Sunday, September 25, 2011

Peranan Ibu Bapa Membentuk Masyarakat Yang Mementingkan Kebersihan

Mendepani arus era globalisasi ini, kebersihan menjadi salah satu elemen yang membawa kepada pelbagaijenis jangkitan di seluruh dunia. Saban hari, kita telah dinasihatkan supaya menjaga kebersihan diri agar kita tidak mudah dijangkiti penyakit melalui media massa dan juga media elektronik. Muasir ini, pumpunan mamlakat bukan sahaja tidak cakna dengan kebersihan persekitaran mereka bahkan kebersihan mereka sendiri. Disebabkan itulah jangkitan seperti H1N1, demam denggi dan lain-lain mudah merebak disebabkan oleh kealpaan masyarakat kini. Mantan Perdana Menteri malaysia Ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata ,"untuk melahirkan masyarakat yang sihat,aktif dan proaktif, kebersihan perlu dititikberatkan". Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan agar dapat melahirkan generasi yang sihat pada masa hadapan.
Peranan perdana yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan adalah dengan mendidik mereka sejak kecil mengenai nilai kebersihan. Dewasa kini, terdapat segelintir ibu bapa tidak menitikberatkan tentang nilai kebersihan pada anak-anak mereka. Bahkan ada juga ibu bapa yang berasakan bahawa anak mereka sudah dewasa dan dapat membezakan antara kebersihan dan kotoran. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita tidak tahu bila penyakit akan datang menyerang kita jka kebersihan tidak diamalkan. Disebabkan hal inilah ibu bapa perlu sedar bahawa kebersihan itu amat penting buat anak-anak bagi menjamin masa depan yang bersih,sihat dan harmoni. Seperti peribahasa "melentur buluh biarlah dari rebungnya", ibu bapa perlu mengamalkan prinsip ini dan mendidik anak-anak mereka tentang kebersihan seja kecil kerana apabila mereka ini sudah dewasa mereka akan menjadi lebih sukar untuk dididik. Tuntasnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak mereka tentang kebersihan di usia muda supaya nilai ini menjadi salah satu prinsip dalam diri mereka.

Peranan berikutnya, ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan buat anak-anak mereka dalam mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan mereka. Hal ini disebabkan anak-anak selalu mengikuti perbuatan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka tidak kira sama ada perbuatan itu baik ataupun sebaliknya. Oleh itu, ibu bapa merupakan orang penting dalam proses pembelajaran zuriat mereka, dengan itu mereka perlulah menunjukkan contoh yang terbaik buat anak-anak mereka. Salah satu contoh yang boleh ditunjukkan oleh ibu bapa adalah dengan mempraktikkan amalan kebersihan di hadapan anak-anak. Contohnya, membuang sampah di tempat yang sepatutnya, basuh tangan sebelum dan selepas makan, tutup mulut ketika batuk atau bersin dan banyak lagi. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu iaitu bagaimana acuan, begitulah hasilnya�, itulah yang boleh digambarkan sekiranya ibu bapa menunjukkan amalan yang baik di hadapan anak-anak. Konklusinya, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang bak agar dapat dicontohi oleh anak-anak supaya generasi yang mementingkan kebersihan dapat dilahirkan.

Peranan seterusnya, ibu bapa perlu memberikan pengajaran kepada anak-anak dengan menunjukkan kesan-kesan jika amalan kebersihan tidak diamalkan oleh mereka. Rentetan daripada perkara ini, anak-anak akan sedar akan kesan dan akibat jika nilai kebersihan tidak dititikberatkan dalam kehidupan. Marcapada ini, terdapat pelbagai jenis penyakit yang boleh dijadikan sebagai contoh jika tidak mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Jangkitan H1N1 yang mudah merebak melalui udara apabila seseorang itu tidak tutup mulut ketika sedang batuk atau bersin. Demam denggi yang membawa maut akan tersebar jika seseorang itu tidak membersihkan kawasan sekitar rumah mereka yang mungkin merupakan tempat pembiakan nyamuk aedes dan lain-lain. Tokoh politik terkenal tanah air, Dato Onn Jaafar pernah mengungkapkan seseorang yang tidak tahu sejarah akan mengulanginya pada masa akan datang, ungkapan beliau ini banyak memberikan maksud dan salah satunya jika mereka tidak tahu kesan tidak mengamalkan kebersihan, maka mereka akan melakukan kemudaratan ke atas diri sendiri dengan mengamalkan gaya hidup yang tidak bersih. Dengan itu, ibu bapa perlulah memberikan pengajaran kepada anak-anak supaya penyakit-penyakit yang tidak diingini akan dapat dielakkan.

Peranan terakhir yang harus dilakukan oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan adalah dengan cara mengamalkan gotong-royong membersihkan kawasan rumah dengan seisi keluarga. Melalui cara ini, anak-anak akan mengerti kepentingan kebersihan itu tersebut. Aktiviti ini bukan sahaja dapat mempraktikkan amalan kebersihan dalam kehidupan, malahan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim seisi keluarga di samping dapat menyihatkan tubuh badan. Aktiviti ini tidak semestinya dilakukan setiap hari, tetapi boleh juga dilakukan secara berkala seperti dua minggu sekali dan macam-macam lagi. Cogan kata “Kebersihan Adalah Tanggungjawab Bersama” yang diuar-uarkan oleh kerajaan amatlah bersesuaian dengan aktiviti gotong royong ini. Izharlah di sini bahawa kebersihan itu merupakan tanggungjawab semua orang bagi memastikan masa depan yang sihat sejahtera.

Sebagai penutup kata pemanis bicara, jelaslah bahawa ibu bapa merupakan perancang utama dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan mereka. Amalan kebersihan ini amatlah penting bagi seseorang individu, sekumpulan masyarakat dan sesebuah negara. Sebuah negara yang maju dan proaktif berakarkan masyarakat mereka yang sihat dan cergas dan mereka ini pula mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Untuk itu, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak supaya kebersihan diamalkan bagi melahirkan sebuah generasi yang sihat dan positif pasa masa hadapan. Perkara ini amat disokong oleh tokoh politik yang disegani di mata dunia, Nelson Mandela yang berkata, jika hendak lihat sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya. Konklusinya, nilai kebersihan merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan dan ia perlu diterapkan dalam diri setiap insan.

4 comments: