Oleh: AZMAN ANUAR (Wartawan Utusan)
Rakyat berasa teruja apabila Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberikan perhatian yang luar biasa dalam memperjuangkan martabatkan bahasa Melayu sejak tahun lalu lagi.
Kita tentulah bimbang jika lambat-laun masyarakat berbilang kaum negara ini mulai mengabaikan bahasa rasmi negara.
Hakikatnya, kita sedang berdepan dengan cabaran yang bukan sahaja menyebabkan kita ragu-ragu, malah kita juga menanyakan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Secara jujur, kita berada dalam dilema.
Kita tidak mahu dalam mengejar zaman teknologi maklumat dan komunikasi, bahasa Melayu dipinggirkan oleh rakyat. Kita harapkan gerakan untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang akan diberi suntikan, hala tuju dan nafas baru ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Zaman berubah maka pendekatan perjuangan juga harus berubah.
Ingat bagaimana bersemangatnya orang Melayu berkobar-kobar ketika bangkit mempertahankan kedaulatan Bahasa Kebangsaan untuk dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketika itu `Keranda 154' diusung sebagai simbolik jika bahasa Melayu cuba ditentang atau diketepikan - itu semangat tidak mahu bahasa Melayu dikuburkan.
Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semangat mendaulatkan Bahasa Kebangsaan kian lesu. Semakin banyak pihak yang tidak peduli penggunaan bahasa yang betul.
Isu bahasa pertuturan yang bercampur aduk masih didebatkan. Tetapi kesalahan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda atau iklan perlu diberi tanda noktah.
Kesilapan bahasa sama ada dari segi penggunaan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu yang betul, termasuk sistem ejaan, pemilihan kata, pengolahan ayat ataupun mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris banyak berlaku atau dipamerkan di tempat umum. Jika kesalahan ini tidak dicegah dengan segera, ia akan mencemarkan maruah bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Alasan biasa seperti sasaran iklan atau maklumat ditujukan kepada kaum yang memahami atau boleh membaca catatan tersebut tidak wajar dilayan lagi.
Berleluasanya papan iklan yang langsung tidak menghormati Bahasa Kebangsaan ini, mungkin ada kaitan dengan sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.
PBT di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipimpin oleh menteri bukan Melayu maka kita faham `kekurangannya' dalam memberi keutamaan terhadap soal memartabatkan bahasa Melayu. Tetapi majoriti pengarah dan pemimpin PBT adalah Melayu sepatutnya peka dan sedar tentang kecelaruan penggunaan bahasa Melayu yang menghiasi bangunan dan jalan raya di kawasan pentadbiran masing-masing.
Jangan disebabkan lesen sudah dibayar maka pemasangan iklan dengan bahasa yang memalukan dibiarkan. Malah ada yang sudah bertahun-tahun terpampang namun untuk PBT menegur dan mengarah ditukar, belum nampak dilakukan.
Usah biarkan tanggungjawab untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan ini diserah bulat-bulat kepada DBP. Jika DBP bersuara lantang pun apa maknanya jika mereka tiada gigi dan taring untuk `menggigit' pihak yang enggan mematuhi peraturan bahasa Melayu.
Jika pemimpin kerajaan, PBT, DBP, pejuang dan pencinta bahasa serta rakyat sayangkan bahasa Melayu dan benar-benar ingin menyelamatkannya, kita harap ia jangan setakat bercakap sahaja. Satu tindakan benar-benar berani dalam `mengajar' pihak yang ingkar perintah menghormati Bahasa Kebangsaan harus dilakukan.
Episod sedih dan memalukan dalam cabaran memartabatkan Bahasa Kebangsaan ini perlu diubah. Kerajaan melalui kenyataan Hishammuddin telah memberi isyarat jelas bahawa sebarang akta atau dasar berkaitan bahasa Melayu tidak akan teragak-agak untuk dipinda.
Dalam hal ini adalah wajar jika Akta DBP dipinda. DBP tidak boleh lagi diletakkan dalam dilema pada mata umum. DBP mempunyai tanggungjawab untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu tetapi tidak dapat mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mempersenda atau mencemarkan penggunaannya.
Akta DBP tidak membenarkan ia bertindak lebih jauh. Jadi tugasnya terhenti separuh jalan. Barangkali undang-undang yang ada pada PBT jika dianggap kurang berkesan untuk menguatkuasakan pematuhan terhadap penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul, maka buatlah pindaan.
Usaha atas apa nama sekalipun sama ada memperkasa, mendaulat atau memartabatkan Bahasa Kebangsaan tidak patut berjalan hangat-hangat tahi ayam. Malah kita percaya masyarakat majmuk negara ini bukan tidak boleh dilentur supaya menghormati dan memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
Biasanya cara lisan memang sukar untuk melentur pendirian liat masyarakat negara ini untuk menghormati penggunaan betul bahasa Melayu. Alasannya ialah `sudah biasa.' Justeru pindaan yang hendak dibuat perlu dimasukkan unsur denda sehingga mereka akur.
Jika masyarakat Melayu atau bukan Melayu berasa bahasa Melayu tidak ada kelas untuk digunakan dalam segala urusan harian maka kita harus peringatkan mereka. Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan jati diri bagi bangsa Malaysia.
No comments:
Post a Comment