturday, September 6, 2014

Keberkatan Ramadan

Bagai tetamu yang istimewa, Ramadan mengunjungi kita lagi dengan membawa perkhabaran dan jaminan yang istimewa lagi bermakna daripada Ilahi.  Jaminan bahawa sesiapa sahaja di kalangan hamba-hamba Allah s.w.t. yang melaksanakan segala bentuk ibadah  dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan memperoleh keampunan, keredaan serta rahmat-Nya.  Ramadan juga membawa nilai penting yang berkemungkinan jarang-jarang disedari oleh kebanyakan kita.  Bahawa ia menjelmakan detik waktu yang amat bernilai dan tiada tolok bandingnya berbanding dengan masa atau waktu-waktu yang lain.  Justeru keistimewaannya inilah maka telah menjadi tradisi bagi sahabat-sahabat untuk saling mengucapkan tahniah sebaik sahaja Ramadan menjelma.
Hari ini, ke mana sahaja melangkah pasti kita akan mendengar bicara tentang kemuliaan Ramadan; bulan yang diturunkan al-Qur'an padanya, bulan berlakunya peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam, bulan terbukanya pintu kebaikan dan kesejahteraan bagi mereka yang mencari keredaan Ilahi selain bulan tertutupnya pintu kejahatan bagi mereka yang takut akan kemurkaan-Nya.  Bicara itu, biar sebanyak mana atau sekerap mana berulang tidak akan bermakna selagi kita tidak dapat merungkai persoalan; di manakah kita berada setiap kali Ramadan datang mengunjungi. Adakah kita sama sahaja saban tahun setiap kali Ramadan datang dan berlalu pergi? 
Adakah kita sekadar berpuasa; menahan lapar dan dahaga, berbuka dan bersahur; semuanya hanya sebagai menepati piawai asas seorang Muslim?  Atau lebih malang lagi, kita berpuasa semata-mata untuk berbuka dengan menikmati hidangan secara keterlaluan bagi memenuhi nafsu, membiarkan setiap detik Ramadan yang dilimpahi rahmat Ilahi berlalu begitu sahaja dan menjadi manusia yang kerugian kerana tidak memperoleh sebarang manfaat atau keberkatan meskipun diberikan peluang untuk berada dalam bulan yang amat istimewa ini.  Berhubung dengan tabiat atau sikap menikmati hidangan berbuka secara berlebih-lebihan dan membazir, umum mengetahui bahawa ia amat dilarang dan bertentangan sama sekali dengan nilai kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam.  Oleh yang demikian, amatlah memalukan bagi sesiapa sahaja yang tidak berasa bersalah jika sifat ini merupakan tabiat dirinya saban waktu berbuka atau juga bagi sesiapa yang menggalakkan amalan ini bahkan pula mengambil keuntungan atas amalan buruk ini.
Larangan membazir dan berboros dalam makanan serta minuman ditegaskan dalam ayat 31, Surah al-A`raaf.  Ahmad Mustafa al-Maraghiy dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Maraghiy menegaskan bahawa makanan serta minuman termasuk perkara asas dalam kehidupan, namun terdapat dua kelompok yang hilang pedoman dalam kedua-dua perkara ini.  Mereka ialah orang yang bakhil dan orang yang keterlaluan dalam beragama.  Mereka tidak mahu makan dan minum daripada rezeki yang baik dan enak, sama ada disebabkan oleh perasaan bakhil dan kikir atau sanggup menyusahkan diri sendiri dan ingin menjauhkan diri daripada dosa untuk selama-lamanya atau hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja dalam setahun.  Kedua ialah orang mewah yang berlebih-lebihan dalam menikmati kelazatan jasad dan menjadikannya sebagai asas segala tumpuannya. Mereka makan, minum dan berseoronok sebagaimana yang dilakukan oleh haiwan ternakan.  Mereka tidak memiliki batasan atau sempadan yang dapat memberhentikan mereka daripada makan dan minum.
Bagi memastikan bahawa kita dapat memanfaatkan setiap detik Ramadan dengan sebaik-baiknya maka kita digalakkan supaya berdoa agar dikurniai kesihatan serta kekuatan jasmani selain semangat bagi benar-benar menghayati Ramadan.  Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi daripada Talhah ibn `Ubaidillah r.a. bahawa apabila Nabi s.a.w. melihat bulan sabit, maka Baginda mengucapkan, "Wahai Allah, keluarkanlah bulan sabit itu dengan penuh keberkatan dan keimanan, keselamatan serta kesejahteraan.  Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah.  Inilah bulan sabit yang membawa petunjuk dan kebaikan." 
Kesihatan yang baik dan jasmani yang kuat akan dapat memastikan kita dapat melaksanakan bukan sahaja ibadah puasa, tanggungjawab dan tugas hakiki bahkan juga amalan-amalan sunat dengan penuh khusyuk, kesungguhan dan ketekunan.  Seperkara yang juga perlu diberikan perhatian ialah pada bulan Ramadan inilah kita dapat membiasakan diri dengan disiplin yang tinggi, iaitu mengatur waktu dan membahagikan tugas dengan kaedah yang amat berkesan lagi bijak.  Misalnya kita mengatur jadual harian dengan menjalankan pelbagai kegiatan dan tanggungjawab serta memastikan kita dapat melaksanakan ibadah yang digalakkan seperti membaca al-Qur'an dan solat-solat sunat di sela-sela waktu yang ada. Dengan kata-kata lain, kita dapat memastikan setiap detik yang berlalu diisi sebaik-baiknya sehingga akhirnya pada setiap saat, kita berjaya melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah s.w.t. dan juga terhadap sesama manusia dengan amat berjaya.
Hakikatnya, penyucian jiwa dan nurani melalui pelbagai bentuk ibadah inilah yang akan membolehkan kita mencapai tujuan dan matlamat berpuasa, iaitu bertaqwa kepada Allah s.w.t.  Ketaqwaan ini yang menjadi asas kejayaan hidup insan sebagaimana dimaklumi, dapat membentuk akhlak, jiwa dan keperibadian yang terpuji seperti saling mengasihi sesama insan, lebih-lebih lagi antara sesama Muslim selain juga sentiasa berlapang dada dan mudah memaafkan kesilapan orang lain, biar sebesar mana sekalipun kesalahan tersebut.  Inilah antara hasil tarbiyah Ramadan yang mungkin kurang disedari kesannya terhadap suasana perhubungan dalam masyarakat. Sifat mudah memaafkan, berfikiran positif dan memiliki kecenderungan untuk mengatasi masalah yang rumit lagi sukar melalui perbincangan dan tindakan bersemuka secara berhikmahlah sebenarnya yang menjadi salah satu asas penting dalam usaha menangani masalah yang timbul sama ada dalam sesuatu hubungan, sesebuah organisasi, masyarakat dan juga negara.
Dengan peluang yang masih ada seharusnya kita berusaha mendapatkan limpahan keberkatan Ramadan melalui apa jua cara termasuklah dengan bersahur, yang dianggap kecil atau remeh oleh segelintir kita.  Ketahuilah bahawa bersahur membezakan ibadah puasa kita dengan ibadah puasa bangsa yang lain, khususnya Ahl al-Kitab selain berperanan memberikan kekuatan kepada tubuh untuk kita menjalani ibadah puasa sepanjang hari. Laporan Yedioth Ahronoth, salah sebuah akhbar Israel pada 2 Oktober yang lalu membuktikan betapa berbezanya ibadah puasa umat Islam dengan puasa agama lain, termasuklah kaum Yahudi.  Menurut akhbar berkenaan, semasa berpuasa Yom Kippur (salah satu puasa utama kaum Yahudi yang menuntut mereka berpuasa selama 24 jam tanpa makan serta minum), 65 orang telah jatuh pengsan, 12 orang terpaksa disedarkan semula, 195 orang cedera di jalan raya, 98 orang wanita hamil dikejarkan ke hospital sementara lebih 100 orang dewasa kelesuan dan mengalami kesukaran bernafas.  Keseluruhannya, tidak kurang daripada 1,779 orang yang terpaksa mendapatkan rawatan perubatan sepanjang berpuasa Yom Kippur itu.  Ternyata ibadah puasa umat Islam, khususnya Ramadan tidak pernah mencatat keadaan seumpama ini, bahkan ibadah puasa umat Islam menjadikan mereka lebih sihat, cergas dan dapat menghasilkan produktiviti yang tinggi jika ia dilaksanakan dengan mematuhi segala adab, keutamaan dan galakan sebagaimana yang dibimbing oleh Rasulullah s.a.w.  Bahkan ini juga amat berkaitan dengan jaminan yang diberikan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud bahawa Dia mahu agar hamba-hamba-Nya memperoleh kemudahan dan tidak sama sekali menanggung kesukaran (Surah al-Baqarah 2 : 185).

SUMBER : http://www.ikim.gov.my/

Thursday, March 21, 2013

Tiga Amalan Yang Tidak Terputus Setelah Kita Tiada Di Dunia Ini



Dari Abu Hurairah r.a, berkata, Rasulullah saw pernah berkata,

Apabila matinya anak adam, akan terputuslah segala amalannya, kecuali 3 perkara iaitu sedekah amal jariah, anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat, Riwayat Bukhari dan Muslim

Terputusnya segala amalan


Membawa maksud, segala amalan-amalan yang dilakukan oleh di mati, TERPUTUS..Tetapi, amalan di antara yang hidup untuk si mati, tidak terputus.Ini berdasarkan satu hadis, terdapat seorang wanita bertemu Rasulullah dan menyatakan, ibunya telah meninggal dunia tetapi belum sempat mengerjakan haji.Rasulullah berkata, lakukanlah haji untuk ibumu. Oleh itu, si hidup boleh membacakan al-quran untuk si mati, boleh mengerjakan puasa yang belum sempat di ganti untuk si mati, boleh juga mewakafkan harta untuk si mati.


3 Amalan yang berkekalan


1.Sedekah jariah yang dilakukan. Segala bentuk sedekah bahan yang dikeluarkan oleh si mati semasa hayatnya termasuklah sedekah wang,makanan,harta benda dan dalam katogeri ini termasuk juga harta yang di waqafkan oleh si mati semasa hidupnya. Sebagai contoh seseorang itu mendirikan surau untuk kegunaan Masyarakat setempat. Selagi mana surau itu di menfaatkan selagi itulah pahala mengalir untuk si mati. Orang yang hidup atau waris boleh juga bersedekahkan bagi pihak si mati tak kiralah samaada sedekah itu hasil dari wang,harta, peninggalan si mati atau wang waris sendiri.Yang pentingnya ialah niat kita untuk bersedekah bagi pihak si mati. Amalan "waqaf" dalam Islam juga telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk "Kementerian Waqaf "


2. Ilmu yang bermanfaat.


"Ilmu yang berguna atau bermanfaat yang di ajarkan kepada orang lain," yang tersebut dalam hadith ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan ilmu-ilmu kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya,pengajaran kepada murid-muridnya dan orang ramai,atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya.
Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.



3. Anak-anak yang soleh dan solehah



Selain dari doa anak anak yang soleh/solehah terhadap ibu bapanya, doa antara sesama kaum muslimin pun bermanfaat untuk si mati. Ini berdasarkan kepada dalil berikut : Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu”. Al-Hasyr ayat 10.

Mengenai doa anak yang soleh/solehah Insya’Allah doa akan bermanfaat jika anak-anak itu bersolat.Kalau tak solat pasti doa itu tak akan diterima sebab solat itu tiang agama, tidak diterima segala amal kebaikan jika tidak bersolat termasuklah doa. Jadi usahakanlah supaya anak-anak kita terdiri dari golongan orang orang yang mengerjakan solat.