Monday, October 31, 2011

Usaha-Usaha Menangani Kenaikan Harga Barangan

Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 54 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, justeru kita masih tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi,negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita bahawa apakah yang dimaksudkan dengan inflasi?Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remehbagai melepaskan batuk di tangga dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.

Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan Kempen Berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.Memetik kata-kata azimat Lootze, “kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia kea rah kebinasaan”. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya amalan murni ini dapat dijadikan agenda perdana dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Yang afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiriibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi dalam berbelanja dengan mengikut hawa nafsu. Peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menggamit khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa Kempen Berhemat merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.

“Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka. Namun, terkadang kita melihat dan menyesali pintu yang tertutup tersebut terlalu lama sehingga tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka”. Kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat sengaja dipetik bagi menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea,fokus perbincangan ini akan ditumpukan pada peranan organisasi bukan kerajaan atau NGO seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP yang mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan yang semakin parah. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Deduksinya, organisasi seperti ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih,serumpun bak serai dan berpegang pada falsafah Confusius,“Apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama”.

Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa “Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong”. Kata-kata ini memang berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak kerajaan seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak kerajaan.Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasika seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat menggerunkan golongan peniaga. Tamsilnya, mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali.

“Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu’. Persis kata mutiara Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.Hakikatnya, media massa menggalas kewajipan dalam menangkis masalah inflasi.Sebagaimana yang kita ketahui, ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih berada di takuk lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang demikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan bantuan pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada organisasi seperti FOMCA dan CAP supaya hak mereka dapat dipertahankan.Tuntasnya, para pengguna, terutamanya suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dalam memperjuangkan hak mereka.

Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh bahawa segenap lapisan masyarakat mesti menggembleng tenaga bersama-sama untuk mengekang kenaikan harga barangan sehingga ke akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh,kita tidak ajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana pepatah Melayu ada menyebut, yang bulat tak datang bergolek,yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua masyarakat haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Dengan itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat bukan lagi angan-angan mat jenin

Usaha-Usaha Membantu OKU

Orang Kurang upaya merupakan orang yang kurang bernasib baik.Mereka dilahirkan dalam keadaan cacat atau mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU).

Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta tidak memandang hina OKU. Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan ingin dihargai,disayangi dan dihormati oleh masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak memandang sebelah mata serta tidak mentertawakan apabila berhadapan dengan golongan tersebut. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati OKU.

Selain itu, pihak kerajaan boleh menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan kemahiran kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana .pendidikan dan kemahiran sangat penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas patut dipuji..Jelaslah bahawa, pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak ,’Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan’.

Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan OKU menjalani kehidupan yang lebih baik. Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan jangan menganggap OKU sebagai beban.Sebagai contoh, usaha murni pengusaha pusat beli-belah yang menyediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas, tandas dan tempat letak kenderaan amat dihargai. Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini perlu dicontohi.

Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan maklumat peluang pendidikan dan kerjaya bagi OKU. Setiap maklumat mestilah disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa kepada orang ramai. Kempen Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa, maklumat boleh disalurkan melalui iklan,kempen,dan melalui drama. Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa.

Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu mempunyai tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan OKU semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang bantuan, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pendek kata, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk membantu OKU. Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU.

Kepentingan Makanan Seimbang

Dasawarsa, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Sejak dua dan tiga dekad belakangan ini kita dapat menyaksikan lambakan jenama makanan yang memenuhi pasaran. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa makanan yang kita nikmati akan membentuk fizikal, mental waima keperibadian seseorang.

Sebagaimana yang kita ketahui, makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan manusia yang amat memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan penjagaan kesihatan. Media massa turut berperanan menggalakkan pengambilan makanan seimbang dalam kalangan masyarakat. Kendatipun demikian, kita seharusnya memastikan pengambilan makanan yang seimbang mampu membawa kemaslahatan kepada setiap lapisan masyarakat.

Pada realitinya memang tidak dapat dinafikan bahawa pemakanan seimbang mampu menjadi faktor dominan yang merangsang tumbesaran seseorang itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Bagi membina tubuh badan yang kuat dan kudrat tulang empat kerat yang berfungsi dengan sempurna, kita memerlukan zat yang mencukupi. Antara zat yang diperlukan oleh tubuh badan ialah protein, karbohidrat dan kalsium. Berdasarkan petikan hadis yang berbunyi, “Jagalah masa sihat kamu sebelum datang masa sakit…” jelas menyatakan bahawa kesihatan merupakan aset yang paling bernilai dalam hidup. Tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas membolehkan seseorang manusia itu mampu melunaskan amanah yang terpikul di pundak mereka dengan begitu lancar dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang amat penting bukan sahaja untuk tumbesaran fizikal manusia malahan turut menjadi agen penggerak yang paling efektif bagi memastikan kesejahteraan berkekalan.

Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, kepentingan pemakanan seimbang yang menunjangi perkembangan mental seseorang. Selain itu, pemakanan yang seimbang boleh mengelakkan perkembangan mental seseorang itu terganggu. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu terganggu dan mengalami pelbagai kemudaratan. Keadaan ini juga menyebabkan kita mudah berasa letih. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah sekiranya seseorang kekurangan sumber vitamin c dan zat yang penting, mereka akan menghadapi masalah daya ingatan. Hal ini juga menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Sudah terang lagi bersuluh, pemakanan seimbang menjadikan pemikiran manusia lebih stabil dan berdaya tahan persis cogan kata badan sihat otak cerdas.

Kita mengakui hakikat bahawa, pemakanan seimbang juga dapat membekalkan vitamin yang cukup kepada badan seseorang. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih sihat dan cergas. Sebagai contoh, vitamin c amat diperlukan untuk kesihatan kulit. Vitamin ini sangat mustahak untuk tulang dan gigi, untuk pembuluh darah, dan penyembuhan luka. Vitamin C juga membantu dalam proses metabolisme beberapa jenis asid amino dan hormon. Keseimbangan vitamin ini turut mengandungi antioksida, dengan membantu badan mengeluarkan kumuhan karcinogenik hasil dari proses metabolisme yang digelar sebagai radikal bebas. Antara pemakanan seimbang yang terdapat dalam piramid makanan ialah buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. Oleh itu, keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan manusia lebih sihat.

Pengambilan makanan seimbang juga dapat mengelakkan seseorang daripada dijangkiti penyakit. Dengan cara ini,seseorang itu tidak mudah dijangkiti penyakit. Penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi dapat dielakkan.Hal ini bersesuaian dengan peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan sihat sepanjang hayat.

Pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti (kegemukan) dalam kalangan masyarakat . Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup berkhasiat. Pengawalan pemakanan sebegini menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.

Sudah terang lagi bersuluh, makanan seimbang amat penting kepada setiap orang. Oleh itu, kita perlu mengambil makanan yang seimbang agar kesihatan kita terjamin. Jika kita masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua merancang prakarsa yang pragmatik.

Friday, October 28, 2011

Peranan Remaja Untuk Mengekalkan Budaya Warisan

Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis.
Sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.


Pendahuluan:
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas – warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi – kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara – Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa – remaja seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita
Isi-isi:
(1) Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional – menyertai aktiviti dalam kelab tersebut – saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia – tak kenal maka tak cinta – menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita – warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi – di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
(2) Anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya – kita akan memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang banyak daripada amalan tersebut – kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut – anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur – pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat mengelakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial – warisan dan amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga – tidak menconteng arang di muka ibu bapa kita
(3) Golongan pelajar seperti saya sewajarnya memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional – pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya – memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan – pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional – bangga jika busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia – harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang
(4) Kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaan makanan tradisional – Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini – nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan sebagainya – makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda
(5) Peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya juga jelas menunjukkan kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka – golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan yang baik kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia – membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau – mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita - menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka
Penutup:
Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan – arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar – warisan kita tanggungjawab kita – kita harus mengekalkan warisan nenek moyang kita –menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain – Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!