Sunday, September 25, 2011

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya

“Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”.

Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi ‘speed limit’ terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan dikawal secara ‘auto-pilot’ yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya.

Bak kata pepatah Melayu, “kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang” kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjad-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan katak-katak rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti ‘drift and drag’, gaya aerospace dan superman bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak JPJ semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.

Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika negara Beijing berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah.

Peranan Ibu Bapa Membentuk Masyarakat Yang Mementingkan Kebersihan

Mendepani arus era globalisasi ini, kebersihan menjadi salah satu elemen yang membawa kepada pelbagaijenis jangkitan di seluruh dunia. Saban hari, kita telah dinasihatkan supaya menjaga kebersihan diri agar kita tidak mudah dijangkiti penyakit melalui media massa dan juga media elektronik. Muasir ini, pumpunan mamlakat bukan sahaja tidak cakna dengan kebersihan persekitaran mereka bahkan kebersihan mereka sendiri. Disebabkan itulah jangkitan seperti H1N1, demam denggi dan lain-lain mudah merebak disebabkan oleh kealpaan masyarakat kini. Mantan Perdana Menteri malaysia Ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata ,"untuk melahirkan masyarakat yang sihat,aktif dan proaktif, kebersihan perlu dititikberatkan". Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan agar dapat melahirkan generasi yang sihat pada masa hadapan.
Peranan perdana yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan adalah dengan mendidik mereka sejak kecil mengenai nilai kebersihan. Dewasa kini, terdapat segelintir ibu bapa tidak menitikberatkan tentang nilai kebersihan pada anak-anak mereka. Bahkan ada juga ibu bapa yang berasakan bahawa anak mereka sudah dewasa dan dapat membezakan antara kebersihan dan kotoran. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita tidak tahu bila penyakit akan datang menyerang kita jka kebersihan tidak diamalkan. Disebabkan hal inilah ibu bapa perlu sedar bahawa kebersihan itu amat penting buat anak-anak bagi menjamin masa depan yang bersih,sihat dan harmoni. Seperti peribahasa "melentur buluh biarlah dari rebungnya", ibu bapa perlu mengamalkan prinsip ini dan mendidik anak-anak mereka tentang kebersihan seja kecil kerana apabila mereka ini sudah dewasa mereka akan menjadi lebih sukar untuk dididik. Tuntasnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak mereka tentang kebersihan di usia muda supaya nilai ini menjadi salah satu prinsip dalam diri mereka.

Peranan berikutnya, ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan buat anak-anak mereka dalam mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan mereka. Hal ini disebabkan anak-anak selalu mengikuti perbuatan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka tidak kira sama ada perbuatan itu baik ataupun sebaliknya. Oleh itu, ibu bapa merupakan orang penting dalam proses pembelajaran zuriat mereka, dengan itu mereka perlulah menunjukkan contoh yang terbaik buat anak-anak mereka. Salah satu contoh yang boleh ditunjukkan oleh ibu bapa adalah dengan mempraktikkan amalan kebersihan di hadapan anak-anak. Contohnya, membuang sampah di tempat yang sepatutnya, basuh tangan sebelum dan selepas makan, tutup mulut ketika batuk atau bersin dan banyak lagi. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu iaitu bagaimana acuan, begitulah hasilnya�, itulah yang boleh digambarkan sekiranya ibu bapa menunjukkan amalan yang baik di hadapan anak-anak. Konklusinya, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang bak agar dapat dicontohi oleh anak-anak supaya generasi yang mementingkan kebersihan dapat dilahirkan.

Peranan seterusnya, ibu bapa perlu memberikan pengajaran kepada anak-anak dengan menunjukkan kesan-kesan jika amalan kebersihan tidak diamalkan oleh mereka. Rentetan daripada perkara ini, anak-anak akan sedar akan kesan dan akibat jika nilai kebersihan tidak dititikberatkan dalam kehidupan. Marcapada ini, terdapat pelbagai jenis penyakit yang boleh dijadikan sebagai contoh jika tidak mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Jangkitan H1N1 yang mudah merebak melalui udara apabila seseorang itu tidak tutup mulut ketika sedang batuk atau bersin. Demam denggi yang membawa maut akan tersebar jika seseorang itu tidak membersihkan kawasan sekitar rumah mereka yang mungkin merupakan tempat pembiakan nyamuk aedes dan lain-lain. Tokoh politik terkenal tanah air, Dato Onn Jaafar pernah mengungkapkan seseorang yang tidak tahu sejarah akan mengulanginya pada masa akan datang, ungkapan beliau ini banyak memberikan maksud dan salah satunya jika mereka tidak tahu kesan tidak mengamalkan kebersihan, maka mereka akan melakukan kemudaratan ke atas diri sendiri dengan mengamalkan gaya hidup yang tidak bersih. Dengan itu, ibu bapa perlulah memberikan pengajaran kepada anak-anak supaya penyakit-penyakit yang tidak diingini akan dapat dielakkan.

Peranan terakhir yang harus dilakukan oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan adalah dengan cara mengamalkan gotong-royong membersihkan kawasan rumah dengan seisi keluarga. Melalui cara ini, anak-anak akan mengerti kepentingan kebersihan itu tersebut. Aktiviti ini bukan sahaja dapat mempraktikkan amalan kebersihan dalam kehidupan, malahan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim seisi keluarga di samping dapat menyihatkan tubuh badan. Aktiviti ini tidak semestinya dilakukan setiap hari, tetapi boleh juga dilakukan secara berkala seperti dua minggu sekali dan macam-macam lagi. Cogan kata “Kebersihan Adalah Tanggungjawab Bersama” yang diuar-uarkan oleh kerajaan amatlah bersesuaian dengan aktiviti gotong royong ini. Izharlah di sini bahawa kebersihan itu merupakan tanggungjawab semua orang bagi memastikan masa depan yang sihat sejahtera.

Sebagai penutup kata pemanis bicara, jelaslah bahawa ibu bapa merupakan perancang utama dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan mereka. Amalan kebersihan ini amatlah penting bagi seseorang individu, sekumpulan masyarakat dan sesebuah negara. Sebuah negara yang maju dan proaktif berakarkan masyarakat mereka yang sihat dan cergas dan mereka ini pula mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Untuk itu, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak supaya kebersihan diamalkan bagi melahirkan sebuah generasi yang sihat dan positif pasa masa hadapan. Perkara ini amat disokong oleh tokoh politik yang disegani di mata dunia, Nelson Mandela yang berkata, jika hendak lihat sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya. Konklusinya, nilai kebersihan merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan dan ia perlu diterapkan dalam diri setiap insan.