Tuesday, February 21, 2012

Disiplin Teras Kejayaan


Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat dinamik, madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan negara-negara gergasi seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah masyarakat yang progresif, berketrampilan serta sakinah.

Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat 20 A dalam peperiksaan awam. Beliau tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya, disebabkan kerajinan, kegighan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggilah yang menjadi punca kejayaan bak kata pepatah, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Jelaslah bahawa disiplin merupakan formula yang paling manjur untuk anak watan ini berjaya di menara gading.


Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa memikul tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga mestilah menunjukkan tauladan yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi anak-anak bak kata peribahasa, ‘bagaimana acuannya, begitulah kuihnya’. Malahan, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya, ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia dan melahirkan anak yang penuh dengan sifat mahmudah.

Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk datang ke tempat kerja. Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan amah terhadap duit-duit yang dipegangnya. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam pepatah ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan disiplin diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.

Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan. Secara tidak langsung, kadar kalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi semasa musim perayaan dapat dikurangkan. Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, ‘pandu cermat, jiwa selamat’.

Di samping itu, sebagai pengguna kita mestilah bijak berbelanja. Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya internet, masyarakat dapat membeli dan berbelanja dengan kemudahan yang terletak di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naïf dengan mata kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja mengikut hawa nafsu dan bukannya keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat dan bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri daripada berhutang dengan bank atau lintah darat. Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu dan berlatih untuk mendisiplinkan diri pasti dapat mengecapi kehidupan yang sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa ‘ beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis’.

Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di seluruh pojok dunia. Oleh itu, marilah kita bergabung sinergi dan mengambil langkah sederap untuk mengotakan iltizam serta aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba.

Latihan Pahlawan Buntung

SET 1 – PAHLAWAN BUNTUNG
Soalan 2(b)
– Petikan Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Dalam keadaan kami diselubungi oleh raksasa ketakutan dan putus asa, tiba-tiba Pak Husain menjongol dalam lingkungan kami di Kampung Dal. Tiap-tiap kami berasa bahawa kehadirannya bersama-sama cerita yang dibawanya, tanpa disedarinya telah memanjatkan gelaran `pahlawan` kepadanya. Ceritanya begini: Waktu kami akan berangkat meninggalkan pangkalan, Pak Husain dalam perjalanan kerana memeriksa barang-barang rumahnya. Dengan tiba-tiba dia dicegat oleh dua orang tentera Jepun. Rupa-rupanya Jepun itu boleh berbahasa Melayu. Dia kenal orang Melayu. Dengan senapangnya, dia memaksa Pak Husain menguburkan mayat-mayat tentera dan orang mati. Ketika beberapa orang Jepun itu mahu mencari orang-orang kampung, Pak Hussain menyatakan semuanya sudah lari. Sekaliannya sudah pindah. Akibat daripada sikapnya yang berani itu, Jepun tidak turun ke pengkalan. Pak Husain dipaksa menggali kubur besar. Mayat-mayat yang berpuluh-puluh (di pantai Pak Amat sahaja) dikuburkan beramai-ramai. Dia bekerja sehari suntuk. Darah menyimbah ke seluruh badannya. Dia seorang diri. Hingga menjelang senja (dia pun diberi makan biskut dan air oleh tentera Jepun), dia meminta kepada tentera yang pandai berbahasa Melayu itu, mahu membuang air besar. Ketika itulah dia mengambil peluang untuk melarikan diri. Pak Hussain menyeberangi sungai ke Tuk Lukup. Dari Tuk Lukup dia berjalan kaki ke Sungai Gali.
(Dipetik daripada cerpen
“Pahlawan Buntung”, oleh S. Othman Kelantan,
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan
Pustaka)


(i) Apakah perkara-perkara yang terpaksa dilakukan oleh Pak Husain setelah bertembung dengan tentera Jepun.? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengenang jasa
pahlawan seperti Pak Hussain? Berikan tiga usaha. [3 markah]
(iii) Berikan dua latar tempat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan dua latar tempat lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut. [4 markah]

SKEMA JAWAPAN
SET 1 – PAHLAWAN BUNTUNG
Soalan 2(b)
– Petikan Cerpen
(i) Dua perkara yang dilakukan oleh Pak Hussain setelah bertembung dengan tentera
Jepun (2m)
1. Menguburkan mayat tentera dan orang mati.
2. Menguburkan berpuluh-puluh mayat seorang diri.
3. Gali kubur besar.
(ii) Tiga usaha untuk mengenang jasa Pak Husain. (3m)
1. Menulis jasa-jasa pahlawan seperti Pak Husain dalam bentuk media cetak dan media elektronik.
2. Memberikan pingat dan anugerah.
3. Memberikan bantuan untuk memulakan perniagaan
4. Mengadakan satu pertubuhan atau persatuan
5. Mewujudkan satu pertempatan untuk pahlawan yang cedera
(iii) Berikan dua latar tempat yang terdapat dalam petikan cerpen (4m)
1. Di pantai Pak Amat untuk menguburkan berpuluh-puluh mayat
2. Sungai untuk ke Kampung Tuk Lukup semasa melarikan diri
3. Sungai Gali semasa melarikan diri

Dua latar tempat lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.
1. Kampung Dal – tempat penduduk Kampung Pulau Pak Amat menumpang semasa perang
2. Pulau Tukang Dolah –kubu yang telah diserang dan ditawan oleh askar Jepun
3. Pulau Panjang -–kubu yang telah diserang dan ditawan oleh askar Jepun
4. Pengkalan Cepa –kubu yang telah diserang dan ditawan oleh askar Jepun
5. Di dalam perahu apabila penduduk kampung tersedar Pak Husain tiada dalam perahu.
6. Di kota semasa pertemuan Khalid dan Pak Husain untuk menyambut ulang tahun
kemerdekaan negara.