SUSUNAN AYAT SONGSANG
Susunan biasa ayat dalam bahasa Melayu ialah subjek + predikat. Ayat songsang pula terbentuk daripada proses transformasi ayat biasa. (subjek + predikat) . Penyongsangan dapat dilakukan melalui proses pendepanan bertujuan memberikan penegasan kepada predikat.
Pendepanan seluruh predikat.
Cikgu Hanif / berfikiran kreatif. (susunan biasa)
Berfikiran kreatif / Cikgu Hanif. (susunan songsang)
Proses pendepanan berlaku juga pada ayat yang mengandungi kata penegas. (-lah, -tah, dan –kah)
Ibu saya / dia. (susunan biasa – ibu saya sebagai subjek)
Dialah / ibu saya. (susunan songsang)
Dia / ibu saya. (X = dari segi susunan ayat songsang. Ayat ini gramatis dalam ayat susunan biasa tetapi subjeknya ‘Dia’)
Pendepanan sebahagian daripada predikat.
(a) Pendepanan Frasa Kerja
i. Pendepanan kata kerja:
Ramli bekerja setiap hari. (susunan biasa)
Bekerja setiap hari Ramli. (susunan songsang)
ii. Pendepanan frasa kerja dengan objek.
Zaleha membaca buku. (susunan biasa)
Membaca buku Zaleha. (susunan songsang)
iii. Pendepanan kata kerja dengan kata bantu.
Murid-murid itu masih makan. (susunan biasa)
Masih makan murid-murid itu. (susunan songsang)
b) Pendepanan Frasa Adjektif
i. Pendepanan kata adjektif sahaja.
Ramli rajin. (susunan biasa)
Rajin Ramli. (susunan songsang)
ii. Pendepanan kata adjektif dengan kata bantu.
Rumah Kak Zue masih teguh. (susunan biasa)
Masih teguh rumah Kak Zue. (susunan songsang)
iii. Pendepanan kata adjektif dengan kata penguat.
Encik Zaidi sangat segak. (susunan biasa)
Sangat segak Encik Zaidi. (susunan songsang)
iv. Pendepanan kata adjektif, kata bantu dengan kata penguat
Haji Nasser masih segak amat. (susunan biasa)
Masih segak amat haji Nasser. (susunan songsang)
c) Pendepanan Frasa Sendi Nama
i. Frasa sendi nama sebagai predikat.
Rantai emas itu untuk ibu. (susunan biasa)
Untuk ibu rantai emas itu. (susunan songsang)
ii. Frasa sendi nama sebagai keterangan dalam predikat.
Penonton-penonton merempuh masuk ke dalam dewan. (susunan biasa)
Ke dalam dewan penonton-penonton merempuh masuk. (susunan songsang)
bagusnya.. mudah utk difahami..terima kasih ckgu..
ReplyDeleteterima kasih banyak2.
ReplyDelete