Thursday, October 6, 2011

Peranan Remaja Untuk Menjayakan Wawasan Negara

Remaja terdiri daripada golongan muda yang berusia 13 tahun hingga 18 tahun. Remaja memainkan peranan penting dalam memajukan negara dan golongan inilah yang mudah terpengaruh dengan gejala sosial. Dalam hal ini, pelbagai pihak perlu berusaha untuk memastikan remaja kini dapat memainkan peranan dalam menjayakan wawasan negara iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020

(APA)Remaja perlu belajar bersungguh-sungguh. (MENGAPA)Hanya dengan pelajaran sahajalah,seseorang itu boleh mengubah nasib dirinya,keluarga,masyarakat dan juga negara. Tanpa ilmu pengetahuan,remaja tidak boleh mencipta rekaan-rekaan baru dan dengan ini kita masih bergantung kepada negara luar dari segi teknologi. Remaja sepatutnya modal insan cemerlang yang boleh mereka cipta sesuatu kerana remaja perlu menjadi penyumbang teknologi, bukannya pengguna teknologi semata-mata.(BAGAIMANA) Remaja perlu menumpukan perhatian semasa belajar, membuat tugasan yang diberi oleh guru dan merebut peluang untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi.(CONTOH)

Selain itu, (APA)remaja perlu menjauhkan diri daripada terjebak dalam masalah sosial. (MENGAPA)Janganlah melibatkan diri dalam vandalisme,gengsterisme,peras ugut dan penyalahgunaan dadah. Kesemua gejala ini akan merosakkan diri remaja itu dan memalukan keluarga. Kerajaan pula terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menyelesaikan masalah ini. (BAGAIMANA)Alangkah baiknya jika remaja menggunakan masa yang terluang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku dan mengumpul setem. Lantaran itu,remaja yang berwawasan perlu menghargai masa dengan sebaik-baiknya kerana masa itu emas.

Di samping itu, (APA)remaja juga perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang negara agar negara aman dan rakyat dapat hidup dalam harmoni.(MENGAPA) Apabila remaja mengamalkan sikap yang terpuji dan tidak melanggar undang-undang negara,barulah segala wawasan negara dapat dijalankan dengan sempurna. (BAGAIMANA)Remaja juga perlu menjayakan segala program yang dianjurkan oleh kerajaan. Remaja sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada adik-adik mereka dengan berusaha bersungguh-sungguh bagi menjayakan kempen-kempen seperti Kempen Anti merokok,Kempen Cintailah Sungai Kita dan Kempen Galakan Membaca. Remaja yang menjadi tonggak negara akan dapat memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara.

Dalam usaha menjayakan wawasan negara, (APA)remaja boleh memberikan sumbangan tenaga dan idea yang berterusan agar aspirasi negara untuk menjadi negara maju akan terlaksana. (BAGAIMANA) Untuk mencapai hasrat itu remaja yang berwawasan perlu banyak membaca bahan-bahan berbentuk pengetahuan dan berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri dari pelbagai aspek seperti pengetahuan ICT yang membolehkan mereka memperoleh pengetahuan tanpa batasan menerusi internet. Mereka boleh bertukar-tukar idea dengan remaja dari negara lain dan seterusnya boleh menjana idea untuk menjayakan wawasan negara.

Konklusinya,remaja memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara. Remaja yang berkualiti merupakan pemangkin kecemerlangan negara.Oleh itu,marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk mewujudkan remaja yang benar-benar berwawasan, berdedikasi dan berketerampilan dan akhirnya negara kita akan maju setanding negara maju yang lain.

Kebaikan Membeli Barangan Buatan Tempatan

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan membeli barangan buatan tempatan. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Sejajar dengan landaan gelombang globalisasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan paradigm ke arah menggapai hasrat sebagai negara maju. Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-agungkan barangan import sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak watan Malaysia seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai menyelam sambil minum air sekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah kemaslahatan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan tempatan?

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di pasaran kasut di Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai jaminan dari kualiti barangan, Secara tidak langsung, kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekali gus meningkatkan imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia.

Tidak ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat sekiranya sikap sering mengagung-aguungkan barangan buatan tempatan yang luhur ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan duri ini, rakyat Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang tipis bak senipis kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan buatan tempatan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa sebenarnya “Malaysia Boleh” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara “kalau masih rebung, mudah dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi.” Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, “membeli barangan buatan tempatan merupakan teras kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri.” Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan import yang terkenal di seantero dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang daripadanya. Hal ini dapat merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan dalam pembelian barangan buatan tempatan dapat membantu merancakkan industri tempatan secara tidak langsung. Deduksinya, kita dapat memajukan industri tempatan supaya dapat mencapai aspirasi negara menjadi negara industri.

Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan kepada seluruh strata masyarakat bak peribahasa “bagai serampang dua mata” dan “bagai makan menanak nasi.” Oleh hal yang demikian, segenap lapisan masyarakat mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus lumus untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama ini. Wahai, anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!
[610 patah kata]

SUMBER : PANEL PERUNDING BAHASA MELAYU JPNJ

Wednesday, October 5, 2011

Jadual waktu SPM 2011

Klik pada gambar untuk muat turun JADUAL SPM 2011

Peranan Ibu Bapa Dalam Melahirkan Masyarakat Penyayang

Perasaan saling menyayangi dan hormat-menghormati sesama ahli keluarga dapat membentuk keluarga penyayang. Berikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa dalam melahirkan individu yang penyayang.

FOKUS JAWAPAN: HANYA PERANAN IBU BAPA SAHAJA YANG PERLU DIBINCANGKAN


Nama pelajar : Ng Wan Yi

Tingkatan : 5 Amal

Anak –anak diibaratkan kain putih yang suci dan kudus manakala ibu bapa merupakan pencoraknya. Ibu bapa merupakan orang yang terdekat kepada anak-anak. Justeru itu, ibu bapa harus mengemudi amanah yang mustahak dalam menentukan kehidupan anak-anak yang sewarna pelangi atau semalap gelap. Kesedaran tentang kepentingan masyarakat penyayang terhadap sesebuah negara yang sedang membangun atau sudah membangun terpahat dalam sanubari kita. Hal ini demikian kerana perasaan saling menyayangi dan hormat menghormati dalam masyarakat dapat menjamin perpaduan yang mengundang kemajuan dan kemakmuran negara. Tanpa masyarakat penyayang, negara Jalur Gemilang mempunyai kemungkinan besar tercetus peperangan yang dahsyat. Dengan ini, rakyat akan hidup dalam kesengsaraan dan kehimpitan daripada segi fizikal dan emosi. Persoalan yang menerjah benak kita, apakah peranan ibu bapa dalam melahirkan masyarakat penyayang.

Sebagai mukadimah dan lontaran idea dominan, peranan ibu bapa dalam menzahirkan anak-anak yang penuh dengan kasih sayang adalah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengimplementasikan tingkah-laku yang berunsur positif di dalam rumah mahupun di luar rumah kerana bapa borek anak rintik. Anak-anak akan mengikut jejak dan mencontohi gelagat ibu bapa kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa yang bersikap ganas mustahil dapat menzahirkan zuriat yang kamil dan soleh. Sebagai tamsilannnya, ibu bapa haruslah menyayangi ahli keluarga termasuklah datuk dan nenek yang uzur, saudara-mara dan anak-anak yang diibaratkan sebagai mutiara ibu bapa. Semasa berborak atau bercakap dengan orang tua mereka, ibu bapa haruslah menggunakan nada yang lembut. Ibu bapa juga perlulah menghormati dan dan menuruti arahan serta suruhan orang tua mereka.Ibu bapa janganlah menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dan janganlah meminggirkan mereka. Ironinya, ibu bapa haruslah tinggal bersama-sama dan berusaha memberikan kehidupan yang paling selesa untuk mereka. Jika tidak, anak-anak juga akan membuang ibu bapa ke rumah orang-orang tua dan mengalpakan jasa ibu bapa mereka.Sikap kacang lupakan kulit mestilah dikikis. Selain itu, ibu bapa juga perlulah bermesra dengan jiran tetangga dan saudara mara dengan cara sering bertegur sapa. Dengan ini tali silaturahim sesama tetangga dan keluarga dapat dipererat. Secara ringkasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak agar dapat melahirkan individu yang penyayang.

Sebagai meniti perbincangan di atas, idea tentang tanggungjawab ibu bapa dalam melahirkan anak-anak yang mempunyai sifat penyayang adalah dengan mencurahkan belaian kasih sayang terhadap anak-anak. Anak-anak haruslah dipelihara seperti menatang minyak yang penuh iaitu ibu bapa memberi kasih sayang yang mencukupi kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak bukanlah haiwan robotik yang tidak mempunyai perasaan. Mereka memerlukan perhatian daripada ibu bapa kerana tiadalah sesiapa yang tidak asyik manja dengan ibu bapa. Malangnya, ibu bapa pada masa ini hanya mengejar kemewahan dan kebendaan duniawi sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki iaitu menjaga anak-anak. Mereka menganggap kewangan dan status masyarakat sebagai priority dalam kehidupan. Ibu bapa patutlah sentiasa meluangkan masa untuk mendampingi anak-anak. Ibu bapa haruslah menjadi pendengar cerita anak-anak yang paling setia. Ibu bapa haruslah memberikan bantuan kepada anak-anak apabila berdepan dengan masalah seperti masalah pertelingkahan dengan rakan. Ibu bapa mestilah memberi nasihat dan mengajar mereka tentang kepentingan sifat penyayang dalam masyarakat. Selanjutnya ibu bapa juga hendaklah mengelakkan diri daripada pertelingkahan dan perselisihan faham dengan anak-anak. Hal ini kerana anak-anak akan mudah terpengaruh. Lazimnya anak-anak yang bermasalah terbabit dalam vandalisme, kongsi gelap dan pergaduhan dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda. Kepincangan keluarga diibaratkan sebagai neraka. Tuntasnya, ibu bapa haruslah menggalas tanggungjawab mereka untuk memberikan kasih saying kepada anak-anak. Ingatlah, kebahagiaan hidup anak-anak terletak di telapak kaki ibu bapa.

Sementelahan pula, ibu bapa mestilah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak sejak mereka bertatih lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan moral dapat menentukan hala tuju anak-anak. Tanpa didikan agama dan moral yang kukuh, kehidupan anak-anak diibaratkan kapal tanpa nakhoda. Didikan agama dan moral memang mustahak dalam kehidupan seseorang kerana Tuhan yang kita sanjungi tidak akan menyuruh hamba-Nya melangkah ke kancah maksiat seperti lari dari rumah, bergaduh, gangtersisme dan tindak-tanduk yang berunsur negatif. Sebaliknya, Tuhan menyuruh hamba-Nya kearah kesusilaan dan ketertiban. Sebagai contohnya, Nabi Muhammad saw merupakan pesuruh Tuhan yang mempunyai sifat-sifat mulia lagi terpuji seperti bertoleransi, bersopan santun dan berfikiran panjang. Baginda amat disanjungi oleh masyarakat kerana menekankan kedamaian dan keamanan hidup. Dengan wujudnya didikan agama yang utuh, teladan-teladan Nabi Muhammad saw akan dicontohi oleh anak-anak. Selanjutnya anak-anak terutamanya remaja mudah terpengaruh dan tergoda oleh persekitaran mereka. Ibu bapa haruslah memberi didikan agama dan moral kepada anak-anak. Dengan ini anak-anak akan berakhlak mulia dan menyebati sifat penyayang dalam sanubari. Ibu bapa juga perlu rajin mengajar anak-anak untuk menunaikan solat dan berdoa agar keselesaan serta kebahagiaan hidup terjamin. Konklisinya, didikan agama dan moral haruslah diberikan kepada anak-anak untuk membajai sifat penyayang dalam jiwa mereka.

Memang tidak dapat ditepiskan, pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak merupakan amanah ibu bapa yang afdal dalam melahirkan individu yang penyayang. Ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak-anak. Mereka boleh memperoleh maklumat tentang gelagat anak-anak daripada saudara-mara, guru-guru serta jiran tetangga. Ibu bapa juga perlu mengenali rakan-rakan anak supaya anak-anak tidak dieksplotasi oleh rakan-rakan yang negatif. Ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak untuk memilih rakan sebaya yang baik kerana hanya jauhari yang mengenal manikam. Anak-anak mestilah pandai memilih sahabat kerana bergaul dengan orang jadi orang, bergaul dengan hantu jadi hantu. Anak-anak canda terpengaruh oleh rakan-rakan. Mereka menganggap rakan-rakan mereka sebagai pendengar paling setia. Hal ini demikian remaja memang kecetekan pengalaman hidup. Di samping itu, ibu bapa harus mengawasi anak-anak semasa mereka melayari laman web. Laman web yang berunsur pornografi akan menyebabkan remaja terjebak dalam kancah negatif dan menjadikan remaja seorang yang ganas. Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak menonton rancangan yang mengandungi unsur kasih sayang seperti program-program kekeluargaan yang disiarkan di kebanyakan saluran televisyen. Deduksinya, pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak memang penting dalam melahirkan anak-anak yang saling menyayangi.

Seterusnya ibu bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam program-program kemasyarakatan. Ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak bersama-sama dalam program kemasyarakatan yang disertai oleh mereka. Semua program kemasyarakatan bertujuan mendidik masyarakat agar prihatin akan kesusahan orang lain.Program kemasyarakatan tidak hanya menjurus kepada kebajikan sesama manusia tetapi juga kepada haiwan dan alam sekitar. Ibu bapa boleh juga melibatkan anak-anak menyertai program kemasyarakatan tanpa perlu keluar dari rumah. Sebagai contoh mengajak anak-anak bersama-sama menonton rancangan-rancangan berkonsepkan kemanusiaan seperti Bersamamu anjuran TV3 mampu mengusik jiwa anak-anak untuk menghulurkan bantuan dengan hanya menekan butang telefon bimbit untuk memberi sumbangan. Persis peribahasa Melayu iaitu berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, dengan bantuan yang sedikit dapatlah kita membantu mereka yang di dalam kesusahan. Selain itu, ibu bapa yang menganggotai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Aman Palestin boleh meminta bantuan anak-anak untuk bersama-sama mendapatkan sumbangan bagi membantu masyarakat yang tertindas di negara tersebut. Sesungguhnya, penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan dapat mendidik jiwa anak-anak menjadi prihatin dan peka akan keadaan sekeliling dan menjadi insan yang suka membahagiakan semua orang.

Sudah tibanya masa untuk mata pena berakhir disini, peranan ibu bapa dalam menzahirkan anak-anak yang penyayang tidak dapat dinafikan. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kehidupan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah menjadikan diri mereka sebagai suri teladan yang terbaik kepada anak-anak. Ibu bapa juga wajiblah mencurahkan kasih sayang kepada anak serta memantau anak-anak. Ingatlah tangan yang menghayun buaian itu mampu melahirkan anak-anak yang penyayang. Masyarakat penyayang pada hari muka bergantung kepada remaja pada masa ini persis kata-kata Nelson Mandela iaitu “ jika ingin melihat kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang maka lihatlah pada pada generasi muda yang mereka miliki”.