Sunday, October 23, 2011

Peristiwa Pada Permulaan Novel

SOALAN 4 : PERBANDINGAN NOVEL
a)
Terdapat pelbagai peristiwa yang berlaku dalam sesebuah novel. Huraikan satu peristiwa yang berlaku pada permulaan novel yang anda kaji. ( 7 markah )

JAWAPAN
Novel Melunas Rindu
a)
Peristiwa yang berlaku pada permulaan novel
-
Peristiwa Fuad pulang lewat daripada mencari kayu api di hutan. Fuad disapa oleh Mak Salmah ketika masuk ke rumah melalui pintu dapur. Fuad menjelaskan dia terleka dan terlupa bawa jam.
-
Peristiwa Fuad melaungkan azan Isyak di surau apabila masuk waktu . Fuad diminta oleh Pak Imam untuk melaungkan azan Isyak. Selepas menunaikan solat sunat, dia terus melaungkan Iqamah dan mereka bersama-sama menunaikan solat Isyak secara berjemaah.
-
Peristiwa Fuad ke rumah Borhan, rakannya apabila mendapat tahu anak Borhan demam. Fuad mengajak Borhan menghantar anaknya ke klinik walaupun sudah pukul sebelas malam.
-
Peristiwa Fuad menyemak penyata akaun melalui kad ATMnya ketika menunggu anak Borhan dirawat di klinik. Didapati wang dalam akaunnya bertambah.Fuad yakin bahawa ayahnya yang memasukkan wang tersebut.

Novel Kabus Di Perbukitan
a)
Peristiwa yang berlaku pada permulaan novel:
-
Peristiwa Rahayu tiba-tiba pengsan di perpustakaan. dan dia dikejarkan ke Pusat Kesihatan kemudiannya dimasukkan keHospital Universiti Kebangsaan Malaysia(HUKM) . Rahayu disahkan menghidap penyakit Kanser.
-
Peristiwa Faridah, kembar Rahayu ditimpa kemalangan bersama-sama kanak-kanak istimewa Iqbal semasa dalam perjalanannya ke Pekan Raub. Sapaan Iqbal dari tempat duduk belakang mengejutkan Rahayu yang sedang memandu van lalu hilang kawalan. Van melanggar tembok penghadang jalan dan terus menjunam ke dalam gaung.

Saturday, October 8, 2011

Contoh Penerapan Peribahasa dalam Ayat

  1. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa ...
  2. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa ..
  3. Hal ini jelas dinyatakan dalam peribahasa ...
  4. Orang tua-tua pernah berkata ...
  5. Situasi ini boleh diperjelas melalui peribahasa ...
  6. Perkara ini bertepatan dengan maksud peribahasa ...
  7. Ibu bapa hendaklah mengasuh dan mendidik anak-anak sejak kecil kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
  8. Sebagai rakyat Malaysia kita mestilah mempertahankan negara kita daripada dijajah oleh musuh bak kata pepatah "biar putih tulang jangan putih mata"
  9. Kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi masa depan kerana usaha tangga kejayaan.
  10. Sikap penduduk di taman itu yang selalu berbincang dan bermuafakat untuk melaksanakan sesuatu aktiviti ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
  11. Sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dielakkan, sebaliknya sikap ke bukit sama didaki kelembah sama dituruni perlulah diamalkan dalam kalangan masyarakat setempat untuk memperkukuh perpaduan.
  12. Kita hendaklah menjaga perpaduan yang telah kita bina dengan menghindarkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan atau kehancuran ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua.
  13. Sikap sesetengah rakyat yang menjadi seperti api di dalam sekam menyebabkan pihak asing cuba mencampuri urusan pentadbiran negara kita.
  14. Kita janganlah bermain api dalam keadaan negara kita yang aman damai ini kerana seekor kerbau yang membawa lumpur semuanya akan terpalit, iaitu kesilapan yang dilakukan oleh seseorang akan menyebabkan semua orang di sekelilingnya ditimpa kesusahan.
  15. Kita hendaklah membalas jasa ibu bapa yang telah memelihara dan membesarkan kita supaya kita tidak dikatakan bagai kacang lupakan kulit.

Amalan Berjimat Cermat

SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN

Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu sediakan payung sebelum hujan.

Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.

Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

Thursday, October 6, 2011

Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan namun, remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara saujana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno pernah mengungkap, “Berikan saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.”Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa.

Kecemerlangan dari aspek akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmubukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik Rakyat sihat, negara maju dan akan menjauhi gelarankatak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu, remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, Ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik tidak dapat menjamin kejayaan seseorang jika tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baru yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial, seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi. Seperti peribahasa, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai dalam kehidupan kita. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan. Remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Selain itu, remaja yang berkualiti juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi keranamelentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja yang berkualiti harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkanmasyarakat sakinah dan madani pada suatu hari nanti.

Sementelahan pula, remaja yang berkualiti perlu kreatif dan inovatif untuk memacu kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baru akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak.

Intihanya, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.