Tuesday, August 2, 2011

Ibu Dan Ceper

Karya Shahnon Ahmad


SINOPSIS
Kisah ibu tua yang disamakan dengan kisah sebuah sungai iaitu Sungai Ceper. Sungai Ceper ialah sungai yang jernih dan mempunyai sumber ikan dan udang, panjang dan berliku-liku, samalah seperti ibu yang sentiasa aktif melakukan aktiviti bersawah. Pada waktu malam, Sungai Ceper masih cergas tetapi ibu tidak. Pada sebelah malam, ibu berehat dan esoknya kembali cergas. Pada suatu hari, Sungai Ceper melimpah kerana hujan turun di hulu. Airnya likat dan melimpah menyebabkan sawah padi musnah. Pada tahun itu, semua penduduk kampung makan ubi gadung kerana padi musnah. Selepas Ceper melimpahkan air, tiba pula musim kemarau. Sungai Ceper menjadi cetek, ikan mati, air sungai busuk dan sawah kering sehingga menyebabkan ibu menggunakan telaga sebagai sumber. Keadaan ini ialah keadaan 40 tahun yang lalu, iaitu semasa aku masih anak teruna dan ibu masih muda. Kini, ibu dan ayah tiada lagi. Aku pula sudah bercucu. Sungai Ceper masih wujud tetapi sudah mula berubah sejak ibu terjatuh, lalu lumpuh kerana terpijak tunggul lama iaitu sepuluh tahun sebelum ibu meninggal. Pada masa itulah, keluarga aku menderita dan aku berkahwin dengan gadis di kampung itu. Bapa pula sudah tidak gila burung lagi sebaliknya dia hanya menjaga cucu dan menjaga ibu. Ceper kini berbau busuk kerana menjadi tempat pembuangan sampah. Airnya mengalir lesu bersama-sama sampah sarap yang tidak sepatutnya dibuang ke dalam sungai itu. Aku dan isteri telah tua dan kini duduk di rumah menjaga cucu. Pada masa ini, Ceper telah mati dan tidak berfungsi lagi walaupun masih wujud, tidak seperti ibu yang telah tiada di dunia ini.
TEMA
Kegigihan seorang ibu dalam mengharungi kehidupan.
Ibu gigih mencari rezeki dan banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber air kepada tanaman.
PERSOALAN
1. Persoalan kepentingan air dalam kehidupan.
Air Sungai Ceper yang deras dan jernih digunakan oleh ibu untuk mengairi sawahnya.
2. Persoalan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah sedangkan sungai ini semakin cetek dan tidak berdaya membawa sampah yang ada di dalamnya.
3. Persoalan kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam.
Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai yang menjadi sumber air dan rezeki di kampungnya.
PLOT
Binaan Plot
(i) Permulaan
Aku menerangkan perasaan sayang dan cinta akan Sungai Ceper dan ibu yang banyak berjasa kepadanya.Aku terkenang akan sungai ini yang jernih ,tenteram, deras dan menjadi lubuk ikan. Ibu juga seperti Ceper yang aktif bersawah dan bekerja. Namun, ibu berehat pada waktu malam manakala Ceper sama sahaja pada siang atau malam.
(ii) Perkembangan
Kemarahan ibu kepada Sungai Ceper yang melimpah akibat hujan lebat sehingga memusnahkan tanaman . Ibu juga memarahi sikap suaminya yang sambalewa terhadap tanggungjawab keluarga dan asyik dengan ketitir. Kemarahan ibu semakin memuncak apabila Sungai Ceper semakin cetek akibat kemarau. Hal ini menyebabkan sawah-sawahnya kering , sumber makanan dan minuman terjejas sehingga memaksa ibu menggunakan telaga sebagai sumber air. Setelah 40 tahun berlalu,Sungai Ceper semakin tercemar akibat pengabaian masyarakat. Ibu dan ayah sudah meninggal dunia dan aku telah pun berkeluarga dan mempunyai cucu.
(iii) Klimaks
Ibu meninggal dunia dan Sungai Ceper semakin sakit. Sungai ini semakin cetek, alirannya lambat dan banyak sampah daripada pelbagai bahan buangan berada di perutnya. Airnya busuk kerana bangkai binatang , kain-kain buru , plastik, dan sisa-sisa makanan dibuang ke dalamnya. Bapa juga telah meninggal dunia.
(iv) Peleraian
Sungai Ceper masih mengalir tetapi amat lambat. Keadaannya semakin parah. Aku dan isteri telah tua dan anak-anak pula menggantikan kami. Ceper dikatakan sudah mati kerana airnya sudah tidak bergerak dan timbunan sampah tindih-menindih. Ibu benar-benar telah mati tetapi Ceper walaupun masih wujud tetapi sudah tidak berfungsi lagi.
WATAK DAN PERWATAKAN
Ibu
1. Cekap bekerja.
Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas Subuh sehingga hampir Maghrib, malah ibu melakukan hampir semua jenis kerja.
2. Rajin.
Ibu rajin membuat pelbagai kerja menggunakan tulang empat keratnya, tanpa bantuan suaminya yang menjadi kaki burung.
3. Bermasyarakat.
Walaupun ibu sibuk bekerja, dia tidak lupa untuk menghadiri kenduri-kendara di kampungnya dan menziarahi orang yang meninggal dunia.
4. Kuat semangat.
Walaupun Sungai Ceper telah memusnahkan padinya akibat banjir namun ibu tidak berputus asa untuk mengusahakan sawahnya semula.
Aku
1. Anak tunggal dalam keluarga.
2. Mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah.
3. Sudah berumah tangga.
4. Penyayang.
Aku merupakan seorang anak yang penyayang kerana masih mengingati pengorbanan ibunya walaupun telah 40 tahun berlalu.
5. Bertanggungjawab.
Aku bertanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh dan ayahnya yang tua.
LATAR
Latar Masa
1. Masa kini - Aku telah tua, ada anak yang telah besar dan telah bercucu.
2. 10 tahun yang lalu setelah ibu jatuh, lumpuh dan meninggal dunia-ibu sudah tidak dapat bergerak lagi dan kerja-kerja di sawah diteruskan oleh aku dan isteri.
3. 40 tahun yang lalu - Ketika ibu masih muda dan aku masih teruna.
4. Siang - sewaktu ibu turun mengerjakan sawah padinya.
5. Malam - gambaran tentang Sungai Ceper yang tetap cergas.
Latar Tempat
1. Di sebuah desa - tempat tinggal ibu, aku dan ayah.
2. Kawasan sawah padi - tempat ibu dan orang kampung bekerja.
3. Sebatang sungai - tempat anak-anak kampung merangau ikan.
4. Telaga - tempat ibu mengambil air ketika kemarau.
5. Rimba belantara - tempat bapa berdenak ketitir.
6. Sungai Ceper - tempat penduduk kampung termasuk ibu mendapat sumber air.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat petani
Mereka mengusahakan tanaman padi secara tradisional. Keluarga aku mewakili sebahagian daripada anggota masyarakat yang mengusahakan tanaman padi secara tradisional seperti menajak dan menyisir selut.
2. Masyarakat yang menghadapi kepayahan hidup.
Penduduk di desa aku mengalami kesempitan hidup apabila Sungai Ceper melimpah kerana banjir dan airnya kering sehingga tidak dapat mengairi sawah ketika musim kemarau.
3. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
Bapa sanggup menghabiskan masa mendenak burung ketitir di rimba sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarganya.
NILAI
1. Nilai bertanggungjawab
Sikap bertanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri yang ditunjukkan oleh ibu yang mengusahakan sawah padi bagi menampung kehidupan keluarganya.
2. Nilai kegigihan
Walaupun terpaksa menggunakan tulang empat kerat, ibu tetap gigih bekerja menyara keluarga.
3. Nilai kesabaran
Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarga.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga agar mereka tidak hidup dalam kesusahan.
2. Kita hendaklah menjaga kerukunan rumah tangga agar tidak berlaku perselisihan faham antara suami dengan isteri.
3. Kita mestilah menyayangi ibu bapa yang telah tua agar kebajikan mereka terpelihara.
4. Kita janganlah mencemarkan alam sekitar kerana perbuatan itu akan membawa keburukan kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment