Friday, May 6, 2016

KARANGAN- CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN

TEMA
REMAJA BERWAWASAN
TUGASAN SOALAN
CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN
ARAS
CEMERLANG 
  
            Remaja pada masa ini merupakan angkatan muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam menempuh milenium yang sarat dengan cabaran reformasi ini,  ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul penting untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi melahirkan remaja yang mempunyai  ciri-ciri remaja yang berwawasan.
            Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang insane yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang mana kaca, yang mana permata, bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
            Selain itu, remaja berwawasan sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Remaja yang berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata ‘semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui’. Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan juga merupakan ciri yang vital dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan sentiasa gigih untuk menggapai gamitan menara impian. Sudah tentulah budaya pesimistik dan culas dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun yang diamalkan oleh remaja berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan akan gigih berusaha menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan perkara yang bermanfaat  dan berfaedah kerana masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi dengan perkara yang mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau melakukan ibadah kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata pedang itu akan  memenggal kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan ciri remaja berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik negara serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara. Remaja yang berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut seruan ‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
            Tuntasnya, semua pihak haruslah bergabung tenaga melahirkan remaja yang berwawasan agar Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh pojok dunia pada masa hadapan.                                                                                    



                                                                                                                                                     

USAHA-USAHA INDIVIDU (ANDA) MEMUPUK AMALAN MEMBACA

USAHA-USAHA INDIVIDU (ANDA) MEMUPUK AMALAN MEMBACA




Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh mereka lakukan khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan. Namun begitu, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara kata “yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan maufakat” untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, sebagai seorang pelajar dan remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan amalan membaca itu amalan hidup.

Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada, Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai jenis perpustakaan, tamsilnya perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di perpustakaan yang dikunjungi, saya dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca walaupun memaklumi bahawa perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat diteroka. Walaupun sekadar membaca sebuah buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ bertepatan dengan kata peribahasa sambil menyelam minum air. Ternyata pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa terdorong untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, amat bersesuaian untuk saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan membaca. Kata-kata hikmat  di atas akan diperjelaskan serta dibahaskan dari perspektif menyediakan sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa perubahan diri sendiri merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan membaca sebagai amalan dalam kehidupan. Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah untuk kegunaan semua ahli keluarga. Situasi ini akan menggalakkan serta mendorong kami sekeluarga supaya berjinak-jinak dengan bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan dalam minda setiap anggota keluarga. Sementalahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya bed story” sebelum tidur.  Neville Black, seorang ahli falsafah Barat, berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah aset yang paling dominan sekiranya kita ingin bersaing dengan pihak lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas pertama. Berdasarkan perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan membaca dalam diri sekali gus menjadi suri teladan kepada adik-adik saya.

            Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini, saya perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku NILAM. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam program ini juga terdapat tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya pelajar lain juga akan turut sama menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup mereka. Apa yang pasti, segala keinginan untuk meningkatkan jumlah bahan bacaan yang dibaca perlu lahir daripada diri saya tanpa wujud paksaan daripada pihak lain. Dalam hal ini, saya amat berpegang kepada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, sekiranya seseorang itu sendiri tidak mahu mengubahnya.

            Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana, saya akan mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam pameran-pameran seperti inilah saya dapat membeli buku dengan harga yang murah dan berpatutan dan membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di pameran tersebut. Terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsisi buku-buku yang dijual. Dengan ini, saya dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut sebelum membuat pilihan untuk membelinya. Justeru, saya bukan sahaja dapat membaca secara percuma, malah dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga. Dengan mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau kedai buku, saya akan mengenali lebih ramai rakan yang berkongsi minat yang sama iaitu membaca. Peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan amat bersesuaian dengan perkara dan situasi yang saya bincangkan di atas.

            Seterusnya, saya juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga bercorak santai seperti Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah saya boleh mendapatkan buku atau majalah tersebut? Saya boleh melanggannya melalui internet atau meminta bantuan  guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya, saya akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Dalam hal ini, saya akan menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis novel tersohor, Sharifah Abu Salem. Apabila saya menjadikan mereka sebagai idola, saya akan sentiasa terdorong untuk melanggan pelagai buku di pasaran sekali gus menjadikan membaca sebagai rutin hidup saya.

            Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi perkembangan dan kemajuan dengan menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian, untuk meneruskan perjuangan kita merealisasikan hasrat membentuk ”negara pembaca teras negara maju’. Saya juga berperanan penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang minat membaca. Pada dasarnya, media massa sebagai arus perdana yang berpengaruh sama ada media cetak atau media elektronik sentiasa mengadakan pertandingan atau aktiviti malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok negara untuk memupuk minat membaca dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, saya perlu menyertai aktiviti seperti sayembara, menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli keluarga untuk menyertai kempen ”Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan” bersama-sama. Hal ini diibaratkan sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.


Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana bertepatan dengan kata-kata  pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah dibiarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara yang sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan ’Membaca Jambatan Ilmu’ dan ’Rakyat Membaca, Bangsa Berjaya’ seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak. Generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam tempoh lapan tahun mendatang.

KARANGAN : AKTIVITI-AKTIVITI MEMUPUK PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA



Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain , namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni “Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.


Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah terbuka juga boleh dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.

Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum.

Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaa . Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan pemuda-pemuda yang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.

Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum.