Thursday, August 11, 2011

Panduan menulis jawapan rumusan SPM

Soalan Contoh:
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang keistimewaan bioteknologi dan langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut .Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan”

Jawapan Pengenalan:
(1) Petikan membincangkan keistimewaan bioteknologi di negara kita. [0M]
(2) Petikan ini tentang keistimewaan bioteknologi di negara kita dan langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut. [0M]
(3) Petikan membincangkan kelebihan bioteknologi di negara kita. [2M]
(4) Petikan membincangkan manfaat bioteknologi di negara kita.[2M]
(5) Petikan membincangkan kebaikan bioteknologi di negara kita.[2M]

Jawapan Isi Tersurat:
Keistimewaan bioteknologi ialah petani dapat bercucuk tanam walaupun di kawasan tanah yang tidak subur. Selain itu, bioteknologi dapat membantu petani untuk mengatasi masalah serangga perosak. Seterusnya, bioteknologi dapat menghasilkan padi yang bermutu tinggi. Bioteknologi yang tidak menggunakan racun perosak pula dapat memelihara alam sekitar. Bioteknologi dalam bidang pertanian juga dapat mengatasi masalah rumpai. Bukan itu sahaja, bioteknologi dapat menghasilkan makanan yang berkhasiat dan bervitamin. Di samping itu, bioteknologi dapat menghasilkan insulin untuk pesakit diabetis. Akhir sekali, bioteknologi mampu merawat bahan-bahan buangan bertoksik yang berbahaya.

Jawapan Isi Tersirat:
Satu daripada langkah untuk menggalakkan rakyat menceburi bidang ini ialah pihak kerajaan hendaklah memperbanyak kursus Bioteknologi di universiti. Selain itu, kerajaan hendaklah memberikan anugerah kepada saintis negara yang menghasilkan dapatan bioteknologi yang terbaru.

Jawapan Kesimpulan:
Kesimpulannya, semua pihak hendaklah menyokong bidang bioteknologi supaya bidang ini dapat meningkatkan pembangunan negara.

Kesalahan Bahasa yang sering dilakukan:

Petikan menyatakan tentang kebaikan bioteknologi….[x]
Petikan menyatakan kebaikan bioteknologi….[/]

Salah satu daripada kebaikan bioteknologi..[x]
Salah satu kebaikan bioteknologi..[/]
Satu daripada kebaikan bioteknologi[/]
Satu daripada kebaikannya ialah…[/]

Antara kebaikan-kebaikan bioteknologi ialah…[x]
Antara kebaikan bioteknologi ialah…[/]
Antara kebaikannya ialah …[/]

Selain daripada itu,[x]
Selain itu, ….[/]

Sehubungan itu,[x]
Sehubungan dengan itu, [/]

Elakkan penggunaan perkataan `justeru', `tambahan pula', dan `manakala' dalam penulisan rumusan.Ketiga-tiga perkataan ini ialah kata hubung. Sebenarnya, banyak murid yang menggunakan kata hubung tersebut sebagai penanda wacana tidak tepat.

Tuesday, August 2, 2011

Biarkan Samudera

Karya Raihanah Salleh

SINOPSIS
Mir atau Amirah mengalami tekanan jiwa. Penyakit tersebut menyebabkan Mir tidak berminat terhadap banyak perkara dan sering menyisihkan diri daripada kawan-kawan serta masyarakat. Mir sering bercakap sendirian dan perlakuan peliknya itu telah disedari oleh sahabat baiknya Hakimah. Semuanya berpunca daripada rumahnya yang dahulu yang terletak di tepi pantai sudah dirobohkan untuk dijadikan tempat peranginan. Disebabkan itu, kehidupannya yang lampau hanya tinggal kenangan. Dia sering teringatkan masa silam bersama ayahnya yang bekerja sebagai nelayan serta pesanan-pesanan ayahnya. Keadaan Mir semakin membimbangkan disebabkan oleh ibunya juga telah meninggal dunia sejak dia kecil lagi. Semuanya datang menghantuinya. Menyedari hal itu, Hakimah sebagai kawan baik mengajak Mir ke kampungnya ketika cuti semester. Hakimah berusaha membantu Mir yang mengalami konflik jiwa itu dengan bantuan ibunya. Ibu Hakimah yang tahu keadaan Mir yang sering menyendiri itu, lalu menghadiahkan telekong berenda. Ibu Hakimah mahu Hakimah membantu Mir mengenali Tuhan yang satu. Kesannya, Mir mula beransur pulih daripada konflik jiwa yang dihadapinya itu. Mir berjanji akan menggunakan telekong pemberian ibu Hakimah. Keadaan ini menggembirakan Hakimah apabila melihat Mir semakin tenang dan beransur pulih.
TEMA
Konflik dalaman yang dihadapi oleh seorang pelajar.
Konflik dalaman yang dihadapi oleh pelajar yang bernama Amirah atau Mir adalah disebabkan oleh rumah ayahnya akan dirobohnya untuk dijadikan tempat peranginan. Oleh itu, beliau sering memikirkan akan kesan kehilangan rumah tersebut yang akan menyebabkan kenangan bersama ayahnya juga akan hilang. Jadi beliau sering menyendiri sehingga ada kalanya bercakap sendirian sehinggakan kaunselor menganggap kelakuan tersebut sebagai penyakit skizofrenia.
PERSOALAN
1. Persoalan kemiskinan para nelayan
Kehidupan nelayan yang digambarkan melalui watak ayah Amirah terlalu daif melalui keadaan rumah dan juga tempoh masa ayahnya yang berada di lautan. Malah segala-galanya serba kekurangan.
2. Persoalan keikhlasan dalam persahabatan
Keprihatinan seorang sahabat untuk membantu rakannya yang mengalami tekanan perasaan dapat dilihat melalui usaha ikhlas Hakimah. Hakimah membawanya pulang ke kampung untuk bercuti. Malah, dengan bantuan ibunya yang menghadiahkan telekung akhirnya Amirah beransur pulih daripada tekanan perasaan tersebut.
3. Persoalan keinsafan untuk mendekati ajaran agama.
Ibu Hakimah menghadiahkan kain telekung kepada Amirah agar beliau dapat mendekatkan diri kepada Tuhan. Usaha itu amat berkesan apabila Amirah mula berubah tingkah laku.
4. Persoalan kepetingan menjaga alam sekitar
Bapa Amirah sering berpesan kepadanya agar sentiasa menghargai lautan yang mempunyai banyak kepentingan kepada manusia. Oleh itu, Amirah sering membayangkan akan keindahan pantai dan bunyi ombak dalam kehidupannya.
PLOT
Binaan Plot
Secara keseluruhannya plot cerpen digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
1. Permulaan
Cerita dimulakan dengan memperkenalkan watak Amirah yang mengalami tekanan perasaan. Amirah dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dan tinggal bersama seorang rakan bernama Hakimah.
2. Perkembangan
Amirah sering memikirkan kehidupan ayahnya di kampung yang telah berpindah ke rumah panjang kerana rumah mereka di tepi pantai akan dirobohkan untuk dijadikan tempat peranginan. Dia juga sering teringat akan pesanan ayahnya untuk menjaga pantai daripada sebarang pencemaran. Sahabatnya Hakimah cuba membantu dengan cara membawanya pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibunya.
3. Konflik
Sikap Amirah semakin berubah kerana fikirannya semakin bercelaru memikirkan masalah keluarganya.
4. Klimaks
Ibu Hakimah menyuruhnya mengajar Amirah mendekati diri Tuhan lalu, Ibu Hakimah menghadiahkan kain telekung.
5. Peleraian
Amirah berjanji akan menggunakan kain telekung tersebut. Akhirnya Amirah sembuh dan kembali seperti biasa.
WATAK DAN PERWATAKAN
Mir / Amirah
1. Anak seorang nelayan yang menuntut ilmu di universiti tempatan.
2. Ibunya telah meninggal dunia ketika dia dilahirkan.
3. Anak tunggal.
4. Mengidap penyakit skizofrenia yang menyebabkan Mir menjadi pendiam.
5. Memiliki rambut yang cantik.
6. Seorang yang penyayang - Amirah anak yang baik kerana sentiasa memikirkan nasib dan pesanan ayahnya yang tinggal di rumah panjang.
7. Suka menyendiri - Amirah mula berubah sikap mengasingkan kerana tekanan perasaan.
8. Tabah - Amirah tetap meneruskan pembelajaran walaupun, dihimpit oleh kesusahan hidup keluarganya.
Hakimah
1. Gadis yang sedang menuntut di universiti tempatan bersama-sama dengan Amirah.
2. Ibu yang tinggal di kampung.
3. Sahabat yang baik - Sentiasa bersedia membatu rakannya yang mengalami tekanan perasaan.
4. Prihatin - Membawa Amirah pulang ke kampungnya untuk bertemu dengan ibunya.
5. Penyayang - Hakimah amat baik dengan ibunya dan sentiasa berkongsi segala masalah kepada ibunya.
Ayah
1. Ayah kepada Amirah.
2. Bekerja sebagai nelayan.
3. Sudah tua
4. Tinggal di rumah panjang di kampung.
5. Badannya agak kurus.
6. Kehidupannya miskin - Rumah yang dibina di atas tanah kerajaan akan dirobohkan untuk pembangunan
7. Reda dengan takdir Tuhan - Menerima nasib dirinya yang terpaksa berkongsi rumah panjang kerana rumahnya di tepi akan dirobohkan.
8. Gigih - Ayah seorang yang kuat semangat untuk terus mencari rezeki di laut bagi menampung kehidupan dia dengan anaknya.
Ibu
1. Ibu kepada Hakimah
2. Tinggal di kampung.
3. Seorang yang baik hati - menghadiahkan Amirah telekung dengan niat agar Amirah mendekatkan diri dengan Tuhan.
4. Penyayang - Mendidik anaknya dengan baik sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.
5. Prihatin - Menyedari sahabat Hakimah sakit lalu ibu membantu Amirah agar mendekati diri dengan Tuhan.
6. Patuh kepada ajaran agama - Sentiasa mengingati Hakimah agar mengajar Amirah membaca al-Quran dan mengenali Tuhan yang satu.
LATAR
Latar Masa
1. Waktu Hujan - Ketika itu Amirah kembali teringat kata-kata dan juga pesanan ayahnya.
2. Hari Sabtu - Hakimah mengajak Amirah berjalan-jalan di kota untuk menenangkan fikiran.
Latar Tempat
1. Di laut- tempat ayah Amirah yang menjadi nelayan mencari rezeki.
2. Di rumah Hakimah – Hakimah membawa Amirah bercuti juga menceritakan masalah Amirah.
3. Di Kampung - Bapa Amirah tinggal di rumah panjang di kampung.
4. Di Kampus - Tempat Amirah dan Hakimah belajar.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang saling sayang menyayang - Amirah menyayangi ayahnya yang tinggal di kampung.
2. Masyarakat yang prihatin - Hakimah mengambil berat soal kesihatan sahabatnya yang mengalami tekanan perasaan.
3. Masyarakat yang berpendidikan tinggi - Amirah dan Hakimah menuntut di Intitusi Pendidikan tinggi tempatan.
4. Masyarakat yang miskin - Ayah amirah mewakili sekumpulan nelayan yang tinggal di rumah panjang secara berkongsi dan miskin.
5. Masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama - Ibu Hakimah meminta Hakimah menghadiahkan telekung agar Amirah kembali kepada Tuhan yang satu.
NILAI
1. Nilai kasih sayang - Kasih sayang Amirah kepada ayahnya tidak pernah berbelah bahagi.
2. Nilai prihatin - Hakimah dan ibunya membantu Amirah untuk kembali sihat kerana kasihan kepadanya.
3. Nilai kesabaran – Hakimah kelihatan sabar menghadapi dugaan yang melanda hidupnya apabila rumah mereka akan dirobohkan.
4. Nilai rasional - Ayah Amirah rela menerima suratan takdir yang rumahnya akan dirobohkan untuk pembangunan.
5. Nilai patuh kepada agama – Ibu Hakimah digambarkan sentiasa berpegang kepada ajaran agama sehinggakan menghadiahkan tudung kepada Amirah.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah tolong-menolong sesama manusia terutama terhadap sahabat yang sedang dalam kesusahan.
2. Kita mestilah sentiasa mengingati Tuhan kerana dengan mengingati Tuhan jiwa akan tenang untuk melalui kehidupan seharian.
3. Kita haruslah berfikiran rasional dalam menghadapi sebarang ujian daripada Tuhan agar kita tidak bertindak di luar batasan.
4. Kita hendaklah menjaga hubungan kekeluargaan terutama dengan ibu dan bapa yang keseorangan di kampung.
5. Kita haruslah menyayangi ibu dan bapa yang telah bersusah payah menjaga dan memberi pendidikan kepada kita.

Ibu Dan Ceper

Karya Shahnon Ahmad


SINOPSIS
Kisah ibu tua yang disamakan dengan kisah sebuah sungai iaitu Sungai Ceper. Sungai Ceper ialah sungai yang jernih dan mempunyai sumber ikan dan udang, panjang dan berliku-liku, samalah seperti ibu yang sentiasa aktif melakukan aktiviti bersawah. Pada waktu malam, Sungai Ceper masih cergas tetapi ibu tidak. Pada sebelah malam, ibu berehat dan esoknya kembali cergas. Pada suatu hari, Sungai Ceper melimpah kerana hujan turun di hulu. Airnya likat dan melimpah menyebabkan sawah padi musnah. Pada tahun itu, semua penduduk kampung makan ubi gadung kerana padi musnah. Selepas Ceper melimpahkan air, tiba pula musim kemarau. Sungai Ceper menjadi cetek, ikan mati, air sungai busuk dan sawah kering sehingga menyebabkan ibu menggunakan telaga sebagai sumber. Keadaan ini ialah keadaan 40 tahun yang lalu, iaitu semasa aku masih anak teruna dan ibu masih muda. Kini, ibu dan ayah tiada lagi. Aku pula sudah bercucu. Sungai Ceper masih wujud tetapi sudah mula berubah sejak ibu terjatuh, lalu lumpuh kerana terpijak tunggul lama iaitu sepuluh tahun sebelum ibu meninggal. Pada masa itulah, keluarga aku menderita dan aku berkahwin dengan gadis di kampung itu. Bapa pula sudah tidak gila burung lagi sebaliknya dia hanya menjaga cucu dan menjaga ibu. Ceper kini berbau busuk kerana menjadi tempat pembuangan sampah. Airnya mengalir lesu bersama-sama sampah sarap yang tidak sepatutnya dibuang ke dalam sungai itu. Aku dan isteri telah tua dan kini duduk di rumah menjaga cucu. Pada masa ini, Ceper telah mati dan tidak berfungsi lagi walaupun masih wujud, tidak seperti ibu yang telah tiada di dunia ini.
TEMA
Kegigihan seorang ibu dalam mengharungi kehidupan.
Ibu gigih mencari rezeki dan banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber air kepada tanaman.
PERSOALAN
1. Persoalan kepentingan air dalam kehidupan.
Air Sungai Ceper yang deras dan jernih digunakan oleh ibu untuk mengairi sawahnya.
2. Persoalan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah sedangkan sungai ini semakin cetek dan tidak berdaya membawa sampah yang ada di dalamnya.
3. Persoalan kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam.
Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai yang menjadi sumber air dan rezeki di kampungnya.
PLOT
Binaan Plot
(i) Permulaan
Aku menerangkan perasaan sayang dan cinta akan Sungai Ceper dan ibu yang banyak berjasa kepadanya.Aku terkenang akan sungai ini yang jernih ,tenteram, deras dan menjadi lubuk ikan. Ibu juga seperti Ceper yang aktif bersawah dan bekerja. Namun, ibu berehat pada waktu malam manakala Ceper sama sahaja pada siang atau malam.
(ii) Perkembangan
Kemarahan ibu kepada Sungai Ceper yang melimpah akibat hujan lebat sehingga memusnahkan tanaman . Ibu juga memarahi sikap suaminya yang sambalewa terhadap tanggungjawab keluarga dan asyik dengan ketitir. Kemarahan ibu semakin memuncak apabila Sungai Ceper semakin cetek akibat kemarau. Hal ini menyebabkan sawah-sawahnya kering , sumber makanan dan minuman terjejas sehingga memaksa ibu menggunakan telaga sebagai sumber air. Setelah 40 tahun berlalu,Sungai Ceper semakin tercemar akibat pengabaian masyarakat. Ibu dan ayah sudah meninggal dunia dan aku telah pun berkeluarga dan mempunyai cucu.
(iii) Klimaks
Ibu meninggal dunia dan Sungai Ceper semakin sakit. Sungai ini semakin cetek, alirannya lambat dan banyak sampah daripada pelbagai bahan buangan berada di perutnya. Airnya busuk kerana bangkai binatang , kain-kain buru , plastik, dan sisa-sisa makanan dibuang ke dalamnya. Bapa juga telah meninggal dunia.
(iv) Peleraian
Sungai Ceper masih mengalir tetapi amat lambat. Keadaannya semakin parah. Aku dan isteri telah tua dan anak-anak pula menggantikan kami. Ceper dikatakan sudah mati kerana airnya sudah tidak bergerak dan timbunan sampah tindih-menindih. Ibu benar-benar telah mati tetapi Ceper walaupun masih wujud tetapi sudah tidak berfungsi lagi.
WATAK DAN PERWATAKAN
Ibu
1. Cekap bekerja.
Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas Subuh sehingga hampir Maghrib, malah ibu melakukan hampir semua jenis kerja.
2. Rajin.
Ibu rajin membuat pelbagai kerja menggunakan tulang empat keratnya, tanpa bantuan suaminya yang menjadi kaki burung.
3. Bermasyarakat.
Walaupun ibu sibuk bekerja, dia tidak lupa untuk menghadiri kenduri-kendara di kampungnya dan menziarahi orang yang meninggal dunia.
4. Kuat semangat.
Walaupun Sungai Ceper telah memusnahkan padinya akibat banjir namun ibu tidak berputus asa untuk mengusahakan sawahnya semula.
Aku
1. Anak tunggal dalam keluarga.
2. Mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah.
3. Sudah berumah tangga.
4. Penyayang.
Aku merupakan seorang anak yang penyayang kerana masih mengingati pengorbanan ibunya walaupun telah 40 tahun berlalu.
5. Bertanggungjawab.
Aku bertanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh dan ayahnya yang tua.
LATAR
Latar Masa
1. Masa kini - Aku telah tua, ada anak yang telah besar dan telah bercucu.
2. 10 tahun yang lalu setelah ibu jatuh, lumpuh dan meninggal dunia-ibu sudah tidak dapat bergerak lagi dan kerja-kerja di sawah diteruskan oleh aku dan isteri.
3. 40 tahun yang lalu - Ketika ibu masih muda dan aku masih teruna.
4. Siang - sewaktu ibu turun mengerjakan sawah padinya.
5. Malam - gambaran tentang Sungai Ceper yang tetap cergas.
Latar Tempat
1. Di sebuah desa - tempat tinggal ibu, aku dan ayah.
2. Kawasan sawah padi - tempat ibu dan orang kampung bekerja.
3. Sebatang sungai - tempat anak-anak kampung merangau ikan.
4. Telaga - tempat ibu mengambil air ketika kemarau.
5. Rimba belantara - tempat bapa berdenak ketitir.
6. Sungai Ceper - tempat penduduk kampung termasuk ibu mendapat sumber air.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat petani
Mereka mengusahakan tanaman padi secara tradisional. Keluarga aku mewakili sebahagian daripada anggota masyarakat yang mengusahakan tanaman padi secara tradisional seperti menajak dan menyisir selut.
2. Masyarakat yang menghadapi kepayahan hidup.
Penduduk di desa aku mengalami kesempitan hidup apabila Sungai Ceper melimpah kerana banjir dan airnya kering sehingga tidak dapat mengairi sawah ketika musim kemarau.
3. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
Bapa sanggup menghabiskan masa mendenak burung ketitir di rimba sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarganya.
NILAI
1. Nilai bertanggungjawab
Sikap bertanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri yang ditunjukkan oleh ibu yang mengusahakan sawah padi bagi menampung kehidupan keluarganya.
2. Nilai kegigihan
Walaupun terpaksa menggunakan tulang empat kerat, ibu tetap gigih bekerja menyara keluarga.
3. Nilai kesabaran
Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarga.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga agar mereka tidak hidup dalam kesusahan.
2. Kita hendaklah menjaga kerukunan rumah tangga agar tidak berlaku perselisihan faham antara suami dengan isteri.
3. Kita mestilah menyayangi ibu bapa yang telah tua agar kebajikan mereka terpelihara.
4. Kita janganlah mencemarkan alam sekitar kerana perbuatan itu akan membawa keburukan kepada masyarakat.

Karangan : Pemakanan Seimbang

Tajuk: Makanan seimbang amat penting kepada setiap orang. Huraikan kepentingan makan makanan seimbang.

Tema : Makanan Seimbang
Kata Tugas : Kepentingan
Format : Tiada


Jawapan Contoh:
Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini.
Kepentingan pemakanan seimbang yang utama ialah sikap ini menjadikan pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya.
Selain itu, pemakanan yang seimbang menjadikan perkembangan mental seseorang itu terganggu pula. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami dalam kehidupan seseorang itu. Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Jadi, pemakanan seimbang menjadikan aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan.
Kemungkinan kepentingan pemakanan seimbang yang mudah difahami ialah makanan yang seimbang memberikan vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat sejahtera sahaja.
Akhirnya, pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti masyarakat dunia. Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegi menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan pula. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.
Kesimpulannya, kita perlu mengambil makanan yang seimbang kerana semua kepentingannya sudah dinyatakan tadi. Bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan seterusnya negara akan menerima kesan positif daripada pemakanan yang baik ini. Jika masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah pula. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya. “Tepuk dada tanya selera”.