TEMA
|
SEMANGAT KERJASAMA
|
TUGASAN SOALAN
|
USAHA-USAHA MEMUPUK SEMANGAT KERJASAMA DALAM KALANGAN MASYARAKAT
|
ARAS
|
CEMERLANG ( 26 –30 MARKAH )
|
Nusa tercinta kita Malaysia
merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara
bersama sehati sejiwa ibarat peribahasa seikat
bak sirih, serumpun bak serai.
Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan
bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan
berurusan antara satu sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi
kita bahawa ada pandangan yang menyatakan semangat kerjasama dalam kalangan
masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup
segan mati tak mahu. Banyak
kempen dan usaha telah dijalankan oleh
pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan masyarakat melalui pelbagai
aktiviti kerana semangat bekerjasama begitu penting dalam kehidupan
bermasyarakat.
Sebenarnya semangat kerjasama dalam
masyarakat dapat dipupuk melalui peranan ibu bapa. Kerjasama ini boleh dipupuk
melalui penglibatan ibu bapa
bersama-sama ahli keluarga yang terdiri daripada anak-anak dalam pelbagai
aktiviti yang diadakan di kawasan tempat tinggal mereka. Ibu bapa sewajarnya membawa
anak-anak mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong,
majlis sambutan perayaan atau perjumpaan
bulanan komuniti. Manfaatnya setiap keluarga akan dapat dipertemukan dengan semua
jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra,
saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa
atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat bekerjasama dalam kalangan anggota masyarakat dapat
membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
Selain itu semangat kerjasama dalam
kalangan masyarakat dapat dibentuk melalui kempen-kempen
kesedaran oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan seharusnya mengadakan kempen
memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa agar
terus subur dalam sanubari mereka. Tuntasnya, semangat bekerjasama
dalam kalangan masyarakat membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara
satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat
lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi,
bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat bekerjasama penting dalam membentuk masyarakat yang
bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah
kegemilangan.
Di samping itu, semangat kerjasama
juga dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat melalui peranan jawatankuasa
penduduk setempat. Dalam hal ini, pihak
jawatankuasa penduduk setempat boleh merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan
dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama-sama
dalam suasana yang aman dan harmoni ibarat peribahasa ke bukit sama di daki, ke lurah
sama dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan akan dapat
dinikmati dengan penuh bermakna. Sebagai
contohnya, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh mengadakan aktiviti
seperti gotong-royong membersihkan atau menceriakan kawasan setempat, seperti dewan orang ramai, balai raya, taman
permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti. Jelaslah semangat kerjasama
penting bagi merapatkan hubungan anggota masyarakat dalam suatu kawasan penduduk
setempat .
Semangat kerjasama
merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni,
mempunyai jati diri dan semangat cinta
akan negara . Dengan itu, peranan
sekolah amat penting dalam memupuk semangat kerjasama kepada murid-murid di
sekolah. Melalui pengajaran dan pembelajaran para guru boleh membimbing
murid-murid tentang kepentingan semangat bekerjasama. Pelbagai aktiviti
berbentuk kerjasama dalam kalangan murid-murid seperti gotong-royong
membersihkan kawasan sekolah, mengemas dan menceriakan bilik darjah, menghias
sekolah dengan jalur gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan sebagainya
dapat diimplimentasikan. Hal ini jelas menunjukkan keharmonian
kehidupan rakyat Malaysia melalui semangat bekerjasama yang diterapkan di
peringkat sekolah ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya membolehkan
keharmonian masyarakat terbentuk.
Intihanya, semangat kerjasama
merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia
yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah
dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, semangat bekerjasama bukan sahaja penting
dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah
sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang
dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi
melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta
ke arah kegemilangan di puncak jagat.
Penskoran : 26/30
Sumber : Program Jawakhir Johor
No comments:
Post a Comment